“Kadang Kita Fikir Kita Susah,” Dakwa Diusir, Sekeluarga Ganti Dobi Jadi Tempat Berteduh

Tidak semua orang di atas muka Bumi ini mendapat kehidupan yang baik disebabkan pelbagai kekangan. Antaranya ialah masalah kewangan yang saban hari semakin parah.

Situasi ini jelas dapat digambarkan oleh seorang individu melalui halaman Facebook Orang Wangsa Maju mengenai kehidupan sekeluarga yang terpaksa menginap di dobi layan diri sementara waktu kerana dihalau dari bilik sewa.

Menerusi perkongsian berkenaan, pasangan suami isteri yang baru diusir dari bilik sewa mempunyai seorang bayi kecil dan terpaksa menjadikan kawasan dobi tersebut sebagai tempat berteduh buat sementara waktu.

Situasi getir yang dialami oleh pasangan itu adalah disebabkan mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi bagi mencari tempat berteduh yang selesa terutamanya bagi bayi berkenaan. Perkara ini berikutan kerana suami itu hanya akan menerima pendapatannya pada 5hb dan menyebabkan dia tidak dapat menyediakan tempat berteduh buat isteri dan anaknya.

Rata-rata warganet turut bersimpati dengan nasib keluarga itu di samping ramai yang mahu menghulurkan bantuan serta iringan doa agar urusan mereka dipermudahkan.

“Yang nak menolong biar ikhlas, jangan pertikaikan kesusahan mereka”

“Semoga dipermudahkan urusan, dipermurahkan rezeki mereka”

“Kadang-kadang kita fikir kita susah, tapi ada orang yang lebih susah dari kita”

Sumber: Orang Wangsa Maju

Sumber : SiakapKeli