Kamikaze Yang Menyelamatkan Jepun Dari Serangan Monggol

Pada abad ke-13M, Monggol yang ketika itu dipimpin oleh Kublai Khan si cucu kepada Genghis Khan melakukan dua percubaan serangan ke atas Jepun, tepatnya pada tahun 1274M dan 1281M.

Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan itu menyaksikan satu ribut kencang membadai dan menghancurkan armada perang mereka sekaligus memaksa Monggol mengabaikan hasrat mereka untuk menakluk Jepun. Masyarakat Jepun mempercayai bahawa ribut taufan itu dikirim oleh para dewa bagi melindungi mereka daripada musuh lantas memanggilnya sebagai Kamikaze (angin suci).

Selepas menguasai Cina pada tahun 1230M dan menakluk Korea pada tahun 1231M, Kublai Khan diangkat menjadi maharaja pertama Mongolia dan menamakan pemerintahannya sebagai Dinasti Yuan yang bermaksud ‘permulaan pertama’. Jepun pula terletak hanya 100 batu jauh sekaligus hal ini membuatkan mereka risau bakal menjadi mangsa serangan Monggol yang seterusnya.

Di antara tahun 1267M hingga 1274M, Kublai Khan mengutus sejumlah perwakilan kepada Maharaja Jepun bagi menyampaikan pesanan yang menuntut beliau agar tunduk kepada kekuasaan Monggol atau berhadapan dengan serangan. Namun, utusan-utusan tersebut dihalang oleh shogun, entiti kuasa sebenar di sebalik takhta Jepun sekaligus pesanan tersebut langsung tidak sampai ke pengetahuan maharaja.

Hal ini membuatkan Kublai Khan naik berang terutama apabila beliau langsung tidak menerima surat balas daripada maharaja Jepun, yang dianggapnya sebagai ‘pemerintah negara kecil’. Beliau lantas bersumpah untuk menyerang Jepun. Monggol kemudiannya melakukan persiapan dan membina armada perang yang besar di samping merekrut ribuan tentera dari Cina dan Korea.

SERANGAN PERTAMA MONGGOL KE ATAS JEPUN

Pada musim luruh tahun 1274M, Monggol melancarkan serangan pertama mereka ke atas Jepun, yang membawa kepada tercetusnya Pertempuran Bun’ei. Dianggarkan kira-kira 500 hingga 900 buah kapal dan 40 000 orang tentera yang kebanyakan beretnik Cina dan Korea berlabuh di pesisiran Teluk Hakata, tempat di mana kedua-dua belah pihak saling bertembung. Monggol berjaya menewaskan ketumbukan tentera Jepun. 

Namun kerana khuatir Jepun akan kembali bersama bala bantuan, Monggol pun mengundurkan kapal-kapal mereka. Pada malam itu juga, ribut taufan membadai dan memukul kapal-kapal yang ketika itu sedang melabuhkan sauh di Teluk Hakata. Menjelang subuh, hanya tinggal beberapa buah kapal sahaja masih berbaki. Yang lainnya habis musnah dan meragut ribuan nyawa tentera Monggol.

SERANGAN KEDUA MONGGOL KE ATAS JEPUN

Walaupun Jepun dengan bertuah berjaya lolos daripada situasi getir itu pada tahun 1274M, keadaan ini masih belum berakhir secara muktamad. Pihak Monggol kini lebih bertekad untuk menakluk Jepun. Mereka dengan bersungguh-sungguh membina semula armada perang dan merekrut tentera untuk membentuk ketumbukan yang lebih besar. Sementara itu, Jepun pula membina tembok yang berketinggian dua meter untuk melindungi diri daripada serangan yang mendatang.

Tujuh tahun kemudian, Monggol bertandang semula bersama armada gergasi mereka yang terdiri dari 4400 buah kapal perang dan sekitar 70 000 hingga 140 000 orang tentera. Ketumbukan ini dibahagikan kepada dua pasukan di mana pasukan pertama diberangkatkan dari Korea sambil sepasukan yang lain berlayar dari selatan Cina. Kedua-dua pasukan ini kemudiannya bergabung di Teluk Hakata pada bulan Ogos 1281M.

Akibat tidak berjaya menemukan tapak yang sesuai untuk melakukan pendaratan rentetan kewujudan tembok pertahanan yang dibina oleh pihak Jepun, armada Monggol ini terpaksa kekal berada di atas laut selama berbulan-bulan. Hal ini menjejaskan perbekalan mereka yang menyusut dengan begitu banyak sepanjang kegagalan mereka mencari tempat untuk berlabuh.

Pada tanggal 15 Ogos, Monggol bersedia untuk melancarkan serangan ke atas ketumbukan Jepun yang saiznya jauh lebih kecil. Namun sekali lagi, sebuah ribut taufan datang membadai dan menghancurkan armada perang tersebut sekaligus meranapkan secara muktamad cubaan untuk menakluk Jepun.

Serangan Kedua Mongol Ke Atas Jepun – Tentera Monggol yang terselamat dari ribut taufan dibunuh oleh samurai Jepun di tebing tasik

Catatan-catatan daripada Jepun menganggarkan lebih dari 4000 buah kapal musnah dan sekitar 80 peratus tentera mati lemas ataupun dibunuh oleh samurai-samurai yang berkawal di pantai sekaligus menjadikan peristiwa ini sebagai kasualti tertinggi dalam sejarah perang laut. Sejak itu, Monggol tidak lagi menyerang Jepun.

RAIJIN DAN ANGIN SUCI

Menurut legenda Jepun, Kamikaze (angin suci) ini dikirim oleh Raijin si dewa kilat, petir dan ribut dengan tujuan untuk melindungi Jepun dari gempuran Monggol. Sebagai salah satu dewata tertua Jepun, Raijin dianggap sebagai dewa Shinto yang asal, dikenali sebagai kaminari (‘kami’ bermaksud ‘semangat’ atau ‘dewata’ sementara ‘nari’ pula bermaksud ‘petir’).

Beliau secara umum digambarkan sebagai semangat (roh) yang berupa paras umpama syaitan yang memukul gendang untuk menghasilkan petir. Satu lagi variasi legenda menyebutkan bahawa ribut taufan Kamikaze itu dihantar oleh Fujin si dewa angin.

Fujin-rajin-zu oleh Tawaraya Sotatsu. Raijin digambarkan di sebelah kiri sementara Fujin pula di sebelah kanan

KAMIKAZE SEBAGAI SATU METAFORA

Seperti yang diketahui umum, istilah ‘kamikaze’ kemudiannya digunakan dalam Perang Dunia Ke-2 untuk merujuk kepada juruterbang-juruterbang Jepun yang membunuh diri dengan menghempaskan kapal terbang mereka tepat mengenai musuh – kebiasaannya kapal-kapal musuh yang menjadi mangsa.

Istilah ‘kamikaze’ dalam hal ini dianggap sebagai satu metafora yang bermaksud bahawa juruterbang-juruterbang itulah yang menjadi ‘angin suci’ yang akan sekali lagi menghapuskan musuh-musuh Jepun dari lautan. Juruterbang yang digelar sebagai kamikaze ini memberikan kerosakan yang begitu teruk kepada armada US, dibayar dengan harga sekitar 2000 orang daripada mereka.

Pergerakan kamikaze ini didorong daripada keadaan mendesak di mana pada waktu itu, Jepun diyakini bakal mengalami kekalahan. Perkataan ‘kamikaze’ kemudiannya diserap ke dalam penggunaan harian Bahasa Inggeris bagi merujuk kepada seseorang yang mengambil risiko besar tanpa mengendahkan keselamatan sendiri.

Juruterbang Kamikaze Jepun

Melihat kepada pemasaan kedua-dua peristiwa ribut taufan itu yang secara berbetulan membadai semasa berlakunya dua serangan Monggol ke atas Jepun, tidak hairanlah jika ianya dianggap sebagai kiriman daripada para dewa. Andai bukan kerana dua ribut kamikaze itu, berkemungkinan besar Jepun akan ditakluk oleh Monggol sekaligus mencipta sejarah yang sama sekali berbeza daripada apa yang kita ketahui sekarang.

SUMBER:

April Holloway. (21 Ogos 2014). Kamikaze – The Divine Winds that Saved Japan. Ancient Origins.https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia-history-important-events/kamikaze-divine-winds-saved-japan-001995

The post Kamikaze Yang Menyelamatkan Jepun Dari Serangan Monggol appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots