Bantuan Lori Tangki Air SAINS Kepada Air Selangor

SEREMBAN, 20 Julai (Bernama) — Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan menghantar dua buah lori tangki berkapasiti 2,000 gelen setiap satu bagi membantu Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) susulan pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor semalam.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains Norzita Ismail berkata Sains akan sama-sama membantu rakan Air Selangor yang lain dalam membuat pengagihan bekalan air ke kawasan terjejas di sekitar Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

“Ia melibatkan kira-kira 1,166,842 akaun… Usaha sama ini adalah selaras dengan Memorandum Persefahaman Antara Operator di Malaysia.

“Semoga dengan usaha SAINS ini dapat membantu Air Selangor dalam menangani isu permasalahan bekalan air ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sains akan mengadakan sesi pelepasan lori tanker pukul 4 petang ini di Bangunan Ibu Pejabat Sains Seremban 2 di sini.

Susulan pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor semalam, telah menyebabkan tiga loji utama di Selangor iaitu Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 dihenti tugas.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli