Akta Kebebasan Maklumat Akan Digubal Ganti Akta Rahsia Rasmi -Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan Akta Kebebasan Maklumat akan digubal bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi.

Proses penggubalan tersebut memerlukan masa yang mencukupi bagi memfokuskan kepada sesi libat urus dan memastikan jangkauan yang meluas kepada masyarakat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di sini semalam.

Menurutnya lagi, Malaysia mencapai tempat pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara bagi Indeks Kebebasan Media 2019 sekaligus meletakkan Malaysia di tangga 123 daripada 145 negara lain di dunia.

Indeks tersebut merupakan indikator pencapaian Malaysia yang menunjukkan hasil komitmen kerajaan terhadap agenda pencegahan rasuah.

“Komitmen kerajaan hari ini dalam meletakkan agenda pencegahan rasuah sebagai salah satu keutamaan telah membuahkan hasil,” katanya.

Berdasarkan Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Siri 13/2018, mereka mendapati pandangan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam perkara itu meningkat 11 peratus pada tahun 2018 berbanding 59.8 peratus pada 2016, katanya.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli