Imej Pengolokan Galaxy Tab S6 Tertiris Lagi – Memperlihatkan Bingkai Skrin Yang Lebih Kecil

Samsung pada saat ini dilaporkan sedang membangunkan Galaxy Tab S6, melalui beberapa info dan gambar yang tertiris sebelum ini. Sebuah imej pengolokan peranti ini nampaknya tertiris lagi, yang kini memperlihatkan rekaan hadapan peranti yang lebih jelas.

Gambar pengolokan ini dikongsikan oleh @evleaks yang terkenal dengan perkongsian maklumat mengenai peranti yang belum dilancarkan. Imej pengolokan ini dilihat tulen, dan mungkin daripada imej pemasaran Samsung yang tertiris. Selain daripada imej, beliau juga mengesahkan peranti ini akan dikenali sebagai Samsung Galaxy Tab S6 berbanding Galaxy Tab S5.

Menurut beberapa maklumat yang tertiris sebelum ini, Galaxy Tab S6 akan menyertakan papran sebesar 10.5-inci, cip Snapdragon 855, memori 6GB RAM, dan pilihan storan dalaman 128GB / 256GB. Ia juga bakal menyertakan kebolehan dwi-kamera utama, sokongan S-Pen, pengecasan pantas 15W, dan bateri berkapasiti 6840 mAh.

Dengan gambar yang tertiris ini, ia mengesahkan tablet ini akan hadir dengan penawaran yang berkuasa, melalui gambar paparan yang memfokuskan permainan. Untuk menantikannya, Samsung Galaxy Tab S6 dijangka akan dilancarkan di New York pada 7 Ogos ini, iaitu acara yang sama dengan pelancaran siri Galaxy Note10.

Sumber : Amanz