Kilang Pembuatan Memori Flash Micron Di Singapura Dinaiktaraf Untuk Memuatkan Teknologi Masa Hadapan

Jika anda tidak tahu, Micron adalah salah satu daripada beberapa syarikat yang membekalkan cip memori flash untuk sebahagian besar syarikat-syarikat teknologi di seluruh dunia.

Micron mempunyai kilang-kilang pembuatan dan R&D di seluruh dunia, dan diantara fasiliti yang paling penting untuk mereka ialah Micron NAND Center of Excellence yang berpengkalan di Singapura.

Pusat ini penting kerana ia merupakan fasiliti utama dimana Micron membina cip memori flash 3D NAND mereka yang digunakan untuk komponen-komponen memori DRAM dan juga storan NAND.

Micron juga boleh dikatakan salah satu daripada syarikat yang mempelopori teknologi 3D NAND dimana cip memori ditindih secara menegak untuk menghasilkan komponen yang hadir dengan memori dan storan yang banyak, tetapi mengambil jumlah ruang yang jauh lebih sedikit.

Penaiktarafan NAND Center of Excellence ini bermula pada April 2018, dan dibuka secara rasmi pada 14 Ogos 2019 menggunakan teknologi pembinaan baru yang membina bangunan fabrikasi tersebut dalam masa yang sangat singkat.

Pembangunan fasiliti terbaru ini, yang dinamakan Fab10A bukanlah untuk meningkatkan kapasiti pembikinan cip-cip memori mereka, tetapi untuk merumahkan teknologi proses pembikinan di masa akan datang.

Buat masa ini, Micron mampu membina memori 3D NAND dengan 96 lapis, tetapi dengan fasiliti Fab10A, Micron dilihat ingin mempercepatkan pembangunan 3D NAND dengan 128 lapis keatas secepat yang mungkin.

 

Dalam pada itu, cip 3D NAND yang dibina oleh Micron bukan sahaja akan digunakan untuk tujuan memori dan storan untuk peranti-peranti biasa, tetapi juga untuk tujuan peranti dan peralatan yang menyokong teknologi-teknologi masa akan datang seperti 5G, kecerdasan buatan dan juga kenderaan swapandu.

Dengan fasiliti Fab10A ini, Micron dilihat bukan sahaja akan membangunkan teknologi pembinaan memori terbaru, tetapi juga akan bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi di Singapura seperti National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU) untuk membangunkan kurikulum mereka supaya graduan universiti-universiti tersebut bersedia untuk industri pembangunan memori ini serta-merta.

Malah, Micron telah memberi geran sebanyak S$101,000 kepada Advanced Robotics Center NUS untuk membiayai penyelidikan pengangkutan swapandu mereka, dan S$50,000 untuk Institute of Science and Technology for Humanity NTU.

Dengan penaiktarafan NAND Center of Excellence ini, Micron dilihat akan terus mempelopori teknologi pembangunan storan NAND dan DRAM bukan sahaja untuk peranti-peranti pengguna, tetapi juga untuk industri-industri yang akan memerlukan storan dan memori yang bukan sahaja besar, tetapi pantas tidak lama lagi.

Sumber : Amanz