Fon Telinga Nirwayar Sennheiser IE 80S BT Dilancarkan Untuk Peminat Audio Tegar

Galaxy Note 10, P30 Pro dan iPhone XS Max adalah tiga peranti yang tidak lagi menyertakan sokongan bicu audio 3.5mm. Pelbagai alasan diberikan dengan reaksi dari pengguna yang majoritinya agak negatif. Tetapi adalah sia-sia cuba menongkah arus kerana pasaran semasa melihat aksesori audio bluetooth ialah pilihan lebih bijak kerana menawarkan kualiti audio lebih tinggi. Bagi peminat audio berkualiti tinggi, Sennheiser IE 80S BT telah dilancarkan.

Ia adalah versi nirwayar kepada IE 80S yang dilancarkan sebelum ini. Fon telinga dari jenis dalam-telinga dengan gelung yang melingkar pada bahagian leher. Gelung leher ini menempatkan butang kawalan suara, main/jeda, butang menyeru pembantu maya (Assistant atau Siri) serta bateri. Terdapat angkup pada bahagian fon telinga yang memastikan ia terpasang kemas walaupun ketika pengguna melakukan aktiviti sukan. Sungguhpun begitu fon telinga ini tidak hadir dengan sebarang pengkelasan IP kalis air rasmi.

Sebagai fon telinga untuk peminat audio, codec SBC, aptX, aptX LL, aptX HD, AAC dan LHDC disokong. Terdapat juga DAC AKM yang memastikan kualuti audio adalah terbaik walaupun ketika menggunakan mod nirwayar. Aksesori tambahan membolehkan IE 80S BT berfungsi sebagai fon telinga berwayar sekiranya diperlukan.

Dengan sekali caj IE 80S BT boleh berfungsi sehingga enam jam secara berterusan. Pengecasan semula dilakukan menggunakan port USB-C tetapi pada kuasa maksimum 2.5W sahaja. Di Amerika Syarikat Sennheiser IE 80S BT dijual pada harga $500 (~RM 2100) sepasang.

Sumber : Amanz