La Isla De Las Munecas – Pulau Patung Berhantu Mexico

Tidak
sah di mana-mana negara, ada saja tempat yang dianggap menakutkan penduduk
tempatan tetapi berpotensi menjadi tempat tarikan pelancong. Yalah, memang
benar ia menjadi sumber ekonomi penduduk tempatan tetapi tahanlah kalau ada
berlari dengan selipar di tangan dan kaki berlari laju macam Road Runner. Bagi
penduduk Mexico City, Pulau Anak Patung atau La Isla de las Munecas ini
terkenal dengan lambakan anak patungnya yang menakutkan yang diletakkan sekitar
pulau berkenaan oleh bekas pemilik pulau, mendiang Julian Santana Barrera.

Pulau
ini bukanlah pulau semulajadi tetapi ia sebenarnya chinampa/pulau terapung yang
terhasil daripada kebijaksanaan kejuruteraan masyarakat Mesoamerikanya di Lembah
Mexico satu ketika dahulu. Ia terletak di Tasik Teshuilo berhampiran
terusan-terusan Xochimilco, salah satu daripada 16 kawasan yang membentuk
Mexico City. Kisah pulau ini bermula pada tahun 1950-an apabila Barrera,
memilih untuk hidup sebagai seorang penyendiri dan meninggalkan anak dan
isterinya lalu menjadikan pulau ini sebagai tempat tinggalnya hinggalah ke
akhir hayatnya.

Semasa
berada di Las Munecas, Barrera mendakwa dirinya dihantui hantu seorang budak
perempuan yang lemas di sebuah terusan berhampiran. Dia mendakwa selalu
mendengar tangisan hantu kanak-kanak itu dan mendengar bunyi tapak kakinya pada
waktu malam. Ada percaya insiden itu benar-benar berlaku dan Barrera yang
menjumpai mayatnya tetapi dihantui dengan penyesalan kerana gagal menyelamatkan
kanak-kanak perempuan itu. Ada juga mendakwa perkara tersebut tidak berlaku dan
menganggap ia sekadar imaginasi liar pertapa itu.

Tanpa
mengambil kira pandangan orang, Barrera berusaha menenangkan semangat
kanak-kanak itu. Ada percaya tidak lama selepas mayat kanak-kanak perempuan itu
ditemui, dia menemui sebuah anak patung yang terapung di terusan dipercayai
milik kanak-kanak itu. Melihatnya sebagai tanda dari hantu kanak-kanak itu,
Barrera mengambil anak patung itu dan menggantungnya pada sebatang pokok
sebagai tanda penghormatan kepada semangat kanak-kanak itu.

Bagaimanapun,
dia tidak berhenti di situ saja. Setiap kali ada anak patung yang terapung di
terusan atau ditemui dalam lambakan sampah berhampiran rumahnya, patung-patung
ini akan diambil dan digantung di pokok-pokok. Selain itu, Barrera turut
menukar hasil pertanian yang dikerjakannya di Las Munecas dengan anak-anak
patung milik penduduk tempatan. Selain digantung di pokok-pokok, ada juga
sesetengah anak patung yang diambil disimpan di kabinnya.

Bagi setiap anak patung yang diambil, dia tidaklah mengambil inisiatif membersihkan atau membaiki anak patung yang dijumpai. Sebaliknya, Barrera menggantung saja setiap anak patung yang ditemuinya walaupun ia dalam keadaan lusuh atau sudah rosak. Justeru bagi pengunjung yang berkunjung ke Las Munecas, usah terkejut jika melihat ada anak patung yang kehilangan mata atau anggota badan.

Dan terima kasih kepada pendedahan cuaca, peluang untuk anak-anak patung ini menjadi lusuh semakin bertambah. Jadi, jangan terkejut jika ada pelancong membuat langkah seribu kerana menyangka melihat hantu kerana aura seram yang dibangkitkan oleh anak-anak patung lusuh ini.

Tetapi bagi Barrera, patung-patung ini dianggap peneman utama dan pelindungnya semasa di Las Munecas. Sejak itu, pulau buatan ini mula menarik perhatian orang ramai dan dia tidak keberatan menjadi pemandu kepada pelawat yang berminat melihat patung-patung di situ. Pada tahun 2001, Barrera meninggal dunia tanpa dinyatakan sebab kematian.


“Ada berpandangan dia mati akibat sakit jantung tetapi ada penduduk tempatan berpandangan dia berkemungkinan mati lemas di tempat sama hantu kanak-kanak perempuan itu mati. Selepas Barrera tiada, penduduk tempatan melihat Las Munecas berpotensi sebagai tarikan pelancong dan menyelenggara kawasan pulau itu.

Sejak ia muncul di beberapa artikel akhbar dan rancangan televisyen, ia menjadi antara tempat tumpuan pelancong di Mexico City dan ada juga meninggalkan anak patung di situ sebagai satu cara meneruskan usaha Barrera.

RUJUKAN:

DHWTY.
(2019). Is the Island of Dolls Haunted? An Eerie Tribute to a Little Mexican
Girl. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/island-dolls-0011771

The post La Isla De Las Munecas – Pulau Patung Berhantu Mexico appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots