3S – Strategi Tiga Cabang Lenovo Untuk Menawan Industri Peranti Berhubung Dan Pembuatan Dengan Teknologi Mereka Sendiri

Lenovo ialah sebuah jenama yang terkenal untuk siri komputer mereka seperti ThinkPad, IdeaPad, Legion dan sebagainya. Selain dari itu, mereka juga berkecimpung didalam industri enterprise melalui jenama ThinkCentre yang bukan sahaja hadir dengan siri mesin pelayan, tetapi juga komputer dengan spesifikasi berkuasa yang digunakan untuk mengolah objek 3D, rekaan industri dan sebagainya.

Walaupun Lenovo mempunyai pegangan didalam pelbagai industri komputer diseluruh dunia, mereka sedar bahawa mereka juga perlu memasuki pasaran peranti berhubung (Internet of Things) dan juga Revolusi Perindustrian 4.0 (Industrial Revolution 4.0) untuk memastikan syarikat tersebut kekal releven didalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kami sempat menemu-ramah dengan Ivan Cheung, Timbalan Presiden Lenovo Asia Pasifik dan Varinderjit Singh, Pengurus Besar Lenovo Malaysia untuk bercakap mengenai persediaan syarikat tersebut apabila bercakap mengenai IoT dan juga IR4.0 di Malaysia.

Strategi 3S Lenovo

Lenovo baru-baru ini telah hadir dengan strategi tiga-cabang yang dinamakan 3S. Ia terdiri daripada Smart IoT, Smart Infrastructure dan juga Smart Verticals yang akan membantu syarikat tersebut untuk mendapatkan pegangan kukuh didalam kedua-dua pasaran IoT dan juga IR4.0 ini.

Smart IoT

Smart IoT ialah inisiatif Lenovo untuk membuatkan pelbagai peranti sedia ada sebagai sebuah peranti berhubung yang boleh digunakan dengan mudah. Contoh sedia ada daripada Lenovo adalah seperti jam pintar, kunci pintu pintar dan kamera pintar.

Peranti-peranti yang sentiasa disambung ke Internet ini dapat membantu pengguna mengautomasikan pelbagai tugasan-tugasan remeh seperti memasang/memadamkan lampu, memasang penghawa dingin sebelum pengguna sampai ke rumah, memberi pengguna senarai barangan runcit yang perlu dibeli apabila peti sejuk hampir kosong dan sebagainya.

Smart Infrastructure

Ia dijangka bahawa jumlah peranti yang digunakan di seluruh dunia akan menjangkau 20 bilion menjelang 2020, dua kali ganda lebih tinggi berbanding dengan 2017. Ini juga bermakna jumlah data yang dihantar dan diterima akan meningkat dan mendadak, dan memerlukan infrastruktur yang mampu menanggung peningkatan yang semakin meningkat setiap hari.

Asas yang kukuh merupakan perkara yang paling penting apabila bercakap tentang apa-apa pelan. Dengan cabang Smart Infrastructure, Lenovo hadir dengan peranti-peranti yang boleh mengukuhkan infrastruktur digital perindustrian dengan cepat dan mudah.

 

Selain dari itu, Lenovo turut akan hadir dengan teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin mereka sendiri untuk memastikan mereka kekal dihadapan apabila teknologi IoT dan IR4.0 terus berkembang pesat.

Smart Verticals

Menggabungkan kepakaran mereka dalam membina peranti, perisian dan sistem, Lenovo juga dilihat akan mencipta model perniagaan baru yang menggunakan kelebihan dari IoT dan IR4.0 yang diharap akan mengubah cara perniagaan-perniagaan sekarang dijalankan.

Ini termasuklah cara barang-barang dipasarkan, cara sekuriti kedai tersebut dijaga dan cara proses-proses perniagaan tersebut berfungsi. Malah Lenovo mempunyai sebuah contoh dimana sebuah kedai boleh berfungsi tanpa jagaan manusia.

Di acara Lenovo Tech World pada tahun lepas, Lenovo telah memperkenalkan kedai peruncit yang diuruskan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan dan sistem pengesan dan kamera yang kompleks untuk memastikan semua pelanggan dan barang-barang runcit dapat dikesan dan dikenalpasti secara lancar.

Bukan itu sahaja, Lenovo juga membuka sebuah kedai di kampus Beijing mereka yang juga dijaga hanya oleh sistem kecerdasan buatan yang dinamakan Lenovo Lecoo Unmanned Store.

Apa yang membuatkan kedai ini benar-benar menarik ialah pelanggan hanya perlu berjalan terus ke pintu masuk kedai ini, dimana sebuah kamera akan merakam gambar muka pelanggan tersebut.

 

Didalam kedai tersebut, selepas pelanggan selesai memilih peranti-peranti yang ingin dibeli, mereka hanya perlu keluar dari kedai tersebut, dan pembayaran untuk peranti-peranti yang dibeli akan diselesaikan menggunakan pembayaran mudah-alih yang sudahpun dikenalpasti oleh sistem kecerdasan buatan Lenovo.

Kedai ini masih lagi sebuah konsep yang sering dikemaskini oleh Lenovo, tetapi bergerak ke hadapan, teknologi-teknologi seperti inilah yang diharap akan menguasakan pengalaman membeli-belah pengguna di masa hadapan.

Adakah Malaysia Bersedia Untuk Implementasi Menyeluruh IoT Dan IR4.0?

Konsep IoT dan IR4.0 ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah kerajaan Malaysia sudahpun mula menguji teknologi-teknologi ini di kawasan-kawasan tertentu seperti Cyberjaya, manakala Pulau Pinang sedang bersedia untuk menjadi diantara negeri-negeri pertama yang mempunyai sambungan internet 100 peratus.

Apabila ditanya jika Malaysia bersedia untuk implementasi IoT dan IR4.0 ini, Ivan Cheung berkata bahawa kadar penggunaan teknologi tersebut, khususnya berkaitan IR4.0 berada pada kadar yang agak perlahan, walaupun banyak syarikat-syarikat tempatan dikatakan berminat untuk menggunakannya.

Ini mungkin kerana di Malaysia, masih tiada mana-mana satu penyelesaian yang boleh merangkumi semua keperluan syarikat-syarikat tersebut, tidak kira dari segi pengilangan, pembuatan ataupun pemasaran.

Infrastruktur yang diperlukan untuk mengimplementasi kedua-dua teknologi ini secara berkesan juga masih belum sampai ditahap yang memuaskan, tetapi syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan yang dilihat sedang menguji sambungan 5G mungkin akan mengubah fikiran syarikat-syarikat tersebut dimasa akan datang.

Di Malaysia, salah satu cara Lenovo cuba mengimplementasi teknologi ini ialah melalui program Device As A Service, dimana Lenovo “menyewa” peranti-peranti mereka kepada syarikat dan badan kerajaan yang juga hadir dengan sokongan sepanjang masa dan kebolehan untuk memperuntukkan peranti tambahan jika diperlukan.

Apa yang menarik mengenai perkhidmatan ini ialah dengan pengaruh pasaran Lenovo, peruntukan ini boleh dilakukan walaupun pekerja tersebut ditetapkan di kawasan lain. Lenovo juga akan memastikan bahawa semua peruntukan dari segi perisian, sekuriti dan sebagainya lengkap sebelum peranti tersebut diserahkan kepada pekerja syarikat.

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, konsep IoT dan IR4.0 bukanlah sesuatu yang baru, dan walaupun Malaysia boleh dikatakan masih perlahan didalam memeluk teknologi baru ini, kita masih berada di landasan dan arah yang tepat untuk memastikan industri pembuatan dan teknologi kita kekal kompetitif di arena antarabangsa.

Sumber : Amanz