Mengapa Bahasa Mandarin Tidak Akan Menjadi Bahasa Lingua Franca?

Seorang warga
Russia, seorang warga Korea dan seorang warga Mexico masuk ke dalam sebuah bar.
Bagaimanakah mereka berbual antara satu sama lain?

Tentunya dalam
bahasa Inggeris walaupun ia bukanlah bahasa ibunda mereka. Sekarang, gantikan
(latar tempat) bar itu dengan Persidangan Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) di
China yang berlangsung pada minggu ini. Setiap ketua negara yang mewakili
negara-negara berkenaan masih jua perlu berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris.
Hal ini kerana bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa rasmi bagi APEC,
walaupun jika perkumpulan APEC itu diadakan di Beijing.

Baru-baru ini,
Mark Zuckerberg telah menarik perhatian ketika lawatan persendiriannya ke
Beijing ekoran beliau memberikan kenyataan dengan menggunakan bahasa Mandarin.
Berita tersebut melahirkan buah mulut yang berkisar seputar adakah kenaikan
ekonomi Cina menandakan bahawa bahasa Mandarin juga berupaya untuk menandingi bahasa
Inggeris sebagai bahasa global pada suatu hari nanti?

Tak usah pasang hasrat langsung (untuk hal tersebut menjadi kenyataan). Kefasihan bertutur dalam bahasa Mandarin sememangnya akan sentiasa membantu memudahkan para pengunjung luar negara untuk menjalankan perniagaan di Cina, sama seperti kemahiran bertutur bahasa Portugis dapat memberikan kelebihan ketika berada di Brazil.

Namun, bahasa Mandarin sama sekali tidak berupaya menggugat bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan dunia, di mana bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua sesiapa pun jua ketika mereka ingin berkomunikasi dan berdagang di luar sempadan negara.

Berkat percaturan bijak daripada empayar British pada masa dahulu, penutur-pribumi Inggeris dapat mengambil kedudukan-kedudukan strategik di merata dunia. Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa ibunda bagi budaya popular sedunia seperti industri industri muzik, wayang, dan juga sukan terutama apabila berlakunya peningkatan kemasyhuran Liga Bola Sepak Inggeris (England’s Premier Leage).

Selain itu, tidak diragukan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa teknologi yang menghubungkan kita semua. Kebanyakan bahasa langsung tidak berminat untuk menamakan semula istilah bagi perkara-perkara seperti ‘internet’ atau ‘text’ atau ‘hashtag’.

Tidak menghairankan
apabila keluar anggaran lebih kurang dua billion manusia akan bertutur dalam
bahasa Inggeris menjelang 2020, di mana kebanyakan daripada mereka mempelajari
bahasa tersebut sebagai bahasa kedua mereka.


Bahasa Inggeris secara asasnya merupakan sebuah bahasa yang bersifat berkecuali (neutral). Tiada ciri pengkhususan jantina dalam bahasa Inggeris sepertimana yang wujud dalam bahasa Romawi. Tidak ada juga pengkelasan taraf atau beza umur di dalam bahasa tersebut, berbeza dengan kebanyakan bahasa yang mempunyai ciri yang membezakan perkataan ‘kamu’ dengan konjugasi kata kerja yang berbeza-beza.

Contohnya, perkataan ‘kamu’ yang bersifat hormat (merujuk kepada ketua, orang tua, atau orang tak dikenali) berbanding perkataan ‘kamu’ untuk kenalan rapat (rakan, orang bawahan, kanak-kanak). Bahasa ini merupakan sebuah bahasa yang moden dan memiliki ciri kesamarataan yang bukan sedikit. Makanya, penggunaan bahasa ini juga bersifat lebih mudah dan jelas.

Bahasa Inggeris juga bersifat jauh lebih berkecuali dalam hal politik berbanding apa yang kita fikirkan. Malahan, pihak propaganda Jihad Islamis (merujuk kepada militan seperti IS) turut mengakui bahawa bahasa Inggeris itu lebih mudah untuk digunakan bagi tujuan menyebarkan dakyah mereka ke seantero dunia.

Dan sebarang kemunduran relatif kuasa dan pengaruh Amerika secara global di masa hadapan pada hakikatnya akan membantu penggunaan bahasa Inggeris secara lebih melua dan bukannya merosakkannya sekaligus hal ini akan menguraikan persepsi manusia terhadap bahasa Inggeris daripada perkaitan dengan Amerika Syarikat dan pengaruhnya.

Bahasa Perancis merupakan bahasa terakhir yang dilihat berpotensi untuk bersaing menjadi bahasa lingua franca dunia. Kita juga dapat mudah dapat memahami betapa bahasa ini terluka dan terkesan ekoran kegagalannya merebut tempat daripada bahasa Inggeris. Namun begitu, syarikat-syarikat Perancis juga dituntut untuk selari dengan aturan dunia dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa organisasi mereka.

Terdapat satu kisah yang boleh dianggap sebagai satu parody bagi negara Perancis moden di mana ianya melibatkan faktor kekecewaan yang menjadi dasar berlakunya mogokan di Air France baru-baru ini. Ianya berasas daripada kemarahan dalam kalangan kesatuan (union) syarikat penerbangan terhadap polisi pengambil bahasa Inggeris sebagai bahasa tetap bagi kegunaan komunikasi dalaman di setiap operasinya di peringkat global.

VIDEO SOAL JAWAB
MARK ZUCKERBERG YANG BERLANGSUNG DALAM BAHASA MANDARIN –https://www.youtube.com/watch?v=l3WPEA5wovc

Halangan bagi
bahasa Mandarin untuk mendapatkan kedudukan sebagai bahasa antarabangsa adalah
terlalu besar. Hal ini berdasarkan faktor linguistik, ekonomi, kebudayaan dan
politiknya sendiri. Perincian awal, bahasa Mandarin merupakan suatu bahasa yang
terlalu sukar untuk warga luar mencapai tahap pertuturan yang fasih. Tambahan
lagi, wujud pula kenyataan yang agak tidak menyenangkan di mana bahasa Mandarin
pada hakikatnya tidak dipandang tinggi pun di segenap pelusuk China.

Sememangnya,
penentangan paling tinggi ke atas sebarang dakwaan berkenaan kedudukan bahasa
Mandarin di peringkat dunia adalah berlaku di negara-negara berjirannya
sendiri. Kaji selidik yang dilakukan oleh PEW Research Center’s Global Attitude
Project menunjukkan bahawa penduduk di negara-negara seperti Filipina, Vietnam,
Korea dan Jepun lebih selasa dengan Amerika bebanding China sebagai kuasa besar
serantau. Dan ia bukanlah suatu kebetulan apabila bahasa Inggeris menjadi
satu-satunya bahasa rasmi bagi sebuah pertubuhan serantau negara-negara Asia
Tenggara – ASEAN.

Kaedah cordon
sanitaire
(pendiding) dalam rangka menyekat penyebaran kebudayaan (atau
jika tiba pada tahapnya, ketenteraan) China merupakan salah satu kedinamikan
dunia hari ini yang kurang dihargai di mana hal ini merupakan aurgur
(isyarat) yang bagus bagi bahasa Inggeris dan pengaruh budaya Amerika.


Segala keriuhan
yang menyelubungi peningkatan Cina ke taraf kuasa besar telah membuatkan kita
terlepas pandang akan satu hakikat yang disebutkan oleh ejen-ejen hartanah
sebagai “Kawasan Sempadan China (China Adjacent Region atau CAR) yang
mempunyai jumlah penduduk dan kuasa ekonomi yang jauh terkehadapan meninggalkan
China – melibatkan gabungan negara Jepun, Korea, Malaysia, Vietnam, Indonesia
dan seluruh Asia Tenggara serta India.

Jadi, tak
usahlah mengharapkan yang bahasa Mandarin akan dapat mencapai
keunggulan-peringkat-global dalam mengambil-alih kedudukan bahasa Inggeris. Itu
adalah berita baik bagi rakyat Amerika. Namun ada juga berita buruk terutama
bagi penduduk Amerika yang merasakan bahawa mereka tidak perlu mempelajari
bahasa kedua (sebagaimana negara-negara lain yang dituntut mempelajari bahasa
kedua iaitu bahasa Inggeris).

Hal ini kerana
kesejagatan bahasa Inggeris itu sendiri akan membuatkan semakin ramai populasi
di dunia mampu bertutur dalam pelbagai bahasa (sekurang-kurangnya dua bahasa)
di mana mereka akan bercakap bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda mereka.
Namun begitu, penduduk Amerika masih memiliki kelebihan di mana mereka boleh
memilih bahasa kedua mengikut citarasa tersendiri.

RUJUKAN

Andres Martinez.
(14 November 2014). Why Mandarin Won’t Be A Lingua Franca. Times.
https://time.com/3585847/mandarin-lingua-franca/

The post Mengapa Bahasa Mandarin Tidak Akan Menjadi Bahasa Lingua Franca? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots