Snap Spectacles 3 Diumumkan Dengan Kemampuan Mengambil Gambar 3D

Kaca mata pintar Snap Spectacles 3 telah diumumkan sebentar tadi kali ini dengan kemampuan merakam gambar secara 3D. Tidak seperti dua model terdahulu, Spectacles 3 hadir dengan kamera sekunder yang ditugaskan untuk mengukur kedalaman kawasan sekeliling ketika gambar diambil. Rekaannya juga lebih ranggi jika dibandingkan dengan Spectacles 2 dengan penawaran warna Carbon dan Mineral.

Selain merakam gambar secara 3D, sensor kedalaman ini membolehkan pelbagai kesan khas realiti terimbuh digunakan pada video yang diambil. Ia mempunyai storan sebesar 4GB yang membolehkan ia menyimpan sehingga 1200 keping gambar atau 100 video. Dengan sekali caj pula ia boleh mengambil 200 keping gambar dan 70 video secara berterusan.

Cermin mata pintar ini akan dicas sebaik sahaja ia dimasukkan ke dalam sebuah tempat simpanan khas yang kemudiannya dicas menggunakan kabel UBS-C. Snap Spectacles 3 akan hanya dijual bermula November hadapan pada harga $380 (~RM 1593) sepasang. Pra-tempahan telah dibuka sekarang dan Spectacles 3 akan ditawarkan dalam jumlahyang terhad.

Sumber : Amanz