Larangan Menyumpah Di Bandar-Bandar Britain

Lumrah
jika kita berasa marah atau kecewa dengan sesuatu perkara, maka terkeluarlah
perkataan-perkataan yang selayaknya menyebabkan mulut diletakkan cili kerana
terlalu cabul. Dan silap haribulan, jika ia ditujukan kepada orang yang salah
atau dinyatakan dalam situasi sensitif, ia boleh menjadi satu kesalahan jenayah
dan berpotensi mengakibatkan si pelaku dipenjarakan, didenda atau kedua-duanya
sekali.

Di
Malaysia, jika anda mengeluarkan kata-kata kesat atau lucah yang mengaibkan
kehormatan seseorang, anda boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 509 Kanun
Keseksaan (Akta 574). Deskripsi akta berbunyi, “Barang siapa dengan maksud
hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa
bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya
perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat
oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa
dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda,
atau dengan kedua-duanya.”

Di
Britain atau di sesetengah tempat yang menguatkuasakan arahan perlindungan
ruangan awam (PSPO), jika anda didapati menyeranah atau mengeluarkan kata-kata
lucah, bersedialah menerima bahana denda dari pihak berkuasa. PSPO merupakan
sebahagian daripada inisiatif Akta Polis, Jenayah dan Tingkah Laku Anti-Sosial
2014 yang digubal pada tahun 2014 bagi menangani isu tingkah laku anti-sosial
di ruangan awam.  Tetapi akta tersebut
mendapat kritikan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan akta tersebut
sebagai satu bentuk gangguan kebebasan bersuara.

Menurut
peguam kumpulan hak asasi Liberty, Lara ten Caten, sekiranya PSPO terus
dibiarkan berkuatkuasa, ia boleh mengakibatkan ramai golongan berisiko
berhadapan tindakan perundangan yang berat dan kebimbangan salah laku kuasa
membabitkan majlis perbandaran. Peguam itu turut mendakwa PSPO menyebabkan
ramai anggota masyarakat memilih memencilkan diri dan meningkatkan lagi diskriminasi
terutama terhadap orang kelainan upaya (OKU). Ini kerana di sesetengah tempat
di Britain, perkataan kesat berbeza-beza mengikut wilayah dan bandar dan
perkataan yang dianggap kabur maksudnya boleh disalahanggap sebagai satu bentuk
kesalahan menyumpah.

Menerusi
permohonan kebebasan maklumat yang difailkan oleh kumpulan kempen Manifesto
Club yang menolak campur tangan kerajaan menguatkuasakan peraturan di ruangan
awam, antara tahun 2017 hingga 2019 menyaksikan 15 majlis perbandaran
menguatkuasakan PSPO termasuk melarang anggota masyarakat menyeranah di ruangan
awam. Antara tempat yang dilarang bagi anggota masyarakat menyumpah ialah:

1.
Happy Mount Park dan Heysham di Morecambe, Lancashire.

2.
Gateford, Worksop dan Retford, Nottinghamshire.

3.
Ashford, Kent.


4.  Poynton dan Congleton di Cheshire Timur.

5.
Canterbury, Dartford dan Hanley, Stoke-on-Trent.

Tetapi
bagi anggota majlis perbandaran, tindakan undang-undang yang diambil ke atas
pelaku kesalahan ini mendapat sokongan penduduk tempatan terutama jika pelaku
merupakan individu yang mempunyai rekod jenayah dan dikenali sebagai pengganggu
keamanan masyarakat.

Malah berdasarkan PSPO itu sendiri, tindakan hanya boleh diambil sekiranya si
pelaku mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah bila ia dianggap mengganggu,
menimbulkan ketakutan dan tekanan terhadap penduduk. Ini yang ditegaskan
kaunselor Majlis Perbandaran Lancaster, Alistair Sinclair.

Menurut
beliau, PSPO hanyalah sebahagian daripada pelbagai alat yang digunakan majlis
perbandaran itu dalam mencegah tingkah laku anti-sosial bandar berkenaan. Bukan
sekali ramai anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang menyuarakan
kebimbangan dengan pihak berkuasa tempatan dari golongan peniaga hinggalah staf
kesihatan.

Tambah
Sinclair, majlis perbandaran mengambil berat isu-isu melanda golongan ini
termasuk penyalahgunaan dadah dan berusaha membantu mereka sebaik mungkin.
Selain PSPO, pihak majlis turut menggunakan kaedah lain seperti surat
peringatan dan penguatkuasaan undang-undang perlindungan komuniti bagi
memastikan komuniti bandar berkenaan sentiasa mendapat perlindungan sewajarnya.

Mungkin
ada yang berpandangan perkara sebegini merupakan satu lagi bentuk pencabulan
kebebasan bersuara. Tetapi soalannya, berbaloikah menyebut perkara-perkara yang
tidak sepatutnya termasuk perkara-perkara sensitif hanya semata-mata nak
menunjukkan sesetengah pihak lebih daripada orang lain walaupun berisiko
mencetuskan kekacauan dan menimbulkan kemarahan ramai?

Kebebasan terutama kebebasan bersuara sememangnya merupakan hak manusiawi
tetapi bila sudah melampaui batas, maka usah marah kalau ada bersedia
meletakkan cili di mulut, menyimbah sebaldi air atau dikenakan denda
beribu-ribu lemon. Bila sudah didenda dan dipenjara, baru nak serik dan
menyesal?

Itu
menyesal tahap buaya tembaga! Tidakkah lebih baik menuturkan kata-kata yang
lebih indah dan santun kerana itu bukan saja bermanfaat malah berpotensi
sebagai alat penambah pahala. Kalau asyik menyeranah, bukankah itu menggelapkan
hati insani untuk jangka masa panjang?


RUJUKAN:

Burke,
Claire. (2019). Polite society: why are British cities banning swearing?. The
Guardian. https://www.theguardian.com/cities/2019/aug/07/polite-society-why-are-british-cities-banning-swearing-pspo

The post Larangan Menyumpah Di Bandar-Bandar Britain appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots