Foie Gras: Kek*jaman Disebalik Sebuah Hidangan Mewah

Foie Gras merupakan sebuah hidangan makanan mewah dari hati itik ataupun angsa yang telah digemukkan secara paksa. Foie Gras merupakan istilah perancis yang bermaksud (hati berlemak). Foie Gras mungkin tidak terkenal di Malaysia, namun ia meupakan hidangan makanan mewah yang terkenal di dunia. Satu hidangan 500gram foie gras berharga sekitar 50 dolar.

Foie Gas kebanyakkannya dihasilkan di Perancis dan dihidangkan di dalam mousse ataupun sebagai parfait. Foie Gras sangat istimewa kerana ia mempunyai tekstur lemak manis berkrim yang berbeza dengan hidangan hati tradisional. Berdasarkan undang-undang Perancis, Foie Gras dikategorikan sebagai budaya makanan warisan Perancis yang dilindungi. Perancis menghasilkan lebih daripada 20 000 tan foie gras pada setiap tahun.

Pada mulanya foie gras terhasil berdasarkan diet itik itu sendiri. Sebelum bermigrasi haiwan akuatik seperti itik dan angsa akan makan dalam jumlah yang banyak, yang berfungsi sebagai tangki simpanan kalori untuk perjalanan mereka yang panjang. Sejak daripada itu, manusia telah menternak mereka dan memberi makan dalam jumlah yang banyak untuk menghasilkan Foie Gras.

Amalan ini boleh dijejak seawal 2500 sebelum masihi dimana masyarakat Mesir Purba telah menemui cara untuk menggemukkan itik dan angsa ini melalui memberi makan secara berlebihan. Itik sering digunakan untuk menghasilkan foie gras berbanding angsa kerana mempunyai jangka hayat yang pendek. Itik yang diternak untuk menghasilkan Foie Gras adalah dari spesis Moulards yang merupakan kacukan antara itik Pekin dan Muscovy.

Kekejaman demi sebuah hidangan

Foie gras merupakan makanan yang
sangat kontroversi kerana merupakan satu jenayah terhadap haiwan. Secara
teknikalnya foie gras merupakan itik yang mengalami penyakit hati membengkak. Foie
Gras merupakan satu kekejaman terhadap haiwan kerana ia dihasilkan dengan
memberi makan berlebihan secara paksa kepada itik atau angsa untuk menggemukkan
hati mereka.

Mereka akan menghabiskan 4 minggu
pertama mereka makan dan membesar di dalam ruang separa gelap. Untuk 4 minggu
seterusnya mereka akan dikurung di dalam sangkar dan diberi diet yang tinggi
dengan protein dan juga kanji yang dirumuskan untuk menggalakkan pertumbuhan
yang cepat. Pemberian makan secara paksa bermula ketika mereka berumur 8 ke 10
minggu. Sebanyak 2 kilogram dedak akan diberi secara paksa melalui tiub besi. Mereka
akan diberi makan sebanyak 3 kali sehari.

Menurut Washington Post, tiub besi itu
akan dimasukkan sedalam 5 inci kedalam kerongkong mereka. Apabila itik dan angsa ini diberi
makan secara paksa, secara tidak langsung mereka akan mendapat penyakit.  Hati itik dan angsa ini akan membesar sehingga
10 kali ganda. Hati mereka akan membengkak secara mendadak sehingga purata saiz
sebesar bola sepak. Mereka juga megalami kesukaran bernafas dan pendarahan
dalaman kerana penggunaan tiub besi.


Banyak organ dalaman mereka mengalami kerosakan kerana diberi makan secara berlebihan seperti kegagalan buah pinggang, masalah peredaran darah, masalah pernafasan serta pendarahan dalaman yang menyebabkan jangkitan kuman.

Jangka hayat mereka akan berkurangan sebanyak 20 kali ganda daripada itik yang diternak secara biasa. Itik yang disembelih untuk menghasilkan foie gras berumur hanya beberapa bulan, namun sebanyak 20 peratus yang mati akibat masalah kesihatan sebelum dapat disembelih.

Pemberian makan berlebihan secara paksa sangat memberikan tekanan kepada itik dan angsa dimana mereka akan menunjukkan reaksi takut ketika diberi makan. Apabila itik ini cuba melarikan diri, penternak akan meregut leher itik ini untuk diberi makan menyebabkan mereka tercekik dan terberak. Penggunaan paip besi juga turut mencederakan kerongkong mereka.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh PETA di sebuah ladang penternakan, mereka mendapati seekor itik yang luka di lehernya dikerumuni oleh ulat. Luka itu sangat dalam sehingga air dilihat mengalir keluar ketika itik itu minum.

Pekerja yang bekerja di ladang ternak ini dikehendaki memberi makan 500 ekor itik tiga kali sehari menyebabkan mereka melayan itik ini dengan sangat teruk. Itik yang cedera dan sakit akan dibiarkan terseksa tanpa sebarang rawatan. Seorang doktor haiwan yang mengiringi polis ketika serbuan berkata banyak itik tidak dapat berjalan dengan betul kerana sangat lemah.

Ada yang dilihat bergerak dengan cara mengesot. Banyak itik yang mati akibat kerosakan organ dan komplikasi yang lain. Walaupun begitu, pekerja yang mengelak membunuh kurang daripada 50 itik sebulan akan diberikan bonus. Para penyiasat dari aktivis haiwan juga telah merekodkan di tempat penternakan foie gras, itik dan angsa yang diternak akan dikurung di dalam sangkar bersaiz kotak kasut yang menghalang pergerakan mereka.

Mereka tidak boleh memusingkan kepala atau mengibaskan sayap mereka. Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan untuk berenang di dalam air, dimana air sangat penting kepada hidupan akuatik seperti itik dan angsa. Banyak video di Youtube yang merekodkan bagaimana keadaan haiwan ini yang dilayan dengan sangat teruk dan zalim.

Foie Gras telah diharamkan di beberapa buah negara kerana kekejaman dan kezaliman terhadap haiwan. Negara pertama yang mengharamkan import Foie Gras adalah India pada bulan Julai 2014. Negara lain yang turut mengharamkan adalah Australia, Argentina dan negara haram Israel.


Di Amerika Syarikat, sebanyak 72 peratus Foie Gras yang diimport datang daripada Kanada. Walaupun begitu, undang-undang di Amerika adalah berbeza bagi setiap negeri, Misalnya, di California, penghasilan dan penjualan adalah dilarang sama sekali. Negara di Eropah juga turut menunjukkan solidariti mereka dengan mengharamkan Foie Gras seperti Republik Czech, Denmark, Finland, Jerman, Itali, Turkey dan UK.

Kesimpulannya, manusia sanggup
melakukan apa sahaja demi memuaskan keinginan mereka. Demi sebuah hidangan
mewah, itik-itik ini terpaksa hidup seperti di dalam neraka. Mereka diseksa
dengan cara yang sangat tidak berperikemanusian. Ramai aktivis haiwan
menyatakan kekesalan mereka terhadap penyediaan foie gras ini.

Walaupun foie gras telah diharamkan
oleh banyak negara, namun kekejaman terhadap itik dan angsa ini tetap berterusan
kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada manusia yang tidak berhati
perut. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan itik dan angsa yang diternak
dan terseksanya hidup mereka ketika berada dalam kurungan semata-mata untuk
memenuhi nafsu serakah manusia demi sebuah hidangan mewah.

RUJUKAN:

PETA. Foie Gras: Cruelty to Ducks
and Geese. https://www.peta.org/issues/animals-used-for-food/factory-farming/ducks-geese/foie-gras

PETA. The Pain Behind Foie Gras. https://www.peta.org/issues/animals-used-for-food/animals-used-food-factsheets/pain-behind-foie-gras/

Ingrid Newkirk. Huffpost. (2017). 5 Big Fat Lies About Fatty Liver (Foie Gras). https://www.huffpost.com/entry/5-big-fat-lies-about-fatt_b_6482104

Lauren Windle. The Sun. (2016). CHEWING THE FAT What is foie gras, why is it controversial and where is it banned? https://www.thesun.co.uk/living/2458381/what-is-foie-gras-controversial-where-banned/


The post Foie Gras: Kek*jaman Disebalik Sebuah Hidangan Mewah appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots