Video Dera: UPNM Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membuat laporan polis susulan video lama yang tular di laman sosial baru-baru ini, yang menurutnya ia bagaikan memberi gambaran seolah-olah amalan dera merupakan perkara biasa di universiti berkenaan.

UPNM menerusi satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan dalaman mendapati video itu memaparkan kes yang berlaku tiga tahun lalu dengan mereka yang terlibat telah dikenakan tindakan tatatertib termasuk pembatalan tauliah serta disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Video ini membawa kesan negatif terhadap imej universiti dan gambaran yang tidak tepat mengenai keadaan ketika ini. Satu laporan polis sudah dibuat mengenai video itu agar siasatan dapat dijalankan bagi menentukan pihak terbabit serta motifnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi UPNM mengambil serius kes dera melibatkan pegawai kadet dan pelajar awam serta mengamalkan konsep ‘zero tolerance for ragging’.

Video yang tular di media sosial itu menunjukkan sekumpulan lelaki mencederakan tiga individu disyaki penuntut UPNM. Kesemua mangsa yang muka mereka ditutup dengan kain ditampar dan ditendang oleh tiga lelaki itu.

Video berdurasi kira-kira seminit itu dimuat naik seorang individu yang mendakwa UPNM bagaikan sebuah kem tahanan.

Sumber: Bernama

Sumber : SiakapKeli