Dato’ Meor Abdul Rahman: Pengasas Silat Seni Gayong

Penulis berbesar hati untuk menceritakan tentang seorang tokoh yang namanya sangat besar dalam persilatan Melayu di negara kita.

Tidak
keterlaluan kiranya jika dikatakan peranan beliau dalam persilatan telah
mencipta satu kebangkitan dikalangan masyarakat Melayu pada era 70an. Dan
legasi peninggalan beliau masih diteruskan hingga sekarang.

Liku-liku
perjuangan beliau dalam memartabatkan seni silat di Malaysia perlu dijadikan
contoh dan tauladan agar generasi sekarang menghargai perjuangan beliau serta
tokoh-tokoh yang lain.

Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman Bin
Daeng Uda Md. Hashim

Almarhum
Dato’ Meor Abdul Rahman Bin Daeng Uda Md. Hashim merupakan pengasas kepada perguruan
Silat Seni Gayong. Beliau dilahirkan di Kampung Lake Garden Taiping pada 21
Ogos 1915 dan berketurunan Raja Bugis iaitu Daeng Kuning 7 bersaudara
yang berhijrah ke Tanah Melayu.

Almarhum Dato’ Meor mula diajar silat oleh datuknya Syed Zainal Abidin Al Attas pada umur 12 tahun bersama dengan 40 orang rakan. Syed Zainal atau Tok Jenai merupakan pendekar Pahang yang terkenal menentang penjajah Inggeris bersama Allahyarham Mat Kilau dan Dato’ Bahaman. Tok Jenai kemudian berundur lalu tinggal di Taiping.

(Ayah dan bonda Dato’ Meor. Allahyarham Uda Md. Hashim dan isterinya Sharifah Aluyah. Imej dari onnjadi.tripod.com)

Setelah
menamatkan pelajaran silat dari datuknya, beliau mula keluar merantau bagi
mencari pengalaman baru. Almarhum Dato’ Meor terkenal sebagai seorang yang suka
merantau. Beliau mula merantau ke Kedah ketika usianya 19 tahun dan menetap di
rumah kakanya.

Ketika
di perantauan banyak pengalaman baru yang beliau tempuhi. Ketika itu jugalah beliau
dikhatamkan ilmu persiltannya oleh ‘orang ghaib’.


Peristiwa
pengkhataman ini berlaku pada tahun 1936 ketika beliau keluar memburu bersama
rakan di sebuah hutan wilayah Selatan Thailand.

Ketika
kejadian beliau telah terpisah dari rakan-rakanya. Akibat keletihan beliau
berehat dan tertidur di atas sebuah batu hampar besar berwarna hitam.

Beliau
telah bermimpi bertemu dengan seorang tua yang berpakaian hulubalang Melayu
zaman dahulu. Dalam keadaan separa sedar beliau diajar dengan ilmu rahsia
pendekar zahir dan batin. ‘Orang ghaib’ itu turut mengarahkan supaya Dato’ Meor
mengadap Sultan yang memerintah negeri kelahirannya.

Selepas
peristiwa itu Dato’ Meor telah kembali ke Taiping dan mengadap Sultan Perak
seperti yang diamanatkan oleh ‘orang ghaib’ berkenaan. Dato’ Meor menghadap Sultan
Perak Sultan Alang Iskandar di Istana Bukit Chandan untuk menyembah taat
setia pada Sultan Perak.

(Istana Kenangan Bukit Chandan Kuala Kangsar Perak. Imej dari orangperak.com)

Di
Istana Bukit Chandan, Dato’ Meor mempersembahkan silatnya. Melihat kehebatan
ilmu persilatan beliau, Sultan Perak berpuas hati dan berkenan untuk memberikan
gelaran “Orang Sendo Perak” yang membawa maksud Orang Kuat Perak.

Sultan
Perak kemudian berkenan mengambil  Dato’
Meor sebagai anak angkat dan tinggal di Istana Bukit Chandan. Namun pada tahun
1938 Sultan Alang Iskandar telah mangkat dan Dato’ Meor balik semula ke kampung
halamannya di Taiping.

Penghijrahan Dato’ Meor Ke Singapura

Pada
tahun 1939 Dato’ Meor berhijrah ke Singapura untuk bekerja. Beliau bekerja di
Navy Base sebagai mekanik sebelum bekerja di Gilman Barrack sebagai guru Kombat
(Combat Instructor) untuk ahli-ahli Signal Corps British. Menjadikan Dato’
Meor orang Melayu pertama sebagai jurulatih kombat untuk Signal Corps.


Pada
tahun 1942 berlakunya penaklukan Jepun di Singapura, Dato’ Meor diarahkan untuk
meninggalkan Singapura dan berpindah ke Pulau Sudong. Mereka menetap
di sana setelah diterima oleh penduduk tempatan.

Pulau
Sudong merupakan sebuah pulau karang yang cuma berkeluasan 209 hektar dan ada
perkampungan orang Melayu ketika tu. Kini Pulau Sudong telah dimiliki oleh
Tentera Singapura kerana pulau ni sebahagian dari perairan Singapura.

(Pulau Sudong pada tahun 1950an pernah jadi perkampungan Melayu)

Ketika
di Pulau Sudong telah berlaku satu peristiwa penting dan bersejarah. Setelah
seminggu Dato’ Meor dan keluarga tinggal di sana, mereka telah mendapat berita
yang Tentera Jepun akan berlabuh di Pulau Sudong.

Orang
kampung pulau tersebut mula bimbang dengan kehadiran tentera Jepun Mereka
risaukan keselamatan terutama wanita dan kanak-kanak. Dato’ Meor diberi
kepercayaan untuk melindungi pulau tersebut 
dan beliau bersetuju namun dengan syarat orang Pulau Sudong mesti
kena masuk gayong.

Pada
pagi 17 Februari 1942 ketika di rumah Penghulu Pulau Sudong, Dato’ Meor telah
memperlimaukan 7 orang pemuda Pulau Sudong dan secara tak langsung mereka
adalah orang terawal sebagai ahli Gayong.

Dato’ Meor telah merancang strategi. Beliau mengarahkan supaya semua wanita dan anak dara berlindung di rumahnya yang dah dibacakan doa dan mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Rumah-rumah digeledah, dan ketika tiba di rumah Dato’ Meor alangkah terkejutnya tentera Jepun tu bila melihat perempuan-perempuan dalam rumah itu betukar menjadi hodoh dan buruk. Bertempiaran lari tentera Jepun meninggalkan Pulau Sudong.

Merebaknya Seni Silat Gayong ke
Studio Jalan Ampas hingga ke Tanah Melayu


Pada
tahun 1947 Dato’ Meor dan keluarganya telah kembali ke Singapura dan dipelawa
bekerja di Malayan Secret Service. Tidak lama kemudian beliau telah bertukar ke
Jabatan Siasatan Jenayah sebagai “mata-mata gelap” berpangkat sarjan.

Pada
23 Disember 1947, Dato’ Meor dikurniakan Pingat Keberanian oleh King George
VI atas keberanian beliau menentang penjajahan Jepun dan juga jasa beliau
ketika jadi jurulatih kombat untuk Signal Corps British.

(Nota: Penulis melihat sendiri watikah dari King George IV tetapi tidak dapat disiarkan atas permintaan Cikgu Sazali)

Pada
tahun 1955 Silat Seni Gayong telah berkembang ke sekitar Singapura hingga ke
Studio Jalan Ampas. Antara yang belajar Gayong adalah selebriti terkenal ketika
itu seperti Nordin Ahmad dan Kasma Booty. Kasma Booty merupakan wanita pertama
yang diuji berjalan atas bara api dan tangan dikelar dengan pisau.

Pada tahun 1961, Dato’ Meor telah bersara daripada polis. Sejak bersara, beliau menumpukan sepenuhnya pada pengembangan Silat Seni Gayong. Sebelum itu pada tahun 1959 Dato’ Onn Jaafar telah melamar diri untuk jadi ahli Gayong.

Dato’ Onn telah dilantik oleh Dato’ Meor sebagai Penasihat dan Waris Beradat Gayong. Dato’ Onn pula bertanggungjawab dalam merangka perlembagaan Gayong kerana  Dato’ Onn ingin mendaftarkan Silat Seni Gayong di ROS sebagai sebuah pertubuhan.

(Dato Meor bersam Dato Onn Jaafar)

Pada
22 Oktober 1963 ROS telah meluluskan pendaftaran Silat Seni Gayong sebagai
sebuah pertubuhan yang kita kenal sekarang Iaitu Pertubuhan Silat Seni Gayong
dengan nombor pendaftaran 361. Sejak itu Silat Seni Gayong bergerak sebagai
sebuah pertubuhan, aktiviti Pertubuhan ini dapat berjalan secara sistematik dan
secara tak lansung dapat berkembang pesat.

(Foto: Sijil pendaftaran pertubuhan dari ROS)

Dato’ Meor tidak berhasrat bawa
Gayong ke Kedah bagi menghormati ramai Pendekar yang handal di Kedah

Sejak
tahun 1957 lagi Tengku Kassim, Tengku Laksamana Kedah datang berjumpa dengan Dato’
Meor di Singapura bagi membawa Silat Gayong ke Kedah. Tetapi beliau menolak
demi menghormati para Pendekar yang handal-handal di Kedah.


Begitulah
sifat seorang pendekar. Saling hormat-menghormati namun titah Sultan juga perlu
dijunjung. Beliau kemudian membawa rombongan seramai 43 orang dari Singapura ke
Kedah bagi mempersembahkan Silat Seni Gayong pada Sultan Kedah di Sultan Abdul
Hamid Sport Club.

(Dato’ Meor bersama Sultan Kedah Sultan Badli Shah (tengah) dan Tengku Kassim)

Sejak
diluluskan oleh ROS pada 1963 Dato’ Meor kemudian membawa Gayong ke Kedah.
Mesyuarat Agong diadakan di Gurun Kedah dan Dato’ Meor sebagai Yang Di
Pertua manakala abangnya Meor Abdul Aziz sebagai Naib Yang Di Pertua.

