Google Pixel 4/4 XL Mungkin Akan Menggunakan Skrin Dengan Kadar Segar Semula 90Hz

Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL adalah dua peranti mercu baharu Google untuk tahun ini. Ia dijangka akan dilancarkan pada bulan Oktober 2019 nanti. Walaupun sudah banyak butiran tertiris kita dengar, masih banyak lagi yang belum kita ketahui.

Google sendiri telah mengesahkan yang siri Pixel 4 akan mempunyai sensor radar terbina – Soli. Melalui sensor ini sistem sekuriti seakan FaceID oleh Apple boleh digunakan. Google turut memberi sokongan kawalan gestur atas udara. Terkini, pihak 9to5Google melaporkan yang kedua-dua peranti Pixel baharu ini akan mempunyai skrin dengan kadar segar semula 90Hz.  Ia dinamakan sebagai ‘Smooth Display‘.

Untuk Pixel 4, ia dikatakan akan menggunakan skrin 5.7″ OLED FHD+. Manakala Pixel 4 XL pula 6.3″ OLED QHD+. Bateri pula adalah 2800mAh dan 3700mAh, memori 6GB RAM dengan storan dalaman sehingga 128GB. Kamera utama jika dilihat pada kod APK kamera adalah 12MP + 16MP. Turut akan diteruskan adalah penggunaan cip sekuriti Titan M.

Peranti turut dikatakan akan menyokong aksesori kamera, yang menjadikan peranti seakan sebuah kamera DSLR. Mampukah Google kembali menjadi yang pertama dalam skor DxOMark seperti Google Pixel 2016? Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Amanz