Hasrat Nak Langsungkan Perkahwinan Musnah, Lelaki Ini Mendakwa Ditipu Syarikat Pinjaman Wang

Siapa saja yang tidak mahu berkahwin, pastinya hubungan yang sudah terbina atas dasar cinta pasti ingin akhiri dengan perkahwinan. Namun, kadangkala dugaan datang tanpa diduga, sebuah mahligai yang diidamkan musnah dengan sekelip mata.

Seperti kisah ini, hasrat seorang pemandu membuat pinjaman kewangan untuk majlis perkahwinan menjerat diri apabila kerugian RM20,650 kerana diperdaya syarikat pemberi pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa mendakwa membuat permohonan pinjaman pada 16 Mei lepas, selepas dihubungi wakil syarikat itu.

Mangsa mendakwa tertarik untuk membuat pinjaman sebanyak RM30,000 selepas suspek mengatakan syarikat itu berdaftar di bawah Bank Negara dan memiliki lesen yang disyaratkan kerajaan untuk menjalankan perniagaan pemberi pinjaman kewangan.

“Suspek seterusnya didakwa mengumpan mangsa dengan mengatakan mereka menawarkan kadar faedah pinjaman sebanyak lima peratus yang terhad dan mangsa merupakan antara individu bertuah untuk menerima kemudahan itu.

“Untuk mendapatkan tawaran itu, mangsa diminta mengemukakan dokumen peribadi kononnya bagi tujuan pengesahan kelayakan permohonan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek menghubungi mangsa pada keesokan hari memaklumkan pinjaman telah diluluskan dan menghantar salinan surat pengesahan menerusi aplikasi WhatsApp bagi menyakinkan mangsa.

Suspek, bagaimanapun memberitahu mangsa perlu membuat bayaran RM500 sebagai bayaran pemprosesan untuk mengeluarkan pinjaman itu, yang diikuti dengan pelbagai bayaran lain yang akhirnya berlanjutan sehingga 12 transaksi.

“Mangsa akhirnya berasa marah kerana wang pinjaman masih tidak diterima sedangkan telah menjelaskan bayaran yang besar dan menuntut supaya wangnya dikembalikan namun suspek melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli