(Video) Israel Mula Bertindak Musnahkan Beberapa Bangunan Dan Rumah Penduduk Di Baitulmuqaddis

Hari ini, pihak Israel mula memusnahkan beberapa buah rumah milik rakyat Palestin di Selatan Baitulmuqaddis yang dianggapnya sebagai perumahan haram.

Puluhan polis dan tentera Israel menutup sekurang-kurangnya empat bangunan di kawasan Sur Baher berhampiran sekatan keselamatan Israel yang memisahkan Tebing Barat. Sebuah jentera kemudiannya memusnahkan bangunan dua tingkat yang dibina di situ.

Wartawan dihalang masuk ke kawasan itu manakala penduduk dan para aktivis diseret keluar dari rumah. Malah ada seorang lelaki yang berteriak sewaktu dipaksa keluar dari sana:

“Aku mahu mati disini”

Palestin mendakwa bahawa pihak Israel menggunakan isu keselamatan sebagai alasan untuk memaksa mereka keluar dari kawasan tersebut. Tindakan tersebut dipercayai merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk memperluas jajahan mereka (Israel).

Mereka juga mengatakan bahawa sebahagian besar dari bangunan terletak di kawasan berkenaan berada di bawah kawalan awam Palestin mengikut perjanjian antara kerajaan Palestin dan Israel.

Salah seorang penduduk di sana berkata bahawa beliau dan keluarganya akan kehilangan tempat tinggal

“Kami akan tinggal di jalanan,” katanya kepada AFP.

Walaubagaimanapun tentera dan polis Israel masih belum memberikan sebarang ulasan mengenai perkara ini.

Pada 18 Jun lalu, penduduk telah menerima notis 30 hari dari pihak berkuasa Israel yang memaklumkan kepada mereka tentang hasrat untuk merobohkan rumah-rumah di sana.

Menurut agensi urusan kemanusiaan PBB, OCHA, keputusan itu melibatkan 10 bangunan yang sudah dibina atau masih dalam tempoh pembinaan termasuk  70 buah pangsapuri.

Baru-baru ini, Diplomat Kesatuan Eropah telah melawat kawasan berkenaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah menyeru supaya Israel menghentikan rancangan untuk merobohkan bangunan tersebut. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjelaskan bahawa isu perobohan terbabit akan menyebabkan 17 orang kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan 350 orang.

Penduduk tempatan masih berasa bimbang sekiranya 100 bangunan lain di kawasan itu berisiko untuk turut dirobohkan.

Sumber: AFP 

Sumber : SiakapKeli