Sejarah Dan Falsafah-Falsafah Keris

Saya sering katakan yang bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang amat berseni. Bahkan sebelum kedatangan Islam, bangsa ini sudah mempunyai falsafah kehidupan tersendiri. Budaya bangsa ini banyak dipengaruhi oleh local genius dan Hindu-Buddha.

Ketika ulama-ulama sufi yang datang dari Yaman mengislamkan orang Melayu, mereka tidaklah menghapuskan adat dan budaya yang sudah berakar dalam jiwa bangsa Melayu sebaliknya memberikannya nafas baru yang bertunjangkan Islam. Hal ini kerana mereka sedar bahawa Islam bukan hadir untuk menghapuskan budaya dan identiti bangsa tetapi untuk memperbaikinya. Perkara inilah yang tidak dapat dilihat oleh golongan yang saya labelkan sebagai ‘kaum muda’ di alaf baru.

Dalam bab ini, saya akan kongsikan sejarah keris dan falsafahnya sebelum Islam dan selepas Islam. Semoga bab ini mampu memberikan pencerahan teragung kepada golongan yang alah pada adat dan budaya Melayu – baik golongan liberal yang jauh terbabas dari landasan agama Islam yang sebenar, mahupun golongan agama yang terlalu keras dalam berdakwah sehingga mahu mengharamkan segala-galanya tentang Melayu.

Ambillah pengajaran daripada pendekatan yang digunakan ulama terdahulu sehingga mampu mengislamkan umat Melayu di Nusantara ini.

Asal usul keris

Keris ialah satu warisan bangsa yang harus dikenang sebagai
lambang ketamadunan bangsa Melayu. Ia menjadi bukti ilmu sains dan teknologi
orang Melayu sudah mendahului zaman. Tidak percaya? Tidak mengapa – saya akan
celikkan mata kalian. Dipercayai bahawa terdapat 17 hingga 60 jenis besi yang
digunakan sebagai bahan untuk membuat keris. Ini ialah senarai 17 jenis besi yang
dikenal pasti menurut M. T. Arifin.

1.         Besi Pulasani/Karinduaji

2.         Besi Mangangkang Jaler

3.         Besi Mangangkang Estri

4.         Besi Walulin


5.         Besi Katub

6.         Besi Kamboja

7.         Besi Ambal

8.         Besi Winduadi

9.         Besi Tumpang

10.      Besi Werani

11.      Besi Welangi

12.      Besi Terate


13.      Besi Malelaruyun

14.      Besi Malelagendhaga

15.      Besi Kenur

16.      Besi Tumbuk

17.      Besi Balitung

Sememangnya asal usul keris masih lagi kabur kerana ia merupakan
simbol local genius masyarakat
Nusantara tetapi sejarawan ada membawakan hujah-hujah bagi mencadangkan
beberapa teori berkenaan asal kewujudan keris. Berikut ialah teori yang
diketengahkan oleh para sejarawan berbeza.

G. B. Gardner

G. B. Gardner mencadangkan yang keris pada asalnya adalah
senjata yang diperbuat daripada tulang ikan pari ketika zaman prasejarah.
Dipercayai bahawa tulang ikan pari itu akan dibalut dengan kain pada tangkainya
lalu tangkai itu akan diggenggam dan dibawa ke mana-mana sebagai senjata.


Griffith Wilkens

Wilkens mencadangkan, budaya keris ini baru muncul pada abad
ke-14 seiring dengan perkembangan dan peralihan daripada senjata seperti
tombak. Dikatakan, senjata tikam yang lebih pendek dicipta supaya ia lebih
fleksibel. Katanya lagi, oleh sebab pada zaman itu logam sukar ditemui, maka adalah
lebih mudah untuk dicabut sahaja mata tombak dan dijadikan keris.

A. J. Barnet Kempers

Beliau mengatakan bahawa tradisi keris di Alam Melayu
bermula di Dongson, Vietnam yang dipercayai bertarikh 2500SM berdasarkan
tinggalan gendang di sana, yang merupakan sebuah tapak ketamadunan yang
dipercayai milik rumpun Austronesia. Di sana ada dijumpai senjata-senjata yang
dipercayai merupakan leluhur keris yang dapat dijejak sehingga ke awal 300SM.

Antara rekod terawal kemunculan keris dijejaki di Alam
Melayu ialah pada abad ke-5 Masihi di Kepulauan Jawa seperti di Prasasti Batu
di Desa Dakuwu, Grabag, Magelang, Jawa Tengah yang menggambarkan alat pembuatan
besi.

Bahkan di Kepulauan Jawa iaitu di Candi Borobudur, sebuah relief ditemui yang menggambarkan kepada
kita bahawa terdapatnya tentera-tentera yang membawa senjata tajam yang saling
tak tumpah seperti keris. Untuk rekod, Candi Borobudur ini dibina seawal abad
ke-8 dan siap pada awal abad ke-9.

Falsafah Hindu-Buddha dalam keris

Pada zaman pra-Islam, unsur Hindu-Buddha dapat dikesan pada keris; setiap keris hadir dalam dua bahagian iaitu bilah dan ganja yang masing-masing melambangkan lingga dan yoni. Menurut falsafah Hindu, penyatuan lingga dan yoni membawa maksud kesuburan, keabadian, dan kekuatan.


Di candi Prambanan pula, terdapat ukiran terutamanya di
candi yang dibina untuk memuja Shiva – ada relief
monyet yang menghunus sejenis belati mirip keris. Kalau pembaca biasa dengan falsafah
Hindu, pembaca tentu tahu – selalunya yang dijelmakan dalam bentuk monyet ialah
Dewa Hanuman.

Namun begitu, segala falsafah yang muncul ketika zaman
Hindu-Buddha terus hilang selepas kedatangan Islam. Semua unsur agama lama
digantikan dengan falsafah keislaman.

 Falsafah keris kini

Sebenarnya falsafah keris yang wujud selepas kedatangan
Islam adalah sangat mendalam. Saya akan ringkaskan untuk meringankan beban
kalian agar mudah untuk menghayati bab yang saya kira agak berat ini.

1. Lok Keris

Lok 3: Untuk panglima,
pahlawan, dan pendekar yang menjalankan tugas keduniaan dan kerohanian.

Lok 5: Melambangkan
kepetahan pemiliknya dalam berbicara dan mempengaruhi pendengar.

Lok 7: Melambangkan kewibawaan dan karisma dalam
pemerintahan.


Lok 9: Melambangkan
kebijaksanaan dan kepimpinan (biasanya dipakai dan dimiliki oleh raja dan
pemerintah).

Lok 11:
Melambangkan pemiliknya yang bercita-cita tinggi mengejar kemajuan ekonomi dan
sosial.

Lok 13: Melambangkan
pemiliknya berani mati mempertahankan apa sahaja yang dimiliki daripada
dirampas tanpa hak.

Selain daripada
yang dinyatakan di atas, lok keris 5 melambangkan rukun Islam, lok keris 7
melambangkan pusingan tawaf, lok keris 13 melambangkan rukun solat, dan lok
keris 17 pula melambangkan jumlah rakaat solat lima waktu sehari semalam.

2. Pembersihan

Keris juga
selalunya dibersihkan, dicuci atau dimandikan pada bulan Muharam sebagai lambang
penyucian. Justeru dalam bulan Muharam, orang Melayu biasanya akan menuntut
ilmu dan ‘membuang’ ilmu.

3. Unsur alam

Empu atau pandai besi
(gelaran untuk penempa keris) menempa keris berdasarkan falsafah penciptaan
manusia yang dipercayai terdapat 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Dikatakan
bahawa manusia diciptakan dari tanah, dilembutkan dengan air, dibakar dengan
api lalu ditiupkan roh.


Penciptaan keris melibatkan
bahan baku daripada besi, baja dan nikel diambil daripada tanah, kemudian ia diadunkan
dengan api dan air sewaktu proses pembuatan.

Selepas siap, para pandai
besi akan membacakan beberapa potong doa sebelum ‘menghembus’ pada keris.
Tiupan doa itu umpama roh yang ditiupkan agar keris menjadi ampuh.

4. Pembuatan besi 9 desa

Para pandai besi
dikatakan akan mengumpulkan besi dari 9 daerah sebagaj bahan baku. Kemudian, bahan
baku dari 9 daerah ini pun ditempa berulang kali sebelum dijadikan bilah keris.

Selepas siap bilah
besi itu, ia akan disiram pula dengan air dari 3 kuala sungai. Apabila siap
disiram dengan air, bilah keris akan diletakkan setinggi mungkin di tempat yang
tertinggi di daerah keris ditempa selama 44 hari. Menurut falsafah Melayu,
perbuatan meninggikan keris adalah sebagai perlambangan bahawa keris mempunyai
kehebatan yang tidak dapat ditandingi.

5. Pakaian

Ketika pembuatan
keris, pandai besi akan mengenakan pakaian yang berbeza mengikut status keris
yang sedang ditempa.

Pakaian berwarna kuning: untuk menempa keris diraja.


Pakaian berwarna hitam:
untuk menempa keris buat panglima dan pendekar.

Pakaian biasa: untuk menempa keris buat orang biasa.

6. Perlambangan

Keris dikatakan melambangkan
tuah dan maruah, kejantanan, harga diri, senjata, penjagaan diri, daulat, jati
diri, tubuh, pembantu, dan pakaian.

7. Pergerakan keris

Pergerakan
melibatkan keris turut mempunyai falsafah yang tersendiri. Misalnya

a) keris dikucup melambangkan
penerimaan sebuah amanah dengan kesediaan dan pengucup menjunjung tinggi tugas
yang digalas dengan penuh keinsafan dan kejujuran;

b) keris dijulang
melambangkan penjulangan kuasa, kedaulatan, tanggungjawab dan sikap adil dalam menunaikan
amanah;


c) keris dihunus melambangkan
tekad untk mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam serta negara.

Justeru, jika anda
menyaksikan ada yang berucap sambil melakukan pergerakan seperti dinyatakan,
janganlah melenting sebab setiap pergerakan itu ada falsafahnya.

Terdapat juga
keris-keris yang mengandungi kalimah-kalimah agama pada pangkal tulang atau
hulu keris. Ayat-ayat al-Quran atau kalimah keagamaan pada keris juga sering
dilihat pada bahagian sarungnya.

Kesimpulan

Jelaslah, menerusi keris, kita dapat meilhat ketinggian falsafah bangsa Melayu. Sebatang keris sahaja mampu menyampaikan 1001 maksud dan prinsip yang terselindung. Ketinggian falsafah melambangkan ketinggian tamadun.

RUJUKAN:

1. Mahyudin Al-Mudra (2009). Melacak Asal-Usul Keris dan Peranannya Dalam Sejarah Nusantara. Sari 27-44.

2. Khamid Mohamad & Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (2013). Falsafah dan Isu Masa Kini. International Journal of the Malay World and Cilivization (Iman): 45 – 43.

The post Sejarah Dan Falsafah-Falsafah Keris appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots