Sejarah Kedatangan Kaum India Di Tanah Melayu

Kaum India merupakan kaum ketiga terbesar di Malaysia. Pada tahun 2018 sahaja, daripada 32.4 juta penduduk Malaysia, kira-kira 6.9 juta daripadanya merupakan bangsa India. Kewujudan bangsa India di negara ini dapat dikesan sebelum  zaman kegemilangan tamadun Melayu Melaka lagi. Rata-rata mereka merupakan pedagang dan duta dari negara India.

Sebilangan kecil mereka berkahwin dan berasimilasi dengan rakyat tempatan sehingga terbentuknya sesebuah penempatan seperti Kampung Keling di Melaka. Kewujudan mereka mula samar-samar pada abad ke 15 apabila kuasa kolonial mula menjajah Tanah Melayu hinggalah kedatangan British ke Tanah Melayu pada 1786.

Apabila Francis Light bertapak di Pulau Pinang pada 1786, Light turut membawa sejumlah  orang India daripada suku Sipahi untuk mempertahankan pulau tersebut. Selain mereka, kumpulan bangsa India dari Madras dan Banggali juga turut dibawa oleh Light. Rata-ratanya mereka terdiri daripada golongan buruh, pedagang dan segelintir golongan professional.

Jumlah kedatangan imigran India ini kian meningkat pada akhir abad ke 18 terutama sekali di Negeri-Negeri Selat (NNS). Contohnya, di Pulau Pinang sahaja terdapat 1000 pendatang dari India pada 1810. Pada 1822, kerajaan British di India telah menjadikan NNS ini sebagai tempat pemindahan banduan-banduan India di India. Pada 1830-an sahaja, sejumlah 900 banduan dibawa masuk ke Malaya setiap tahun. Menjelang 1870, populasi imigran di Negeri-Negeri Selat sahaja mencecah 33 ribu orang.

Terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan berlakunya migrasi bangsa India ke Malaya. Pertama, apabila
Revolusi Industri mula memuncak pada abad ke 18, British ingin menjadikan
Malaya sebagai pengeluar hasil pertanian. Contohnya, rempah mula ditanam pada
1830, tebu pada 1840 dan kopi pada 1870. Mereka memerlukan bangsa India ini
untuk menguruskan hal ehwal pertanian kerana bangsa Melayu dan Cina yang sudah
ada pada ketika itu sudah selesa dengan cara ekonomi bangsa mereka sendiri.

Selain itu, sejumlah besar imigran berbangsa India ini datangnya daripada kasta yang rendah. Di Selatan India, mereka tidak ubah dilayan seperti seekor binatang. Justeru, mereka ke Malaya untuk mengubah nasib hidup mereka. British juga mempunyai sebab lain untuk membawa bangsa India ini ke Malaya.

Ini adalah untuk mengimbangkan populasi kaum yang terdapat di Malaya dan untuk membuatkan penguasaan British akan terus bertahan. Hal ini kerana, orang Melayu enggan membantu British kerana British telah menjajah tanah asal mereka manakala orang Cina pula lebih selesa bekerja di bawah golongan sebangsa mereka.

Terdapat tiga golongan buruh India
yang terdapat di Malaya. Pada peringkat permulaan, golongan buruh India ini
dibawa melalui sistem kontrak. Tuan-tuan tanah atau ketua Jabatan akan mendapatkan
buruh-buruh ini melalui ejen mereka yang kebanyakannya berada di sekitar Madras
dan Nagapatnam. Kebiasaanya kontrak ini akan berjalan selama 5 tahun. Gaji
mereka pula tidak berubah dan berterusan sehinggalah kontrak mereka tamat. Pada
1910, sistem ini terpaksa dihapuskan kerana timbulnya banyak masalah.

Para buruh rata-rata tidak
mendapat layanan yang sewajarnya. Kapal-kapal laut yang membawa mereka ke
Malaya juga membawa mereka dalam keadaan lebihan muatan dan faktor geografi
Malaya membuatkan ramai buruh menghidap penyakit Malaria. Penyakit ini juga
menjadi punca kematian terbesar di dalam kalangan buruh-buruh kontrak. 

Pada 1860 an, Sistem Kangany mula
diperkenalkan. Buruh-buruh Kangany ini diambil oleh Kangany atau penyelia yang
dibayar untuk mengambil sejumlah buruh yang dapat dicari. Kangany akan ke
kampung-kampung untuk mencari mereka yang ingin mengubah nasib hidup mereka.
Kangany juga akan mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bekerja di Malaya
sambil memberi gambaran yang indah mengenai Malaya kepada mereka. Namun, sistem
Kangany ini dihentikan pada 1938 akibat penyalahgunaan kuasa.

Selain daripada buruh Kangany dan
Kontrak, kerajaan British juga telah membawa buruh bebas untuk bekerja di
jabatan-jabatan kerajaan dan jabatan pengangkutan. British lebih gemar membawa
masuk buruh bebas kerana kosnya murah dan gaji mereka pula diterima secara
bulanan. Contohnya Syarikat Messrs
Kennedy and Co
telah dipertanggungjawabkan untuk membawa buruh-buruh bebas
yang mendarat di Pulau Pinang.

Bagi sesiapa yang mendarat di
Pelabuhan Kelang pula, mereka akan diserahkan kepada Agen Imigresen India. Pada
1900, Thambosamy Pilaii, tokoh India di Kuala Lumpur dilantik sebagai ahli
jawatankuasa Agen Imigresen India. Menjelang 1930 an, jumlah buruh bebas
mengatasi buruh Kangani dan buruh kontrak.


Menjelang Perang Dunia Kedua,
jumlah golongan India di Malaya berkurangan. Hal ini kerana, ketika perang,
ramai orang India dibawa ke Jepun sebagai buruh paksa Landasan Keretapi Maut.
Ada juga diantara mereka yang balik ke India lebih awal dan menetap di sana.

Walau bagaimanapun jumlah orang India
selepas perang dianggarkan seramai 600 000 di seluruh Malaya. 

Pada 1953, British telah
menghentikan penghijrahan orang luar ke tanah Melayu. Orang India kemudiannya
diberikan taraf warganegara Malaya apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957 dan jumlah orang India selepas Malaya merdeka pula mencecah 820 000
orang.

RUJUKAN:

  1. Ahmad, Z. (2013). Hubungan etnik di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.
  2.  Ahmad, Z. A., & Zulkifly, M. (2006). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: Pearson/Prentice Hall
  3. Dali, A. M. (2012). Sejarah masyarakat India di Malaysia = A history of the Indian community in Malaysia and its role in shaping Malaysian society. Kuala Lumpur: University of Malaysia Press.

The post Sejarah Kedatangan Kaum India Di Tanah Melayu appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots