Misteri Harta Karun Kapal Flor De La Mar

Semua sedia maklum kekayaan Kesultanan Melayu Melaka (KMM) pada abad ke-15 yang menjadikannya sebagai antara kerajaan yang paling kaya dan paling berkuasa di Nusantara ketika itu. Kesibukan Melaka sebagai pelabuhan entrepot ketika itu menjadikannya sebagai Venice versi Timur.

Tetapi semua itu berakhir menerusi serangan Portugal yang diketuai Alfonso de Alburquerque ke atas Melaka pada tahun 1511. Serangan tersebut menyaksikan banyak khazanah berharga Melaka cuba dibawa pulang ke Portugal menerusi kapal Flor de la Mar tetapi hasrat Alburquerque tidak kesampaian apabila kapal tersebut karam pada tahun sama.

Berdasarkan rekod sejarah, kapal ini dibina di Lisbon pada tahun 1502. Semasa ia siap dibina, ia merupakan kapal terbesar dan tercantik yang pernah dihasilkan Portugal. Pada tahun sama, ia memulakan pelayaran sulungnya ke India di bawah kendalian Estevao de Gama, sepupu kepada pelayar Eropah pertama tiba di India, Vasco de Gama.

Walaupun berjaya pulang dengan selamat pada tahun 1503, perjalanan pulang ke Portugal dianggap mencabar kerana saiz kargo rempah-ratus yang dibawa menyukarkan anak kapal mengendalikan Flor de la Mar terutama bila melalui Selat Mozambique. Akibatnya, mereka terpaksa berhenti seketika di Mozambique selama dua bulan akibat untuk membaiki kebocoran kapal.

Selain bertanggungjawab membawa muatan dagangan, Flor de la Mar juga turut digunakan di medan pertempuran laut sebagai sebahagian daripada agenda imperialisme Portugal. Pada tahun 1507, kapal ini menjadi sebahagian daripada armada laut Alburquerque yang bertanggungjawab menawan beberapa pelabuhan di barat Laut Arab seperti Muscat, Khor Fakkan, Sohar dan Ormuz.

Pada tahun 1509, ia menjadi kapal utama yang membawa wizurai Portugal pertama di India, Dom Francisco de Almeida yang mengetuai angkatan perang Portugal dalam Pertempuran Diu dengan Kesultanan Gujerat dan menjadi sebahagian daripada ekspedisi sama yang menawan Goa pada tahun 1510.

Setahun
sebelum operasi penawanan Melaka, kapal ini sudah dirancang untuk dihantar
pulang ke Portugal untuk proses pembaikan khas oleh Almeida. Tetapi pengganti
Almeida, Alburquerque langsung tidak berminat dengan rancangannya kerana
memikirkan sasaran lebih besar: Melaka. Mengikut logik akalnya, lebih baik ia
digunakan untuk membawa harta dan khazanah berharga Melaka sebagai persembahan
kepada raja mereka, Manuel I di sebalik bantahan ianya tidak selamat.

Dan itulah juga yang direalisasikan oleh Alburquerque pada tahun 1511. Selepas Melaka menjadi sebahagian daripada Empayar Portugal, emas dan barang berharga dari perbendaharaan Melaka dan sekitarnya dimuatkan ke dalam kapal. Tetapi wizurai kedua India itu sudah lupa apabila Flor de la Mar mencapai muatan maksimumnya, ia agak sukar dikendalikan terutama di kawasan perairan yang deras arusnya.

Dan kapal tersebut sudah beberapa kali mengalami proses pembaikan menjadikan sebarang usaha membawanya kembali ke Portugal berisiko. Selain membawa pulang khazanah KMM, Flor de la Mar juga turut membawa hadiah dari pesaing KMM, kerajaan Siam dan harta peribadi Alburquerque sendiri.

Justeru
tidak hairanlah semasa ia berlayar keluar dari Melaka pada November 1511, ia
mengangkut harta paling banyak dalam sejarah tentera laut Portugal. Tetapi
sebulan selepas itu, Alburquerque patah hati apabila mendengar berita ia karam
di pesisir perairan Sumatera selepas terperangkap dalam cuaca ribut. Di sebalik
cubaan anak kapal cuba membawanya ke tempat perlindungan, ia patah kepada dua
bahagian dan terperangkap di beting pasir, sekaligus membolehkan ombak memusnahkan
saki-baki kapal. Kehilangan kapal Flor de la Mar ini berkemungkinan menjadi
permulaan hubungan renggang Manuel I dengan lelaki yang digelar Julian Caesar
dari Timur itu.

Wujud
laporan kebanyakan harta tersebut hilang dalam lautan tetapi ada juga menyatakan
mana-mana harta yang dapat diselamatkan dibawa pulang ke Portugal atau dikutip
oleh penduduk tempatan. Jika benar laporan ini, tidak mustahil sesetengah harta
KMM ini menjadi asas kekayaan kerajaan-kerajaan Melayu selepasnya seperti
Kesultanan Johor dan Kesultanan Acheh.

Bukan sekali penemuan lokasi sebenar kapal didakwa di media massa seperti imej
dron lokasi kapal dikatakan berada di Laut Jawa berhampiran Semarang, Indonesia
pada tahun 2014. Bagaimanapun, menurut Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk
Seri Idris Haron, ia harus disahkan 100% sebagai benar sebelum sebarang
tuntutan royalti boleh dibuat dengan Jakarta.

SUMBER


1.
DHWTY. (2016). The Lost Treasure of Flor de la Mar, Flower of the Sea.
Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/history/lost-treasure-flor-de-la-mar-flower-sea-006236

2.
The Star. (2014). Sunken Portuguese galleon sighted in Java Sea. https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/04/07/drones-may-have-found-treasure-ship-sunken-portuguese-galleon-sighted-in-java-sea

The post Misteri Harta Karun Kapal Flor De La Mar appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots