Amazon Didakwa ‘Kehilangan’ Hutan Lebih Besar Dari Saiz London Dalam Masa Sebulan Akibat Pembalakkan

Sebut sahaja mengenai hutan Amazon di Brazil, pasti kita membayangkan sebuah hutan belantara yang sangat tebal dan menjadi habitat pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan unik.

Namun, anak dan cucu kita berkemungkinan besar bakal mempunyai bayangan yang berbeza mengenainya nanti.

Ini kerana hutan berkenaan kini sedang ‘dilicinkan’ secara rakus akibat aktiviti pembalakan yang sedang rancak dilakukan di sana.

Malah, buat pertama kali dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, kawasan hutan Amazon yang telah ‘hilang’ dalam tempoh sebulan akibat pembalakan itu didakwa adalah lebih besar berbanding seluruh kawasan kota London.

Menurut The Guardian, jika aktiviti pembalakan ini tidak dikawal dengan serta-merta, tidak mustahil hutan hujan terbesar di dunia itu tidak akan dapat dipulihkan lagi.

Capybara dan jaguar (Foto: Google)

Perkara ini dibimbangi akan memberi kesan buruk terhadap sistem iklim Bumi serta mengancam spesis hidupan liar yang hanya mudah dijumpai di hutan berkenaan seperti capybara, ular anaconda, jaguar dan sebagainya.

“Adalah sangat penting untuk kita terus menyuarakan kebimbangan ini. Hutan ini semakin hampir kepada tahap ‘tidak boleh diselamatkan’,” kata Philip Fearnside, seorang profesor di Institut Penyelidikan Kebangsaan Amazon.

Sumber: The Guardian

Sumber : SiakapKeli