Buruh Indonesia Mati Ditikam Rakan Di Batu Gajah

BATU GAJAH, 2 Ogos (Bernama) — Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam dalam satu pergaduhan di rumah kongsi sebuah tapak pembinaan di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata buruh binaan berumur 24 tahun dari Madura, Indonesia itu dipercayai dibunuh antara pukul 11 malam semalam hingga 1.30 pagi ini di kawasan tapak pembinaan Silverlake, Jalan Bemban/Kampung Pisang di sini.

Katanya semasa polis tiba di lokasi sekitar pukul 1.30 pagi, kira-kira 50 penghuni rumah kongsi itu yang semuanya warga Indonesia, telah melarikan diri dan pihaknya percaya pergaduhan berpunca daripada salah faham sesama rakan sekerja.

“Polis tidak mempunyai maklumat yang tepat setakat ini dan lelaki itu disyaki meninggal dunia akibat kesan tikaman menggunakan senjata tajam di bahagian badan.

“Senjata yang digunakan belum ditemukan, unit anjing pengesan (K9) telah dipanggil ke lokasi dan polis masih menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah bagi membantu siasatan.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli