Kerajaan Dilihat Terbuka Untuk Membangunkan Industri Seru Motor Di Malaysia Selepas Perjumpaan Dengan Gojek

Dua tahun lalu, kerajaan Malaysia telah mengharamkan perkhidmatan seru motor Dego Ride, dan juga semua perkhidmatan seakannya kerana ia dianggap sesuatu yang merbahaya, dan dikatakan tidak mendapat izin pihak kerajaan secara sah.

Terkini, perkara tersebut nampaknya mempunyai peluang untuk diubah selepas Gojek, syarikat seru motor daripada Indonesia bertemu Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan juga Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq.

Syed Saddiq, melalui akaun Instagram beliau telah mengatakan bahawa kemasukan Gojek adalah cara yang terbaik dan terpantas untuk “golongan mat motor” mendapatkan pekerjaan yang tidak sahaja terhad kepada litar lumba ataupun program one-off.

Selepas perjumpaan diantara empat pihak tersebut, beliau juga mengatakan bahawa usul untuk membenarkan perkhidmatan seru motor seperti Gojek untuk akhirnya dibenarkan di Malaysia akan dibentangkan di sidang jemaah menteri akan datang.

Anthony Loke mengesahkan bahawa perjumpaan bersama-sama dengan Gojek telah berjalan dengan lancar, dan walaupun idea untuk memberi pekerjaan kepada para pemilik motorsikal sesuatu yang sangat baik, fokus Kementerian Pengangkutan adalah lebih kepada kualiti ekosistem, mutu perkhidmatan awam tempatan dan keselamatan pengguna jalan.

Walaupun begitu, beliau juga berkata bahawa pihak Kementerian Pengangkutan akan meninjau keadaan dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk memastikan perkhidmatan-perkhidmatan seru motor ini dapat menjalankan perkhidmatan mereka dengan lancar.

Beliau juga berkata bahawa jika perkhidmatan seperti ini dibenarkan oleh kerajaan, Gojek tidak akan menerima layanan istimewa kerana mereka akan perlu bersaing dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang mungkin akan dibangunkan oleh anak Malaysia sendiri.

Sumber : Amanz