Belajara Cara Negara Luar Menjaga Harimau Mereka

Sejarah
pemburuan harimau di India bermula pada awal kurun ke-16 dengan wujudnya
‘safari hunting’ untuk golongan elit. Perkara 
ini lahir daripada Maharaja Mughal: Jalaludin Muhammad Akbar yang
‘gilakan’ sukan memburu harimau.

Baginda
mentradisikan ‘royal hunting’ atau shikar yang diteruskan hingga kejatuhan
Empayar Mughal pada 1857. Disertakan disini lukisan yang menunjukkan bangsawan
Turki, Afghan, Mongul dan Rajput memburu harimau di atas belakang gajah dan
kuda.

Aktiviti
ini dianggap sebagai eksotik dan ‘heroic’ dengan bangkai harimau dijadikan
sebagai trofi. Sukan memburu ini diteruskan ketika era British Raj. British
bersama-sama dengan pemerintah ‘berdaulat’ di India dan mereka membunuh harimau
sewenang-sewenangnya.

Maharaja,
tuan tanah, para jeneral keluar memburu dengan jumlah yang sangat besar –
sehingga 40 ekor gajah pernah dibawa bersama. Hamba mereka akan terlebih dahulu
menyumpit harimau dengan dadah atau mencederakan haiwan malang tersebut supaya
Tuan-Tuan mereka dapat memburu dalam keadaan kurang bahaya. (Szczepanski,
2019)

Para
pemburu menghalalkan aktiviti mereka dengan menyebarkan propaganda harimau
sebagai haiwan ganas yang sentiasa dahagakan darah manusia.

Setelah
menaiki takhta pada 1911, King George V bersama rombongannya tiba di utara
Nepal. Mereka membunuh 39 ekor dalam masa 10 hari. Menurut rekod, Colonel
Geoffey Nightingale telah menembak 300 ekor harimau. Sekitar tahun 1920, Umed
Singh II – Maharaja Kotah telah mengubahsuai sebuah Rolls Royce Phantom untuk
kegunaan menembak hariamau di Pergunungan Rajastani. Kereta ini dilengkapi
dengan ‘machine-gun’ dan meriam Lantaka. (Sharon, 2014)

Raja-Raja
Rewa di bahagian tengah India dilaporkan membunuh sejumlah 109 ekor harimau
selepas istiadat pertabalan mereka. Membunuh harimau merupakan ritual ‘cukup
umur’ bagi putera muda. Menurut seorang ahli sejarah India – Mahesh Rangarajan,
“80,000 harimau dibunuh dalam tempoh 50 tahun, antara 1875-1925…..”

Penglibatan
orang awam dalam pemburuan harimau meningkat pada 1947 dengan munculnya beratus
‘travel agency’ yang memasukkan pemburuan harimau dalam pakej mereka. Ada juga
menawarkan pakej ‘sure kill’ dengan jaminan wang dikembalikan jika anda tidak
dapat membunuh seekor harimau.

Supaya
tidak tewas dengan golongan marhaen, Maharaja di India dirasuk kegilaan baru
dengan cuba mencipta rekod sebagai yang terhebat dalam pemburuan. Maharaja
Surguja dalam suratnya kepada seorang Biologis – George Schaller, memberitahu
menjelang 1965, baginda telah berjaya membunuh sebanyak 1150 ekor harimau.

Disebabkan
harimau terbesar memberikan pemburu ‘bragging right’, saiz harimau yang paling
besar dan terkuat telah lenyap dari kolam gen (gene pool).

HARAPAN UNTUK HARIMAU

Kailash
Sankhala adalah individu pertama yang menyuarakan perlunya usaha pemuliharaan
seawal tahun 1956. Pada era pemburuan harimau adalah tradisi setempat, beliau
tanpa jemu mendidik dan mengetuai usaha ini. Sankhala menjalankan kajian menyeluruh
dibawah Jawaharlal Nehru Fellowship untuk mendapat gambaran populasi harimau
yang masih tinggal.

Dapatan
kajian ini amat membimbangkan – daripada 100,000 ekor harimau di India, kini
hanya  tinggal 1800 ekor. Tanpa membuang
masa, Sankhala mengutus surat kepada Perdana Menteri India, Indira Gandhi
memohon bantuan. (Bindra, 2015)

Semasa
Indira Ghandi mula memegang kuasa pada 1966, hidupan liar berada dalam krisis. Selepas
merdeka, banyak hutan ditebang bagi membina empangan, lombong, infrastruktur
industri dan kawasan hartanah untuk memenuhi wawasan India Baru.

1969,ketika
India menjadi tuan rumah untuk persidangan International Conservation Union
(ICUN), krisis harimau dibangkitkan untuk pertama kalinya. Tanpa membuang masa,
beliau terus mengharamkan pemburuan harimau – walaupun mendapat penentangan
dari pengusaha ‘shikar safari’. Mereka mendakwa India akan kerugian dari segi
tukaran wang asing apabila industri pelancongan jatuh.

Indira
Gandhi dengan tegas menjawab “India memang memerlukan keuntungan dalam
tukaran wang asing – namun tidak pada harga kehidupan dan keamanan harimau yang
hidup di benua ini.”

Pada
1972, Akta Perlindungan Hidupan Liar diluluskan di parlimen. Selain daripada
pengharaman aktiviti memburu, penubuhan Taman Negara dan peraturan berkaitan
hidupan liar turut dikuatkuasakan.

Usaha
ini diperkukuhkan lagi dengan pelancaran Project Tiger pada 1 April 1973 di
Taman Negara Jim Corbett, Uttrakhand. Objektif utama Project Tiger adalah
menyelamatkan Royal Bengal Tiger daripada pupus.

Punca
utama menurunnya populasi harimau adalah manusia. Dengan itu, kawasan harimau
dijadikan kawasan ‘bebas manusia’ bagi memastikan harimau hidup dengan aman. Sehingga
kini, terdapat sekitar 50 buah Taman Negara telah diwujudkan. Usaha ini bukan
sesuatu yang mudah namun bilangan harimau telah meningkat kepada 4000 ekor
dalam lapan tahun terakhir.

India
telah berjaya mencipta keajaiban dengan menukar ladang pemburuan kepada hutan
simpan dan Taman Negara bagi memulihara alam.

Dikala
negara diseluruh dunia masih memikirkan cara untuk menyelamatkan harimau, usah
di India telah menunjukkan hasil. Adalah wajar negara kita Malaysia, belajar
dan menuntut ilmu secara terus dengan kerajaan India dalam usaha kita untuk
menyelamatkan Harimau Malaya supaya tidak lagi diancam kepupusan.

RUJUKAN:

1. Bindra, P. (19 November, 2015). Indira
Gandhi’s lesser known legacy: How Iron Lady saved India’s wildlife
.
Retrieved 12 July, 2019, from Dailyo.in: https://www.dailyo.in/politics/indira-gandhi-birth-anniversary-wildlife-protection-conservation-bengal-tiger-india/story/1/7466.html

2. Sharon.
(11 March, 2014). A Concise History of Tiger Hunting in India. Retrieved
13 July, 2019, from National Geograpjic: https://blog.nationalgeographic.org/2014/03/10/a-concise-history-of-tiger-hunting-in-india/

3.
Szczepanski, K. (11 January, 2019). The British Raj in India. Retrieved
12 July, 2019, from Thought.Co:
https://www.thoughtco.com/the-british-raj-in-india-195275

The post Belajara Cara Negara Luar Menjaga Harimau Mereka appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots