Bagaimana Yahudi Menghidupkan Bahasa Ibrani Yang Mati

“Mi’maeot
Le’khayot Be’safa Ha’ivrit”, itu adalah antara ayat dalam Bahasa Ibrani yang
bermaksud “Daripada mati ke hidup Bahasa Ibrani”. Bahasa Ibrani ataupun nama
asalnya, Ivrit (עברית) merupakan bahasa Semitik Tengah di bawah cabang
Afroasiatik yang dituturkan oleh sekitar tujuh (7) juta orang di Israel,
Argentina, Australia, Brazil, Kanada, Perancis, Jerman, Palestin, Panama, United
Kingdom dan Amerika Syarikat. Artikel ini membincangkan tentang perkembangan
bahasa tersebut selama ribuan tahun.

Menurut seorang pengulas kelahiran Poland yang bernama Avraham Ben-Yosef (1620-1670), bahasa Ibrani digunakan secara meluas pada zaman Kerajaan Israel Kuno (930-720 SM) dan Kerajaan Judah (900-586 SM) sebelum tumbang ditawan oleh Empayar Babylon (626-539 SM). Ketika dalam tawanan tersebut, mereka mempelajari bahasa Aramaik iaitu salah satu daripada bahasa rasmi empayar. Akhirnya, bahasa Ibrani pupus sepenuhnya pada tahun 1000 Masihi.  Masa berlalu, tiada sesiapa pun yang bertutur dalam bahasa Ibrani dan jika ada pun, ia terhad kepada upacara keagamaan sahaja.

Pada hari Khamis yang bertarikh 13 Oktober 1881, seorang penyunting surat khabar kelahiran Empayar Rusia yang bernama Eliezer Ben-Yehuda (1858-1922) telah mengubah takdir bahasa tersebut dengan izin-Nya. Beliau dan kawan-kawannya telah bersetuju untuk berbual dalam bahasa itu. Pengetahuan Ben-Yehuda dalam Taurat, Mishna dan Talmud membantu beliau dalam proses menghidupkan semula bahasa tersebut.

Selain itu, institusi keluarga Ben-Yehuda juga salah satu langkah
menghidupkan semula bahasa berkenaan. Beliau melarang isterinya untuk
menyanyikan lagu dodoi Rusia kepada anaknya, Ben-Zion Ben-Yehuda. Malah,
anaknya juga tidak dibenarkan bergaul dengan orang ramai ketika zaman
kanak-kanaknya untuk mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan bahasa lain.
Kesannya, anak tersebut adalah orang pertama di dunia yang menjadikan bahasa
tersebut sebagai bahasa ibundanya.

Gelombang Penghijrahan (Aliya) ke Palestin dari tahun 1881 kerana
kebangkitan nasionalisme Yahudi di Eropah melalui Gerakan Zionis merancakkan
lagi proses tersebut. Orang Yahudi yang bertebaran di seluruh dunia selama
ribuan tahun disatukan dengan bahasa yang sama iaitu Bahasa Ibrani. Sekolah
Bahasa Ibrani yang pertama ditubuhkan di Baitulmuqaddis ataupun Jerusalem.
Kemudiannya, Bahasa Ibrani digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian dan
akhirnya menjadi bahasa yang sistematik dan menjadi bahasa kebangsaan mereka.

Tarikh 14 Mei 1948, negara Israel ataupun nama rasminya, “Medīnat Yisrā’el”
dan “Dawlat Isrāʼīl” dalam bahasa Ibrani dan Arab masing-masing berjaya
ditubuhkan. Bahasa rasmi di negara tersebut adalah Bahasa Ibrani dan Arab
(Sehingga tahun 2018). Israel, sebuah negara yang diiktiraf oleh
sekurang-kurangnya 149 daripada 195 negara di seluruh dunia.

Untuk pengetahuan semua, terdapat dua jenis bahasa Ibrani iaitu Ibrani
Alkitab (Biblical Hebrew) dan Ibrani Moden (Modern Hebrew). Bahasa Ibrani
Alkitab ataupun nama asalnya, “Ivrit Miqra’it” dituturkan pada zaman
pra-Babylon manakala Ibrani Modern ataupun nama asalnya, “ʿivrít ḥadašáh”
dituturkan pada hari ini. Apakah perbezaan antara kedua-kedua jenis tersebut?

Terdapat perbezaan daripada pelbagai sudut dalam bahasa berkenaan. Daripada
segi susunan ayat, ayat Ibrani Alkitab berbunyi “diber ha-ish el-moshe” yang
bermaksud “Berbicara lelaki itu kepada Musa” manakala Ibrani moden berbunyi “ha-ish
diber el-moshe” yang bermaksud “Lelaki itu berbicara kepada Musa”. Ya, susunan
ayat Alkitab adalah VSO (Kata Kerja – Subjek – Objek) dan ayat moden adalah SVO
(Subjek – Kata Kerja – Objek). Kebolehfahaman Bersama Alkitab-Moden menerima
pelbagai reaksi penuturnya, ada yang mendakwa beliau mampu memahaminya dengan
mudah dan ada yang mengibaratkan kefahamannya seperti penutur bahasa Inggeris
membaca ayat Shakespeare.


Kesimpulannya, itu adalah kisah “Daripada Mati ke Hidup Bahasa Ibrani”
secara ringkas. Peranan pelbagai pihak membantu menghidupkan semula khazanah
yang lenyap selama ribuan tahun. Semoga kisah tersebut menjadi pembakar
semangat kepada kita untuk menyelamatkan dan mempertahankan khazanah kita
daripada lenyap ditelan zaman. Apakah yang anda tahu tentang bahasa Ibrani?
Sila berikan maklumbalas anda kepada kami.

RUJUKAN:

How different are Ancient and Modern Hebrew?
Retrieved August 5, 2019 from https://forum.duolingo.com/comment/16250071/How-different-are-Ancient-and-Modern-Hebrew

How Different are Modern Hebrew and Biblical
Hebrew? Retrieved August 5, 2019 from https://langfocus.com/language-features/how-different-are-modern-hebrew-and-biblical-hebrew/

How Many Countries Are There In The World.
Retrieved August 5, 2019 from https://www.worldometers.info/geography/how-many-countries-are-there-in-the-world/

Israel International Relations: International
Recognition of Israel. Retrieved from https://www.jewishvirtuallibrary.org/international-recognition-of-israel

Lubell, Maayan (19 July 2018). “Israel
adopts divisive Jewish nation-state law”. Reuters.

“Israel Passes ‘National Home’ Law,
Drawing Ire of Arabs”. The New York Times. 19 July 2018.


Hebrew’s Reviver Is Born. Retrieved August 5,
2019 from https://www.haaretz.com/jewish/.premium-1858-hebrew-s-reviver-is-born-1.5289349

This Week In History: Revival Of The Hebrew
Language. Retrieved August 5, 2019 from https://www.jpost.com/Jewish-World/Jewish-News/This-week-in-history-Revival-of-the-Hebrew-language

Avraham ben-Yosef, Introduction to the History
of the Hebrew Language, page 38, Tel-Aviv, 1981.

300 BC: The Death of Hebrew Language.
Retrieved August 5, 2019 from http://www.bible.ca/manuscripts/Septuagint-LXX-Extinction-Hebrew-first-century-mass-rapid-language-conversions-failed-restoration-attempts-Yiddish.htm

Hebrew in Omniglot. Retrieved August 5, 2019
from https://omniglot.com/writing/hebrew.htm

The post Bagaimana Yahudi Menghidupkan Bahasa Ibrani Yang Mati appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots