Acer Melancarkan Siri Komputer Riba Acer Aspire Dan Paparan Skrin Mudah Alih Baru

Di acara Freedom To Play yang sedang berlangsung di Mid Valley Megamall sepanjang minggu ini, Acer Malaysia telah memperkenalkan siri terbaru komputer riba Acer Aspire mereka, dimana ia terdiri daripada Acer Aspire 3 dan juga Acer Aspire 5.

Bermula dengan siri Acer Aspire 3, ia adalah komputer riba produktiviti 15.3 inci yang hadir dengan spesifikasi berkuasa dan tanda harga mampu milik yang sangat sesuai untuk para pelajar muda hari ini.

Spesifikasi dalaman komputer riba Acer Aspire 3 ini hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5-8265U ataupun Intel Core i7-8565U, memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga pilihan storan SSD sebesar 256GB ataupun cakera keras 1TB.

Acer Aspire ini hadir dengan paparan skrin berbingkai nipis yang memberinya paparan bersaiz 15.3 inci didalam rangka komputer riba 14 inci, dan disamping itu, ia dilengkapi dengan palam-palam I/O yang cukup banyak seperti dua palam USB 3.1 Type-A, satu palam USB 2.0, satu palam HDMI dan juga pembaca kad SD.

Acer Aspire 5 pula kini hadir dengan model 14 inci yang bukan sahaja dilengkapi dengan paparan skrin berbingkai nipis, tetapi juga rekaan badan yang kelihatan seakan-akan Acer Swift 5 yang pertama.

Spesifikasi dalaman komputer riba ini terdiri daripada pilihan CPU yang sama, memori DDR4 sebanyak 4GB dan storan SSD sebanyak 256GB. Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX250 yang boleh digunakan untuk mengekod video dengan lebih pantas, ataupun menggerakkan permainan komputer.

Selain dari itu, Acer turut mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk paparan skrin mudah-alih Acer PM161Q, iaitu sebuah paparan mudah alih bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD yang boleh digunakan untuk melanjutkan paparan skrin komputer riba ataupun peranti pintar anda.

Acer Aspire 3 tiba dengan tiga rekaan warna menarik, iaitu Obsidian black, Indigo Blue dan Rococo Red boleh dibeli sekarang di kedai atas talian Acer Malaysia ataupun pengedar sah tempatan pada harga bermula RM2399 ataupun RM3099 bergantung kepada spesifikasi.

Acer Aspire 5 pula akan tiba pada penghujung bulan Ogos dengan rekaan warna Pure Silver, Indigo Blue dan Charcoal Black pada harga bermula RM2499 ataupun RM3099 bergantung kepada spesifikasi.

Paparan mudah-alih Acer PM161Q pula akan tiba di pasaran tempatan pada bulan September kelak pada harga RM599.

Sumber : Amanz