FAM Mohon Maaf, Tiada Niat ‘Claim’ Kejayaan Skuad B-15 Kebangsaan

Sekarang ini sedang berlangsung sebuah kejohanan Asean Football Federation (AFF) Bawah 15 tahun di Chonburi, Thailand. Skuad negara B-15 bimbingan jurulatih P.Maniam beraksi cemerlang selepas 3 perlawanan setakat ini. Pasukan kebangsaan mencatat kemenangan ke atas Brunei B-15, Kemboja B-15 dan terbaru menumbangkan negara gergasi Asia, Australia bawah 15 yang buat ramai peminat bola sepak bangga atas kemenangan tersebut.

Sejurus selepas perlawanan tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuatnaik status di Facebook rasmi mereka yang mendakwa kejayaan tersebut hasil daripada Program DNA Bola Sepak Negara yang baru dilancarkan sebulan yang lalu. Namun, status itu telah dipadam oleh FAM selepas menerima pelbagai kecaman dan kritikan dari warganet yang rata-rata tidak setuju dengan kenyataan tersebut.

Hari ini, FAM menerusi Setiausaha Agung mereka, Stuart Ramalingam memuatnaik status permohonan maaf berkenaan isu terbabit dan menyatakan tiada niat untuk claim kejayaan itu dan telah berikan penjelasan di dalam status yang dimuatnaik sebentar tadi.

Berikut adalah kenyataan penuh dari FAM berhubung isu tersebut:

FAM Mohon Maaf, Tiada Niat ‘Claim’ Kejayaan Skuad B-15 Kebangsaan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin memohon maaf di atas kenyataan yang disiarkan di facebook rasmi kami, malam tadi.

Bukan niat FAM untuk mengambil kredit atau ‘claim’ kejayaan skuad B-15 kebangsaan kendalian P Maniam menewaskan Australia 3-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan B, Kejuaraan B-15 AFF 2019 di Chonburi, Thailand, petang semalam adalah hasil segera daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang baru saja dilancarkan FAM pada 9 Julai lalu.

Apa yang cuba dimaksudkan dalam kenyataan itu sebenarnya adalah kejayaan tersebut serta prestasi baik skuad B-15 kebangsaan bermula dengan Kejohanan Jockey Club International Youth 2019 Di Hong Kong, April lalu, seterusnya muncul juara CFA Team China International Youth Football Tournament Haikou 2019, bulan lalu dan disusuli aksi baik pada Kejuaraan B-15 AFF 2019 ketika ini menunjukkan yang mereka berada pada landasan yang betul dan seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia itu.

Untuk makluman semua, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) merupakan projek yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018.

Kami gembira melihat kerjasama ini telah mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan-pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 kebangsaan ini jelas menunjukkan bahawa projek ini sedang berjalan dengan baik dan lancar.

Di sini, FAM turut ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada barisan penggerak NFDP dan juga pihak Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang kerana tanpa sokongan dan usaha mereka selama ini, para pemain skuad B-15 kebangsaan ini tidak akan sampai ke tahap terbaik ini bagi meneruskan kesinambungan corak permainan mereka seiring dengan DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan itu.

Kenyataan yang disiarkan di facebook rasmi kami, malam tadi itu juga telah pun dipadam.

Justeru, saya berharap agar kita semua tidak terus berbalah mengenai hal mengambil kredit atau ‘claim’ ini. Sebaliknya marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu dan mendoakan skuad B-15 kebangsaan terus mencatat kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan B bertemu Laos esok dan tuan rumah, Thailand pada Isnin untuk kita layak ke separuh akhir dan seterusnya ke pentas final bagi menjuarai kejohanan ini.

Stuart Ramalingam
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Sumber: FAM

Sumber : SiakapKeli