Siaran EPL Percuma: Realistik Atau Bombastik?

Dalam
dunia politik, sudah jadi suatu kebiasaan untuk membentangkan
manifesto-manifesto yang bersifatkan luar batasan akal. Bukan Malaysia sahaja
yang mengalami sindrom terlebih susu dalam teh tarik ini. Malah hampir setiap
negara turut mempunyai ahli-ahli politik yang menyimpan prasangka bahawa undi
lebih penting daripada integriti.

Sebagai
contoh, Donald Trump sendiri bermegah dengan bukti ampuh bahawa benteng
AS-Mexico tidak akan didirikan dengan dana daripada kerajaan Mexico City. George
W. Bush sendiri menipu tentang simpanan WMD di Iraq demi kesejahteraan kempen
dan kemandirian politiknya. Malah Ronald Reagan yang merupakan presiden paling
berpengaruh di Amerika Syarikat pun mempunyai sejarah penipuan juga.

Jadi
tidak peliklah apabila wujudnya segelintir ahli politik yang ingin meneruskan
karier dengan janji luar biasa. Cuma apabila ditanya, siapa saja yang tidak
fikirkan idea siaran EPL percuma? Semua orang mesti suka, disebabkan hiburan
sepanjang tahun. Tetapi dari segi kaca mata realistik, usaha ke arah siaran EPL
percuma memang tidak masuk akal.

Jika
kerajaan memang nekad untuk melaksanakannya, terdapat dua laluan yang boleh
digunakan. Yang pertama senang kata memang memerlukan penantian yang lama.
Proses pembidaan sebegini hanya boleh dibuat pada waktu tertentu sahaja.
Kriteria pembidaan ini sebenarnya berbentukkan pakej, yang mana pembida perlu membeli terus hak siaran buat tiga
musim. Harganya juga begitu dahsyat iaitu £9.2 bilion (RM46 bilion), naik
8% daripada harga sebelumnya (AP, 2019).

Populasi dewasa Malaysia mencecah 22 juta. Dengan
harga ini, setiap seorang rakyat ibaratkan membayar RM77 setiap bulan permainan
yang ditanggung kerajaan secara sepenuhnya selama tiga musim.

Cara kedua pula menampilkan harga yang murah
sedikit, kerana ibaratkan hanya membeli setompok lembu berbanding seekor. Bila
bercakap tentang Liga Perdana Inggeris, bukan semua perlawanan akan disaksikan.
Majoriti akan membuka siaran secara kebiasaannya untuk bersorak untuk
Manchester United, Manchester City, Arsenal, Chelsea, Liverpool dan Tottenham
Hotspurs, sementara perlawanan seperti West Ham United dan Norwich City
misalnya akan mendapat sambutan hambar.

Maka EPL juga menawarkan pakej-pakej kecil (yang sebenarnya
lebih mahal). Sebanyak tujuh pakej ditawarkan dengan jenis-jenisnya seperti
hanya 32 perlawanan pada hari Sabtu, Ahad atau campuran sahaja. SkySports
telahpun memenangi Pakej B-E (£9.3 juta satu siaran) yang mana BT meragut Pakej
A (£9.22 juta satu perlawanan). Hanya yang tinggal untuk ditentukan ialah Pakej
F dan G. Dan dalam perbandingan skala besar, EPL masih lagi mempunyai harga
tambatan yang sangat murah berbanding NFL, NBA dan MLB. NFL sahaja mempunyai
kos keseluruhan menghampiri £25.95 bilion untuk 8 tahun, berbanding EPL yang
hanya £5.14 bilion (3 tahun sahaja).

Cara
kedua ini tentu sekali akan mengundang amarah rakyat kerana jaminan politik
menyentuh siaran EPL percuma. Terletak dibawah Iltizam 5, muka surat 191, untuk
anak muda: kerajaan akan menawarkan siaran percuma melalui RTM semua liga sukan
utama seluruh dunia, termasuk Liga
Perdana Inggeris
untuk pasukan diminati ramai. Bermakna UEFA Champions
League, Euro dan Piala Dunia turut terbabit dalam rangkaian yang diusahakan,
sekaligus melonjakkan kos perbelanjaan lagi.


Dengan
erti kata lain, perbelanjaan-perbelanjaan sebegini hanya relevan jika kerajaan
memandatkan ekonomi negara bercukai tinggi. Ataupun sekurang-kurangnya sumber
bahan api boleh menyekutukan Malaysia dengan OPEC atau Rusia. Hakikat bahawa
Malaysia masih lagi kecil dalam industri minyak dan bahan api menunjukkan tahap
kemampuan kerajaan untuk mengharapkannya. Dan menjanjikan bulan dan bintang
sepertimana dilakukan secara abstraknya merupakan naluri politik yang biasa.

Jika
“biasa” itu yang diburui, bermakna tiada perubahan akan terhasil.

RUJUKAN:

English Premier League broadcast rights rise
to $12 billion. (2019, May 21). Retrieved from https://www.usatoday.com/story/sports/soccer/2019/05/21/english-premier-league-broadcast-rights-rise-to-12-billion/39500789/

Premier League TV rights: Five of seven live
packages sold for £4.464bn – BBC Sport. (2018, February 13). Retrieved from https://www.bbc.com/sport/football/43002985

The post Siaran EPL Percuma: Realistik Atau Bombastik? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots