Polis, Orang Awam Cedera Diserang Dalam Pergaduhan Dua Kumpulan Lelaki

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) — Seorang anggota polis dan satu orang awam cedera akibat diserang menggunakan parang dalam pergaduhan antara dua kumpulan lelaki di Kuil Kaliamma Bestari Jaya, Kuala Selangor dekat sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata anggota berumur 34 tahun dari Balai Polis Bestari Jaya itu cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima enam jahitan manakala orang awam terbabit yang putus sebahagian tapak tangan kiri sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 9.15 malam itu, pergaduhan antara kedua-dua kumpulan lelaki terbabit tercetus dipercayai akibat rasa tidak puas hati berkaitan pemasangan khemah pada upacara keagamaan yang sedang berlangsung di kuil berkenaan.

“Kedua-dua kumpulan itu pada mulanya bertengkar namun membawa kepada pergaduhan menggunakan senjata parang. Polis yang bertugas ketika perarakan itu cuba menenteramkan keadaan dan membuat tangkapan namun diserang oleh kumpulan berkenaan.

“Susulan insiden itu, seramai 28 lelaki ditahan di sekitar Kuala Selangor sejak tengah malam tadi sehingga awal pagi ini dipercayai terbabit dengan pergaduhan itu dan turut dirampas bersama mereka lima bilah senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Fadzil, keadaan di sekitar kuil berkenaan telah dikawal sepenuhnya dan polis masih mengesan lagi individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 326 kanun sama kerana mengakibatkan kecederaan menggunakan senjata.

— BERNAMA

Sumber : SiakapKeli