Tidak Dapat Dikesan Sejak Jumaat Lalu, Ini Luahan Ibu Tentera Darat Yang Kehilangan Anaknya Di Pulau Perak

Jumaat lalu, kita dikejutkan dengan berita kehilangan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) ketika melaksanakan tugas operasi di Pulau Perak, Kedah.

Sehingga hari ini mereka masih belum ditemui namun usaha mencari dan mengesan dua anggota berkenaan dilaksanakan oleh anggota yang bertugas di pulau terbabit.

Menurut Kementerian Pertahanan, mereka yang hilang dikenali sebagai Koperal David Edmund Rapi, 39, tahun berasal dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau.

Anita Sari, 59, berkata beliau sangat terkejut sebaik mengetahui berita kehilangan anaknya itu dan sejak itu beliau tidak berhenti berdoa agar anak bongsu daripada lima beradik itu ditemui selamat. Beliau yang merupakan ibu kepada Koperal David Edmund Rapi menyatakan:

“Saya harap anakku ditemukan dengan selamat dan berada dalam keadaan baik,”

“Semoga anak saya dan rakannya dapat ditemui dengan selamat,”

Moses, 25, dan Kpl David Edmund Rapi, 29, dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis dilapor hilang ketika bertugas di kawasan operasi Op PEJARAK di Pulau Perak, Kedah.

Kementerian Pertahanan hari ini mengeluarkan kenyataan mengesahkan kehilangan dua anggota Tentera Darat itu.

Op PEJARAK merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Ia melibatkan penempatan anggota Tentera Darat Malaysia di dua pulau di antara perairan Kedah dan Perak.

Ketiadaan anggota itu dikesan pada lewat malam 19 Julai ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.

Sehubungan itu, usaha mencari dan mengesan dua anggota berkenaan dijalankan oleh anggota yang bertugas di pulau itu, bagaimana pun ia dihentikan pada awal pagi 20 Julai berikutan angin kuat serta hujan lebat selain penglihatan yang amat terhad.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada 10 pagi 20 Julai oleh Tentera Darat dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Moses berasal dari Kampung Senibong, Singai manakala David dari Dalat, Sarawak.

Pada 3 Okt 2016, dua anggota tentera iaitu Kpl Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Kpl Mohd Faizol Rosli, 29, dari Baling, Kedah dilapor hilang di Pulau Perak selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol ditemukan mati oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang manakala Johbartlee tidak ditemui.

Pulau Perak merupakan pulau batuan granit seluas satu kilometer yang terletak di perairan terhujung barat Semenanjung Malaysia, di perairan Selat Melaka dan merupakan kawasan perlindungan marin.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli