Sunting Video Taraf ‘International’, Pemuda Malaysia Teruja Zach King Ajak Jumpa

Jika anda merupakan seorang pengguna tegar Instagram, anda mungkin pernah mendengar tentang akaun bernama “sofyank96“. Akaun yang dimiliki oleh Mohamad Sofian ini mula terkenal selepas beliau mengirimkan video hasil suntingannya yang nampak betul-betul “real“.

Kualiti yang ada pada video suntingannya itu bukan sahaja mendapat perhatian pengguna tempatan, malah ia juga berjaya mencuri tumpuan bintang Vine dan YouTube terkenal antarabangsa, Zach King.

Zach King yang juga idola kepada Sofian turut menghasilkan video yang seakan sama namun video-video beliau lebih ke arah seakan-akan silap mata.

Apa yang menariknya, selebriti Internet dari Los Angeles itu baru-baru ini telah menghubungi Sofian melalui Twitter dan mengajaknya berjumpa di Jakarta memandangkan beliau sedang berada di sana.

Bagaimanapun, pada awalnya, Sofian terpaksa menolak pelawaan itu kerana beliau bukanlah dari Indonesia namun tetap berharap agar mereka dapat berjumpa di masa akan datang.

Tidak dapat menahan keterujaannya, Sofian berkongsikan perbualan mereka di laman Instagram beliau. Dari situ, ada beberapa pihak yang sanggup datang membantu untuk membawa beliau ke Jakarta bagi berjumpa dengan idolanya itu.

Antara yang dikatakan membantunya ialah saluran radio terkenal tanahair, ERA(@ERAdotje) dan selebriti radio, Jaa Suzuran. Mereka telah sepakat membantu untuk menghantar Sofian ke sana.

Menurut entri di Instagram-nya, Sofian telah pun tiba di Jakarta malam tadi dan dalam satu kiriman Instagram Stories beliau, Zach King telah menaja hotel yang beliau duduki sepanjang berada di sana.

Malah, beberapa jam yang lepas, impian Sofian untuk berjumpa dengan idolanya itu akhirnya tercapai.

Melihat pada satu video yang dimuat-naik di akaunnya itu, beliau bersama Zach King dan dua lagi individu menaiki kereta bersama dan sedang dalam perjalanan ke satu majlis yang perlu dihadiri selebriti itu.

Tidak cukup dengan itu, kebolehan Sofian juga telah mendapat perhatian daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq dan beliau juga berminat untuk membantu pemuda berkenaan pada awalnya.

Kejayaan yang dikecapi oleh Sofian ini seharusnya membuka mata ramai pihak tentang bakat-bakat tersimpan yang dimiliki oleh anak-anak muda tempatan dan dapat mempertingkatkan lagi usaha bagi menonjolkan bakat mereka di masa hadapan.

Sumber: Instagram sofyank96

Sumber : SiakapKeli