Ramai Tak Tahu Kedaulatan Malaysia Terancam Gara-Gara Tragedi Pulau Bidong, Ini Kisahnya

Negara kita, Malaysia memang terkenal di mata dunia sebagai antara negara yang paling cepat membantu sekiranya sesebuah negara mengalami kesusahan, terutamanya negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Namun, tahukah anda bahawa satu ketika dulu, kebaikan yang kita lakukan telah dibalas dengan satu keburukan sehinggakan kedaulatan negara kita pernah terancam?

Ya, dan kejadian itu dikenali sebagai tragedi Pulau Bidong. Kisah mengenai tragedi ini telah dikongsikan di FB Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini.

Tahukah anda, Malaysia pernah diancam kedaulatannya dengan satu tragedi yang digelar tragedi Pulau Bidong??

Kisahnya bermula apabila Malaysia mengambil keputusan untuk menerima pelarian dari negara Vietnam yang meninggalkan negara mereka melalui jalan laut dek kerana peperangan yang tercetus di negara mereka.

Oleh kerana jumlah mereka yang begitu ramai, Malaysia terpaksa mencari satu kawasan khas untuk menempatkan mereka di negara kita.

Keputusan Malaysia ini dilihat sebagai satu keputusan kemanusiaan, dalam menangani isu pergerakan pendatang khususnya berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Ia juga menyaksikan kedudukan dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN semakin kukuh dan membuka mata dunia luar terhadap Malaysia.

Namun jasa baik Malaysia selama 12 tahun menempatkan pelarian Vietnam atau di Pulau Bidong, Terengganu bermula tahun 1978, jasa baik kerajaan membenarkan mereka menumpang di situ dibalas dengan demonstrasi berdarah pada awal 1990-an.

Tunjuk perasaan itu bermula apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan untuk mengeluarkan mereka dari situ untuk dihantar ke negara ketiga tetapi dengan bersyarat di mana melalui proses saringan di mana hanya yang layak sahaja akan dihantar ke negara ketiga manakala yang selebihnya akan dihantar pulang ke negara asal.

Pada ketika itu, Penguasa Penjara, Saidun Othman, adalah antara pegawai dan anggota keselamatan, yang berdepan detik getir bersama lima rakan setugas Jabatan Penjara, 15 anggota polis serta dua anggota tentera.

Pasukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri itu turut dibantu 30 Ikatan Relawan Malaysia (RELA), namun jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan saki-baki penghuni Pulau Bidong yang menyerbu pejabat menyerbu pejabat pasukan kita.

Foto: FB MKN

Mereka marah dan menunjuk perasaan membantah keputusan PBB kerana mahu membuat saringan memilih yang layak ke negara ketiga. Mereka beranggapan semuanya layak dan tidak mahu dihantar pulang.

Demonstrasi itu berlanjutan selama seminggu disusuli dengan mogok lapar. Mereka enggan menyentuh makanan yang disediakan petugas Palang Merah Antarabangsa.

Pada masa sama, banyak poster protes mula dinaikkan dan ada antaranya yang bertulis ‘hidup atau mati’, ‘Kami mahu keadilan,’; ‘Bebaskan kami’ dan ‘Kami tidak mahu pulang’. Sepanjang tempoh itu juga, petugas keselamatan terus berdiplomasi memujuk mereka supaya bertenang.

Kemuncak tunjuk perasaan itu memang mengerikan kerana ramai yang mencederakan diri sendiri. Menikam badan dengan senjata tajam.

Mereka mahu menunjukkan tanda protes kepada PBB. Walaupun mereka tidak menyerang pihak kita, namun kita terpaksa hadap kerana bertugas di bahagian keselamatan.

Demonstrasi itu berakhir dengan aman selepas beberapa perundingan dan akhirnya, semua penghuni di Pulau Bidong dipindahkan ke kem Sungai Besi sementara menunggu proses menghantar mereka ke negara ketiga.

Di sini penghuni diasingkan mengikut kategori keluarga, bujang, lelaki dan wanita, kanak-kanak serta ibu tunggal.

Unit keselamatan yang terdiri daripada pemimpin mereka sendiri telah ditubukan pada ketika itu. Ini bertujuan mengawal mereka supaya tidak bertindak ganas atau mengganggu ketenteraman penghuni lain.

Foto: FB MKN

Jika ada yang melakukan kesalahan, mereka akan ditangkap dan dibicarakan. Jika bersalah, mereka akan dikurung di dalam bilik tahanan khas seperti ‘monkey house’.

‘Monkey house’ adalah bilik tahanan kecil yang cuma boleh memuatkan beberapa individu pada satu-satu masa dan mereka tidak boleh berdiri.

Ini bermakna, sepanjang tempoh tahanan itu, mereka cuma boleh duduk atau berbaring saja dan langsung tidak dibenarkan balik ke blok penempatan.

Kita ingat dengan penutupan Pulau Bidong dengan menempatkan semua pelarian di Kem sungai Besi dapatlah menangani masalah pelarian ini namun tidak sama sekali kerana 
kehadiran mereka di Kem Sungai Besi memberi masalah lebih besar kepada anggota keselamatan.

Di dalam kem ini, mereka telah menunjukkan perangai mereka yang sebenar, mereka telah mewujudkan puak-puak samseng dan menindas rakan sepelarian mereka sendiri.

Mereka juga mewujudkan pelbagai pusat hiburan dan pelacuran haram di dalam kem berkenaan, selain melakukan penyalahgunaan dadah.

Disebabkan hal ini pihak keselamatan telah mengambil keputusan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke dalam kem mereka untuk membanteras gejala yang tidak bermoral yang dilakukan mereka.

Mereka membantah tindakan anggota keselamatan, hingga mencetuskan rusuhan besar pada Jun 1995 yang hampir menggugat kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia yang telah memberi perlindungan kepada mereka selama ini.

Tindakan ganas kumpulan perusuh pada pagi 5 Jun 1995 menyebabkan tiga blok kediaman di Kem Transit Sementara Sungai Besi yang menempatkan lebih 4,500 pelarian Vietnam musnah sama sekali.

Yang menyayat hati, rusuhan ini mengorbankan seorang pelarian dan mencederakan lebih 10 anggota yang terlibat dalam operasi mengawal keselamatan iaitu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), bomba dan polis hutan (PPH).

Tidak cukup dengan rusuhan yang berlangsung selama lebih 16 jam, kebakaran besar turut menggemparkan warga kota khususnya mereka yang tinggal di sekitar Sungai Besi dan Bukit Jalil.

Kepulan asap yang menjulang tinggi dikatakan dapat disaksikan dari jarak puluhan kilometer. Dalam operasi mengawal rusuhan itu, seramai 1,200 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada anggota polis, FRU, PPH, bomba, unit pengesan bom dan unit anjing pengesan dikerahkan ke tempat kejadian.

Serbuan awal polis ketika itu berjaya menemui pelbagai senjata tajam seperti lembing, parang, senapang panah dan pedang yang dihasilkan oleh kumpulan perusuh.

Berdasarkan kenyataan rasmi Dewan Negara yang dibaca oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berhubung insiden ini, kekecohan dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati pelarian terhadap keputusan kerajaan yang mahu menghantar mereka pulang ke negara asal.

Menurut beliau dalam kenyataan itu, pelarian Vietnam cuba menunjukkan bantahan dan mendapatkan simpati dunia terhadap rancangan kerajaan menghantar mereka pulang ke Vietnam yang sudah dipersetujui oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Foto: FB MKN

Mereka juga masih menaruh harapan untuk dihantar menetap ke negara ketiga yang mereka anggap dapat memberikan perlindungan walaupun permohonan mereka ditolak oleh negara berkenaan.

Pilihan kumpulan pelarian ketika itu adalah untuk mendapatkan tempoh perlindungan lebih lama di negara ini sementara menunggu giliran dihantar ke negara-negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Kanada dan Eropah yang dikelola oleh UNHCR.

Bagaimanapun, atas syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh badan antarabangsa itu, keutamaan mengikuti program pemindahan ke negara ketiga itu hanya melibatkan pelarian yang mempunyai kelayakan profesional.

Tersepit dalam keadaan itu, sebahagian daripada pelarian turut berusaha meraih simpati antarabangsa sehingga mendapat perhatian dari negara luar.

Kenyataan yang sama juga menyatakan pemberontakan berpunca daripada tindakan kerajaan membina pagar berangkai di kem berkenaan bagi mengasingkan kumpulan pelarian yang bermati-matian enggan dihantar pulang dengan puak yang lebih bertimbang rasa.

Ia merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk menghalang kumpulan hardcore daripada menghasut kumpulan pelarian yang lain.

Dalam rundingan itu, kumpulan pelarian mendesak kerajaan supaya tempoh perlindungan dilanjutkan kerana mereka takut pulang ke negara asal.

Mereka tidak berani pulang kerana takut dikenakan hukuman mati oleh pemerintah komunis negara itu. Rundingan menemui jalan buntu sehingga tercetusnya rusuhan.

Selepas tewas dalam ‘pertempuran’ dengan pihak berkuasa, beratus-ratus ‘kepala samseng’ ditahan dan dihantar ke kem tahanan sementara pelarian di Kerayong, Pahang.

Betapa susah dan mencabarnya Pasukan Khas di bawah MKN serta semua agensi keselamatan kita bagi menangani isu pelarian ini. Buat baik dibalas baik namun tidak sangka sebaliknya pula yang kita dapat.

Tahniah kepada MKN dan juga semua agensi keselamatan kita pada ketika itu yang akhirnya berjaya menyelesaikan dan meleraikan masalah isu pelarian Vietnam ini.

Sumber: FB Majlis Keselamatan Negara

Sumber : SiakapKeli