Pada
tahun 1964 Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong berpindah dari
Woodlands, Singapura ke Kota Sarang Semut, Kedah. Tetapi, upacara adat istiadat
akan dijalankan di Ayer Kuning, Taiping. Pada tahun itu juga Gayong Perdana
yang pertama telah diadakan di Stadium Darul Aman Alor Setar dan dirasmikan
oleh Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Syah.

(Himpunan Gayong Perdana yang pertama diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah)

Pada
tahun 1969 Dato’ Meor telah menetap di Ayer Kuning Taiping, ibarat “Sirih
Pulang Ke Gangang”. Silat Seni Gayong semakin berkembang hingga ke
Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Di Selangor Datuk Harun Hj Idris
telah di angkat menjadi Imam Khalifah Selangor dan Dewan Belia Kampung Pandan
menjadi pusat latihan Gayong yang terawal di Selangor.

(Ahli-ahli Gayong membaca Ikrar pada Yang Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Klang)

Silat Seni Gayong diperkenalkan pada
ATM sebagai Tempur Tanpa Senjata (TTS)

Pada tahun 1970 Balai Adat Pertubuhan Silat Seni Gayong (PSSGM) telah dibentuk di Ayer Kuning Perak. Setahun kemudian Balai Adat dan Pusat Latihan Tertinggi PSSGM dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Shah. Baginda bersetuju menjadi Penaung Agung Silat Seni Gayong Malaysia. Sultan Perak pernah bertitah:

”Silat Seni Gayong yang sentiasa berdiri tegak bersedia menghadapi sebarang cabaran. Beta berasa amat sukacita juga yang mana rakyat beta di negeri Perak khasnya dan rakyat Gayong keseluruhannya telah ditumpahkan oleh Mahaguru Silat Seni Gayong.”- Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak selaku Penaung Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.

(Titah Paduka Seri Sultan Perak bertarikh 7 Julai 1976)

Atas
jasa dan tokoh kepahlawanan Dato’ Meor telah dianugerahkan darjah
kebesaran Dato’ Paduka Chura Simanjakini(DPCM) oleh Sultan Perak (membawa
gelaran Dato’) dan Dato’ Meor pula menggelarkan Sultan Perak, Sultan Idris Syah
dengan gelaran Sang Sapurba Negara.


Pada
tahun yang sama juga Silat Seni Gayong telah diperkenalkan pada Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) sebagai tempur tanpa senjata.

“Di antara kebanyakan seni-seni mempertahankan diri ini, Angkatan Tentera telah memilih untuk mengakui dengan rasminya Silat Seni Gayong ini. Ajaran silat tanpa menggunakan senjata ini adalah difikirkan sangat penting dalam Angkatan Tentera” – Ketua Turus Tentera Darat Tan Sri Dato Ungku Nazaruddin.

(Pengiktirafan dari ATM sendiri mengenai modul Tempur Tanpa Senjata yang di serap dari Silat Seni Gayong)

Legasi Silat Seni Gayong

“Gayong juga bersendikan seni dan adat, adat di utamakan. daripada senilah kita akan memusnahkan musuh, apa itu Gayong iaitu Ga Alif Ya Wau Nga, genggam, angkat, yakin, waras, ngeri. Seni juga salah satu bisa dalam permainan Gayong kerana pukulan, sauk, tangkap-menangkap lompatan dari senilah kita akan dapat pelajaran Silat Seni Gayong”Cikgu Sazali Dato Meor Abdul Rahman.

(Cikgu Sazali Meor Abdul Rahman pemegang Amanah Silat Seni Gayong menunjukkan seni yang terdapat pada Gayong kepada penulis)

Cikgu
Sazali adalah anak kepada Dato’ Meor Abdul Rahman, beliau adalah Pemegang Waris
Amanah Mutlak Silat Seni Gayong selepas kakaknya Cikgu Siti Kalsom. Cikgu
Sazali masih bergiat aktif dalam Pertubuhan Silat Seni Gayong selepas Dato’
Meor Abdul Rahman kembali ke Rahmatullah pada Jun 1991 akibat sakit tua.

Jasa
dan pengorbanan Dato’ Meor Abdul Rahman harus dikenang. Beliau menjalani hidup
sebagai seorang pendekar dengan cekal dan tabah sehingga Silat Seni Gayong
berkembang ke serata dunia. Begitu juga Anak Gayong yang terkenal dengan
disiplin yang tinggi dan sangat merendah diri.

“Pecah
Gayong Di Dalam Dulang, Dulang Hanyut Di Lautan Tujuh, Pecah Gayong Perpecahan
Sayang, Di satu Masa Kembali Berteguh”- Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman.

(Nota;
Selain rujukan di internet, artikel ni merujuk nasihat dari Cikgu Sazali)


RUJUKAN:

Cikgu
Sazali Dato Meor Abdul Rahman

Wisma
Sendo Perak

Rujukan Gambar:

http://onnjadi.tripod.com/biografimahaguru.html

http://www.gayong.com.my/

The post Dato’ Meor Abdul Rahman: Pengasas Silat Seni Gayong appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots