Kesan Senjata Taser Dan Stun Gun Terhadap Manusia

Kebanyakan
daripada kita yang meminati dunia pertempuran dan keselamatan, sudah tentu kita
pernah mendengar dua jenis senjata yang seringkali dipaparkan di dalam
mana-mana filem Hollywood. Senjata ini tak lain dan tak bukan adalah stun gun
dan TASER®.

Pertama
sekali kita perlu mengetahui apakah itu stun gun dan TASER®, dan apakah
perbezaannya.TASER® sebenarnya adalah satu jenis jenama bagi produk yang
membolehkan seseorang itu menggunakannya ibarat menembak menggunakan pistol.
TASER® dihasilkan dan dijual di bawah satu syarikat persenjataan bernama Axon.

Memandangkan
syarikat ini memonopoli penjualan senjata elektrik ini, maka, kebanyakan
masyarakat di Amerika memanggilnya TASER®, sama seperti masyarakat Malaysia
yang memanggil penyembur serangga sebagai Ridsect, dan mi segera sebagai Maggi.

TASER®
mempunyai keupayaan untuk menembak dua ‘probe’ yang berbentuk seakan-akan
sumpit/lembing (spear-shaped probes), yang dilancarkan dengan katrij yang
mengandungi propellant yang terdiri daripada gas nitrogen. Probe ini
disambungkan dengan pulse generator yang menghasilkan tenaga elektrik sebanyak
50,000 volts yang dihasilkan setiap lima saat. Probe ini perlu sentiasa
bersambung dengan wayar yang mana kebiasaannya mempunyai kepanjangan diantara
4.5 – 10.6 meter.

Stun gun
pula berbeza di mana alat yang mempunyai saiz seperti alat kawalan jauh
televisyen ini menghasilkan arca elektrik yang bersambung di antara dua
probenya. Tenaga yang dihasilkan amat tinggi yang mana adakalanya mencecah
sehingga 250,000 volts. Sayangnya, penggunaan stun gun ini memerlukan seseorang
untuk menyentuh badan musuh untuk menjalankan kesannya.

Dalam satu
temubual wartawan CNN kepada Dr Ron Martinelli, iaitu pakar dalam bidang
forensik, dan juga jurulatih kepada pasukan polis di Amerika, beliau menyatakan
bahawa terdapat sedikit salah faham mengenai ketinggian voltage yang dihasilkan
oleh senjata ini, yang mana, walaupun TASER®menghasilkan 50,000 volt tenaga dengan
amperage yang sangat rendah, cuma 500 -1500 volts sahaja kesan yang masuk ke
dalam badan seseorang yang terkena tembakan TASER® ini.

Dalam
latihannya, beliau sering berpesan kepada anggota-anggota polis di sana untuk
mengelak daripada menembak TASER® ini ke bahagian dada seseorang kerana
kesannya boleh membunuh. Beliau menyatakan bahawa lokasi dan sasaran yang
terbaik adalah di bahagian belakang seseorang, yang mana sebabnya akan saya
bincangkan kemudian.

Dalam
bidang perubatan, kita diajar satu proses di mana dalam setiap pergerakkan
manusia, rasa dan pemikiran, saraf kita berkomunikasi dengan cara menghantar
impuls elektrik dari satu saraf ke saraf yang lain. Contohnya, apabila kita
hendak bergerak, otak kita akan menghantar impuls elektrik kepada otot badan
kita dan perhubungan di antara saraf dengan otot ini kita namakan sebagai
neuromuscular interaction.

Juga,
apabila kita merasai kesakitan atau deria rasa yang bergantung kepada jenis
reseptor di dalam badan kita (panas, sejuk, sakit, tekanan), isyarat dalam
bentuk impuls elektrik akan dihantar ke arah otak kita. Namun, jumlah tenaga
yang digunakan dalam proses ini amat rendah, dan tidak melebihi 100 milivolts
(0.1 volt) sahaja.

Apabila
seseorang terkena tembakan TASER® ini, saraf di seluruh badannya akan menjadi
overloaded dengan pengaliran elektrik. Hal ini akan menyebabkan apa yang kita
panggil sebagai neuromuscular incapacitated, di mana kebanyakkan perhubungan di
antara otot dengan saraf terganggu. Untuk sesetengah orang juga, ketinggian
voltage ini akan menyebabkan otot mereka mengecut dan gagal dikawal.

Ini adalah antara sebab mengapa Dr Ron Martinelli menggalakkan tembakan probe ini ke belakang badan seseorang itu memandangkan bahagian belakang manusia mempunyai lebih banyak otot, dan kesan elektrik ini menyebabkan seseorang itu rebah kerana banyak ototnya tidak lagi dapat dikawal.

Renjatan elektrik ini juga boleh menyebabkan seseuatu yang kita panggil sebagai anterograde amnesia, iaitu mana-mana individu yang terkena tembakan ini akan menjadi lupa dan hilang ingatan mengenai peristiwa yang baru berlaku, di mana temubual terhadap mana-mana individu tersebut menyatakan bahawa perkara terakhir yang mereka ingat adalah ditembak oleh anggota polis. Akan tetapi, kesan anterograde amnesia ini hanya bersifat sementara, dan mereka kembali normal selepas 1-2 jam daripada saat mereka terkena tembakan.

Sekiranya
anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesan taser ini terhadap
manusia, anda boleh mengunjungi dan memuat turun fail pdf ini yang telah mereka
sediakan mengenai kesan klinikal terhadap mana-mana orang yang terkena tembakan
TASER® ini

https://fflm.ac.uk/wp-content/uploads/2018/12/Effects-and-management-of-TASER-discharge-Dr-J-Payne-James-and-Dr-B-Sheridan-Dec-2017.pdf

Sememangnya,
di awal penciptaan dan penggunaan senjata elektrik ini, terdapat banyak
kontroversi kerana kebanyakkan pengeluar senjata ini melabelkannya sebagai
‘non-lethal’. Namun, akibat munculnya beberapa kes seperti serangan jantung dan
degupan jantung yang tidak tetap menyebabkan mereka mengklasifikasikan senjata
ini sebagai ‘less-lethal’.

Dalam
perkembangan dunia persenjataan ini, terdapat banyak penambahbaikkan dari segi
reka bentuk dan fungsi sesuatu senjata itu, antaranya adalah aksesori yang
boleh diletakkan di bawah senjata karbin seperti M4 dan M16 atau mana-mana
senjata yang mempunyai sistem picatinny railing yang membolehkan seseorang
anggota itu menukar mode serangan daripada lethal (iaitu penggunaan peluru)
ataupun less-lethal.

Terdapat
beberapa senjata dalam proses untuk dikeluarkan seperti X12 shotgun dengan
pelurunya yang dinamakan sebagai XREP (eXtended Range Electronic Projectile)
yang mampu mengenai sasaran yang terletak pada jarak 20 meter. Peluru ini
mempunyai kapasiti untuk memberi kesan elektrik secara ‘wireless’.

Di negara kita, setakat ini TASER® ini masih lagi tidak digunakan secara meluas untuk anggota-anggota keselamatan seperti pihak Polis Diraja Malaysia dan faktor kos yang amat tinggi untuk membekalkan senjata-senjata ini. Juga, kebanyakan kritik daripada pasukan keselamatan terutamanya daripada Amerika Syarikat yan gsering mengatakan bahawa terdapat banyak masalah dengan senjata elektronik ini. Adakalanya boleh membahayakan nyawa seseorang anggota itu kerana kerosakkan mahupun kecenderungan alat ini untuk ‘malfunction’ agak tinggi.

The post Kesan Senjata Taser Dan Stun Gun Terhadap Manusia appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots