Jam Tangan Wear OS Fossil Gen 5 Diperkenalkan – 1GB RAM, Snapdragon Wear 3100 Dan Kalis Renang

Fossil adalah satu jenama jam yang terkenal. Jenama ini kebiasaannya hadir dengan jam tangan dengan rekaan yang sesuai untuk para profesional. Tetapi, mereka juga turut mengikuti trend peranti boleh pakai dengan kehadiran jam tangan pintar tersendiri.

Model terbaru adalah Fossil Gen 5, yang mana dijana dengan Snapdragon Wear 3100. Tidak banyak jenama jam tangan pintar yang menggunakan cip pemproses ini. Fossil Gen 5 adalah pewaris bagi Fossil Gen 4 yang diperkenalkan sebelum ini. Kali ini ia hadir dengan memori 1GB RAM, storan dalaman 8GB, skrin AMOLED 1.28-inci dan menjalankan sistem operasi Wear OS.

Model baharu ini hadir dengan ketahanan kalis renang, yang mana lebih tahan berbanding IP68. Fossil turut menyertakan sokongan pengecasan pantas pada jam baharu mereka ini. Perkara menarik lain adalah, jam ini terbina dengan pembesar suara – jadi pengguna boleh berinteraksi dengan Google Assistant dan juga mendengar notifikasi masuk. Seperti banyak jam tangan pintar lain, jam ini juga mempunyai fungsi-fungsi menjejak kesihatan seperti pengimbas nadi.

Untuk bateri, jam tangan pintar Wear OS Fossil Gen 5 ini mampu bertahan selama 36 Jam (mengikut penggunaan) atau 1 minggu jika menggunakan mod jam biasa (seakan TicWatch Pro). Jam ini sudah pun tersenarai di laman web Fossil dan mempunyai tanda harga $295 (~RM1236). Jika kita ikuti trend Fossil Malaysia, jam ini turut akan memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat dan harga pasti tidak akan lari jauh dengan harga USD.

Sumber : Amanz