Pandang Pertama: Xiaomi Mi A3 – Padat Dengan Fungsi, Namun Dikaburi Dengan Resolusinya

Xiaomi Mi A3
Skrin 6.088” AMOLED, HD+, 19.5:9
Cipset Snapdragon 665
CPU 2 x Kryo 260 Gold 2.0 GHz
6 x Kryo 260 Silver 1.8 GHz
GPU Adreno 610
Memori 4GB RAM
Storan 64GB + mikroSD
Kamera Utama 48MP f/1.8 + 8MP + 2MP
Kamera Hadapan 32MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem Android 9.0 Pie
Bateri 4030 mAh
Pengecasan 18W
Berat & Ketebalan 173.8g, 8.5mm

Siri Android One daripada Xiaomi kini kembali lagi dengan perkenalan Mi A3, namun ia berdepan dengan kritikan yang hebat daripada pengguna. Jika sebelum ini Xiaomi Mi A2 mempunyai kontroversi dari segi pembuangan bicu audio, Mi A3 pula hadir dengan satu kekurangan nyata – iaitu penurunan dari segi resolusi skrin. Sejurus peranti ini dilancarkan, ramai yang melontarkan komen negatif kepada Xiaomi hanya disebabkan resolusi 720p.

Xiaomi Mi A3 sebenarnya dibina berasaskan Mi CC9e iaitu sebuah variasi yang lebih rendah berbanding Mi CC9. Agak pelik kerana Xiaomi tidak menggunakan acuan CC9 ketika membangunkan Mi A3 dan mungkin Xiaomi ‘menyimpannya’ sebagai Mi A3 Pro. Namun ketika acara pelancaran Mi A3 ini semalam, Xiaomi tidak langsung memperkenalkan sebarang variasi yang lebih berkuasa untuk Mi A3.

Jadi disebabkan ia menggunakan acuan Mi CC9e, Xiaomi Mi A3 dilahirkan dalam sebuah peranti kelas pertengahan asas. Ia mungkin kendengaran sedikit mengecewakan, namun sebenarnya ia menyajikan sejumlah pembaharuan yang besar berbanding Mi A2. Ia disertakan dengan pelbagai fungsi baru, jadi adalah lebih adil untuk melihat Xiaomi Mi A3 ini dari sudut yang positif.

Rekaan

Rekaan Xiaomi Mi A3 ini boleh dikatakan agak kompak, yang mana ia mengingatkan saya kepada binaan Mi 9 SE. Ia tidak terlalu besar seperti Mi 9 dan berada pada saiz yang selesa untuk dipegang. Rekaan belakangnya juga mirip seperti Mi 9 SE, terutama melihat dari segi susunan tri-kamera secara menegak. Ia hadir dalam binaan berasaskan kaca Corning Gorilla Glass 5, yang turut digarapkan dengan kemasan berkilau apabila dipantulkan ke cahaya.

Untuk butang pelarasan suara dan butang kuasa, Xiaomi telah menempatkanya pada kedudukan yang standard, iaitu pada bahagian kanan peranti. Agak menarik di sini kerana Xiaomi tidak mendatangkan sebarang butang Google Assistant, seperti mana yang dilakukan pada peranti terkini Nokia.

Pada bahagian atas, ia menyertakan sambungan bicu audio 3.5mm dan IR blaster, sementara sambungan USB-C dan pembesar suara mono ditempatkan pada bahagian bawah. Slot simnya ditempatkan pada bahagian kiri, dan menawarkan rekaan slot sim hibrid untuk perletakkan dwi-sim dan mikroSD.

Dari segi skrinnya, ia membawakan paparan AMOLED sebesar 6.088-inci HD+ dengan takuk seumpama bentuk dot. Walaupun dikritik atas resolusinya yang rendah, pengalaman melihat skrin ini sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka. Ia kelihatan sangat terang, sehingga anda terlupa bahawa ia hanya membawa resolusi HD+ sahaja. Sepanjang mencuba peranti ini, saya tidak perasan dengan penampakan piksel yang nyata – melainkan mendekatkan mata saya berhampiran skrin ini.

Apa yang menarik lagi, Xiaomi turut mendatangkan kebolehan pengimbas cap jari di bawah skrin, seperti yang ditawarkan pada siri Xiaomi Mi 9. Ia tidaklah sepantas Xiaomi Mi 9 dan Mi 9 SE, namun boleh dikatakan setara dengan prestasi imbasan jari daripada peranti Mi 9T. Tidak seperti Galaxy A50, ia dilihat sangat responsif dan jarang gagal untuk membuka peranti. Sebagai alternatif, Xiaomi juga masih mendatangkan kebolehan imbasan wajah berasaskan kamera hadapan.

Sistem

Xiaomi Mi A3 telah dijana dengan sistem operasi Android 9.0 Pie berasaskan kepada program Android One. Dengan program ini, peranti ini dapat menerima kemaskini berterusan sekurang-kurangnya 2 tahun, selain dijamin untuk menerima Android Q pada akan datang. Ia juga menawarkan antaramuka Android asli yang lebih kemas, seperti mana yang dilihat siri peranti Google Pixel.

Xiaomi dilihat tidak menampilkan sebarang perletakkan aplikasi mereka yang banyak pada Xiaomi Mi A3 ini. Antara aplikasi tambahan yang disertakan adalah seperti FM Radio, Mi Remote, dan MIUI Camera. Namun satu perkara yang tidak disertakan ialah kebolehan Always on Display – seumpama yang dilihat pada peranti Xiaomi-MIUI berasaskan paparan AMOLED.

Prestasi

Xiaomi Mi A3 telah membawakan cip Snapdragon 665, sekaligus menjadikannya sebagai peranti kedua (selepas CC9e) dalam menggunakan cip ini. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 2 x Kryo 260 Gold 2.0 GHz + 6 x Kryo 250 Silver 1.8 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 610. Apabila dibandingkan, prestasi cip ini setara dengan cip Samsung Exynos 9610 pada Galaxy A50, dan sedikit tinggi berbanding cip Snapdragon 660 pada Xiaomi Mi A2.

Apa yang mengejutkan di sini, Xiaomi Mi A3 turut didatangkan dengan storan pantas berasaskan UFS. Ia sekaligus dapat melancarkan pengoperasian peranti, terutama ketika membuka permainan dan aplikasi. Storan ini jarang diberikan pada peranti kelas petengahan, jadi ia memberi nilai tambah kepada pengguna ketika ingin membeli peranti ini.

Kamera

Dari segi penggambaran, Xiaomi Mi A3 membawakan sistem tri-kamera, melalui padanan sensor utama 48MP (f/1.8, PDAF), sensor ultralebar 8MP (f/2.4), dan sensor depth 2MP (f/2.4) untuk kebolehan Portrait Mode. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menyertakan sistem penstabilan elektronik (EIS) ketika membuat rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Dari segi keupayaan kamera hadapan, ia membawa fungsi penggambaran swafoto berkuasa melalui kehadiran sensor 32MP f/2.0. Seperti kamera hadapan, ia turut menyertakan fungsi Portrait Mode yang dapat memberi kesan kabur pada bahagian belakang wajah. Ia juga menawarkan fungsi pencantikkan wajah, yang mana dapat menerangkan warna kulit dan mengubah sejumlah bentuk pada bahagian muka.

Dari segi fungsi, Xiaomi Mi A3 telah didatangkan dengan rakaman [email protected], [email protected], [email protected], dan [email protected] Seperti sejumlah peranti Xiaomi yang terkini, ia menyajikan mod penggambaran malam, yang mana dapat memberi hasilan yang terang melalui tangkapan slow shutter yang distabilkan melalui AI. Ia juga menyertakan sejumlah fungsi yang menarik, seperti kebolehan Panorama, penggambaran AI, dan kebolehan Manual yang menyeluruh.

Bateri

Salah satu pembaharuan besar yang hadir pada Mi A3 ialah kapasiti bateri yang lebih besar. Ia menyajikan kapasiti bateri seumpama Redmi Note 7 dengan penawaran kapasiti 4030 mAh. Kapasiti ini dilihat besar berbanding Xiaomi Mi A2 yang hanya hadir dengan kapasiti bateri 3010 mAh. Dengan penggunaan cip 11nm menerusi cip Snapdragon 665, ia dijangka dapat memberi penggunaan yang lama untuk kegunaan sepanjang hari.

Dengan kapasiti besar dan padanan cip ini, ia dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 7-8 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas 18W, namun Xiaomi hanya menyertakan pengecas berasaskan 10W.

Rumusan

Xiaomi Mi A3 menawarkan pembaharuan yang besar berbanding Mi A2, namun dikaburi dengan resolusi skrinnya sahaja. Ia menyajikan skrin AMOLED, cip Snapdragon 665 yang lebih pantas, dan sokongan pengimbas cap jari di bawah skrin. Ia juga hadir dengan sistem tri-kamera 48MP + 8MP + 2MP, sokongan kamera hadapan 32MP, dan bateri berkapasiti tinggi iaitu 4030 mAh. Selepas menguji peranti ini, resolusi HD+ tertanya tidak memberi impak yang besar kepada saya, kerana telah hanyut dengan kesemua peningkatan ini bersama paparan berasaskan AMOLED.

Xiaomi Mi A3 bakal dijual pada pasaran tempatan pada 31 Julai ini, namun tidak diumumkan dari segi harga jualannya. Jika anda ingin mendapatkannya lebih awal, anda boleh mendapatkan set import daripada sejumlah penjual tempatan pada harga RM1098 bagi variasi 4GB + 64GB. Ia telah ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu ‘More than White’, ‘Not just Blue’, dan ‘Kind of Grey’.

*Terima kasih Mobile2Go atas peminjaman peranti ini kepada kami.

Sumber : Amanz