Misteri Lokasi Bangkai Kapal Selam Laksamana Islam Cheng Ho

Pencarian
harta karun sentiasa menarik perhatian manusia sepanjang lipatan sejarah.
Yalah, siapa yang tidak mahu jadi kaya cepat kerana menemui khazanah-khazanah
berharga dan meletakkan nama mereka dalam catatan sejarah. Tetapi usaha
sebegini memakan kos berjuta-juta ringgit dan silap haribulan, ia boleh
mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada pencari. Namun, itu tidak
menghalang ramai dari melakukannya seperti mencari bangkai kapal milik
Laksamana Cheng Ho/Zheng He.

Cheng Ho

Bagi
yang kurang arif dengan kisah Laksamana Cheng Ho, sedikit kisah menarik untuk
tatapan anda. Semasa era pemerintahan Dinasti Ming, beliau merupakan laksamana
China yang terkenal dan mengetuai banyak ekspedisi ke negara-negara luar dengan
tujuan menampakkan kekuasaan dan kekayaan China pada ketika itu. Kesemua
ekspedisi ini dibiayai sepenuhnya oleh Maharaja Ming ketika itu, Yongle. Semasa
ekspedisi pertamanya ke Calicut, mereka berjaya membawa pulang muatan
perdagangan berharga kembali ke China termasuk rempah-ratus seperti lada hitam
dan kayu manis.

Dalam
perjalanan, mereka singgah di beberapa tempat bukan saja untuk melebarkan
pengaruh tetapi juga mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan tempatan.
Bagi yang arif dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka (KMM), ketibaan
rombongan Cheng Ho bukan sekadar mengeratkan lagi hubungan yang dijalin antara
kedua-dua negara. Malah pada masa sama, ia menjadi senjata diplomatik untuk
menakutkan pesaing KMM iaitu Majapahit dan Siam dari mengancam kedaulatan
Melaka. Setelah tiba di Calicut dan mengangkat muatan rempah ratus kembali ke
China, rombongan Zheng He singgah sebentar di Sri Lanka sebelum meneruskan
perjalanan pulang.

Ekspedisi
yang pulang pada tahun 1407 ini bukan saja membawa muatan dagangan dan hadiah
pemerintah-pemerintah tempatan tetapi juga wakil-wakil kerajaan yang mahu
memberi penghormatan dan berminat menjalinkan hubungan dengan Beijing. Dari
situ, enam lagi ekspedisi Cheng Ho digerakkan antara 1408 hingga 1433. Dalam
ekspedisi-ekspedisi ini, beliau bukan saja menjalin hubungan diplomatik dan
perdagangan dengan kerajaan tempatan tetapi juga mengalahkan lanun,
menggulingkan raja yang zalim dan membawa lebih ramai wakil dan hadiah untuk
tatapan maharaja.

Tidak
diketahui bila laksamana China beragama Islam ini meninggal dunia. Ada yang
mengatakan beliau meninggal dunia di Calicut pada 1433 semasa ekspedisi
ketujuhnya. Ada juga yang berpandangan beliau sempat kembali ke China dan
kembali ke rahmatullah beberapa tahun kemudian.

Yang pasti selepas kematian Cheng Ho, golongan sida kehilangan kuasa dan semua
catatan membabitkan pengembaraan beliau dikatakan dibakar. Justeru, pencarian
bangkai kapal khazanah beliau bukan saja penting dari segi arkeologi tetapi
juga amat signifikan kepada kebudayaan China. Ini juga menjelaskan mengapa
Beijing membelanjakan ratusan juta ringgit membiayai ekspedisi-ekspedisi
mencari bangkai kapal Zheng He itu.

Pencarian kapal khazanah Cheng Ho


Sejak
tahun 2015, sekumpulan saintis dan penyelidik yang dibiayai oleh Beijing dan
mendapat sokongan teknologi pengesan tentera bertaraf tinggi menjalankan kajian
di kawasan dasar laut sepanjang pesisir pantai Sri Lanka dengan harapan dapat
mengesan bangkai kapal itu. Pada Oktober 2017, semakan terbaru yang dijalankan
kumpulan itu mendapat keputusan positif yang menandakan kemungkinan lokasi
bangkai kapal atau potensi penemuan artifak di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun
menurut ketua pasukan penyelidik Sri Lanka, Profesor Prishanta Gunawardhana, ia
masih lagi pada peringkat awal dan lebih banyak kajian perlu dilakukan termasuk
menggunakan peralatan canggih yang dibawa oleh rakan-rakan penyelidik dari
China.

Projek
ini akan diketuai oleh Hu Changqing, pengarah Makmal Akustik Shanghai di
Akademi Sains China. Menurut laporan akhbar South China Morning Post, Changqing
menjadi pilihan kerana pernah menyertai pelbagai projek tentera dan
membangunkan teknologi baru untuk tentera laut China termasuk sistem sonar
pasif yang membenarkan kapal selam mengelak kawasan sub-perairan yang
merbahaya.

Bimbang
akan kehadiran pencari-pencari harta karun, berita lokasi yang disyaki milik
bangkai kapal Zheng He tidak dihebahkan kepada umum. Antara teknologi yang
dijangka digunakan ialah kapal selam Jiaolong/Naga Laut yang boleh menyelam ke
kedalaman tujuh kilometer dan robot laut dalam untuk membuat pemeriksaan dan
pengambilan sampel untuk dianalisis di makmal.

SUMBER

Karasavvas,
Theodore. (2017). Could Clues From the Ocean Floor Finally Lead to Zheng He’s
Lost Treasure Ship?. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/warrior-skeleton-0012436

The post Misteri Lokasi Bangkai Kapal Selam Laksamana Islam Cheng Ho appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots