Kota Bawah Tanah Berusia Ribuan Tahun Ditemui Di Turki

Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu. Tetapi bagi seorang warga Turki yang hidup di daerah Derinkuyu pada tahun 1963, frasa yang lebih sesuai diungkapkan adalah jika tidak dipecahkan dinding, di mana boleh kota bawah tanah diketemu. Ketika melakukan renovasi di ruang bawah tanah rumahnya, lelaki Turki itu mengambil penukul untuk meruntuhkan dinding.

Tidak semena-mena, beliau menemukan sebuah khazanah yang sehingga awal dekad ini, dianggap sebagai kota bawah tanah paling besar di Cappadocia, atau bahkan di negara Turki secara keseluruhan. Dua tahun sejak penemuan tersebut, Kota Bawah Tanah Derinkuyu dibuka untuk kunjungan orang awam. Namun, dikatakan bahawa hanya 10% dari luas keseluruhan kota itu sahaja dapat dilawati.

Memiliki maksud
“perigi (yang) dalam”, nama Derinkuyu sememangnya menggambarkan secara
sepintas-lalu tentang khazanah sejarah yang menjadi tajuk perbicaraan artikel
kali ini. Kota bawah tanah ini terletak di daerah Derinkuyu, berjarak kira-kira
30km dari Nevsehir, Turki. Perkara yang amat mengagumkan tentang Kota Bawah
Tanah Derinkuyu adalah kedalamannya yang luar biasa, sistem pembinaannya yang
amat teratur, serta kelengkapan perbekalan hidup yang cukup untuk menampung sehingga
20 000 orang penduduk!

Peta lokasi Cappadocia

Setakat ini,
keluasan kota bawah tanah tersebut mencecah 2000 kaki persegi. Namun, laman
sesawang rasmi mencatatkan bahawa luas keseluruhan sebenarnya boleh mencapai
sehingga 7000 kaki persegi (650 meter persegi). Berikutan usaha penggaliannya
yang masih berterusan dari semasa ke semasa, ukuran kedalamannya juga sentiasa
berubah dan berbeza antara satu sumber dengan sumber yang lain. Ukuran minima
menyebutkan angka 60 meter dan 8 tingkat sementara ukuran maksima menyatakan
kedalamannya sebagai 85 meter dan 18 tingkat. Ada juga sumber yang menyebutkan
bahawa kota bawah tanah ini memiliki 11 tingkat dengan kedalaman 76 meter.

Kompleks bawah
tanah ini dilengkapi dengan fasiliti dan keperluan yang cukup untuk
melangsungkan kehidupan buat tempoh masa yang cukup panjang. Antaranya seperti
bekalan sumber air, sistem pengudaraan melalui 52 buah lubang udara (setakat
yang telah ditemukan), kedai-kedai, ruang kediaman peribadi yang terpisah
antara satu sama lain, ruang awam, ruang permakaman, gudang senjata dan juga
terowong-terowong rahsia untuk berpindah secara sulit. Lebih dari itu, Kota
Bawah Tanah Derinkuyu ini juga mempunyai tempat pembuat wain, kandang ternakan,
biara, dan juga dewan makan.

Setakat ini,
sebanyak 600 buah pintu masuk ke kota bawah tanah ini ditemui di pelbagai
tempat di Derinkuyu. Memenuhi fungsi kota bawah tanah ini sebagai tempat
perlindungan semasa berlakunya serangan musuh, pintu masuknya ditutup dengan
batu besar berbentuk roda – persis sebuah gua yang ditutupi oleh runtuhan
batu-batuan dari gunung. Malah, andaikata kota perlindungan terakhir ini
berjaya ditembusi musuh, para penghuninya boleh melarikan diri dengan melalui
terowong-terowong rahsia yang menyambungkan Kota Bawah Tanah Derinkuyu dengan
kota-kota bawah tanah yang lain yang terdapat di wilayah berkenaan.

Direkodkan bahawa
di kawasan antara Kayseri dan Nevsehir sahaja, terdapat lebih 200 buah kota
bawah tanah yang mana 40 daripadanya paling kurang memiliki kedalaman tiga
tingkat. Salah satu terowong pada tingkat tiga kompleks bawah tanah Derinkuyu
dipercayai bersambung dengan Kota Bawah Tanah Kaymakli yang terletak kira-kira
5km jauh. Sehingga awal dekad ini, Kota Bawah Tanah Derinkuyu dinobatkan
sebagai kompleks bawah tanah paling besar di Turki, disusuli oleh Kota Bawah
Tanah Kaymakli sebelum pada 2012, sebuah lagi kota bawah yang dianggarkan
memiliki keluasan mencecah 5 juta kaki persegi (460 000 meter persegi)! Jika dibuat
perbandingan, keluasannya ibarat 4 atau 5 buah Pavilion di Kuala Lumpur!

Gambaran suasana tingkat demi tingkat di Kota Bawah Tanah Derinkuyu

Berbalik kepada Kota Bawah Tanah Derinkuyu, laman sesawang rasmi Cappadocia Turkey mencatatkan bahawa kompleks bawah tanah ini dibina oleh kaum Phyrgia pada abad ke-8 atau ke-7 Sebelum Masehi sebagaimana yang diwarwarkan oleh Jabatan Kebudayaan Turki.


Reuben Westmaas dari Curiosity pula mengandaikan bahawa kota-kota bawah tanah di wilayah Cappadocia ini dibina sebagai tempat perlindungan cemas semasa berlakunya serangan dari Parsi sekitar 540SM oleh tentera-tentera Cyrus Agung. Makanya didakwa bahawa orang-orang Parsi juga pernah menggunakan kompleks bawah tanah ini.

Ada juga sumber
yang membawa sejarah pembinaan Kota Bawah Tanah Derinkuyu ini sehingga hampir
4000 tahun yang lampau. Katanya, kota bawah tanah tersebut dibina oleh bangsa
Hittite yang mendiami Semenanjung Turki sejak kurun ke-17SM lagi. Pendapat ini
lahir kerana terdapat beberapa artifak yang memiliki elemen kebudayaan Hittite
seperti patung singa kecil ditemui di tapak berkenaan. Benar atau tidaknya
dakwaan ini, masih belum dapat dipastikan oleh sejarahwan.

Batu bulat berbentuk roda yang berfungsi sebagai pintu, digulingkan dari dalam

Melanjutkan
perbahasan tentang sejarah pembinaannya dari zaman kaum Phyrgia, Kota Bawah
Tanah Derinkuyu diperbesarkan lagi ketika Asia Kecil menjadi wilayah naungan
Empayar Rom Byzantine. Pada masa-masa ini jugalah, penduduk wilayah Cappadocia
memeluk agama Kristian. Pengaruh tersebut lantas diserap masuk ke dalam binaan
ini dengan wujudnya biara dan ruang pembelajaran agama Kristian.

Merentas peredaran
masa, Kota Bawah Tanah Derinkuyu terus digunakan oleh pelbagai masyarakat dalam
pelbagai situasi. Dinasti Seljuk dan Daulah Uthmaniyah juga dicatatkan pernah
memanfaatkan kefungsian kompleks bawah tanah ini. Pada waktu inilah dikatakan
bahawa terowong-terowong yang menyambungkan antara satu kota bawah tanah dengan
satu kota bawah tanah yang lain dibina.

Memasuki kurun
ke-20 Masehi, kaum Yunani-Kristian di Cappadocia sekali lagi menghadapi
penindasan yang memaksa mereka melarikan diri ke ruang bawah tanah ini.
Misalnya pada tahun 1909, seramai 30 000 orang Kristian-Armenia di kota Adana
dibunuh. Pada tahun 1923 pula, kebanyakan masyarakat Yunani-Cappadocia dihantar
ke Greece dalam perjanjian pertukaran penduduk antara Greece dan Turkey dalam
rangka menyingkirkan kaum minoriti di kedua-dua buah negara tersebut.

Kota Bawah Tanah Derinkuyun dilengkapkan dengan sistem pengudaraan yang baik

Semenjak itu,
kompleks bawah tanah Derinkuyu tidak lagi disentuh manusia selama 40 tahun.
Walhal, pintu-pintu masuknya boleh sahaja dilihat dengan jelas dari luar. Oleh
kerana itu, memetik kata-kata Reuben Westmaas, “Bukanlah kota bawah tanah ini
hilang dari ingatan manusia. Akan tetapi, apa yang luput dari memori masyarakat
setempat adalah pengetahuan tentang keluasan dan kedalaman yang dimiliki oleh
kompleks berkenaan.” Ibarat anda mengetahui wujudnya sebuah gua, tetapi anda
tidak pernah menjangkakan suatu signifikasi di sebalik gua itu. Makanya, gua
itu pun dipandang sepi dan dibiarkan.

Justeru, sesuai
kiranya perenggan akhir artikel ini ditutup dengan peribahasa, “Kurang sisik,
tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru.” Dengan semangat
patriotism yang diharapkan masih membara bersempena sambutan ulang tahun
kemerdekaan yang baru sahaja berlalu, semoga dari semasa ke semasa, tapak-tapak
bersejarah di negara kita terus dimartabat sehingga dapat menghiasi dada
media-media arkeologi antarabangsa.

RUJUKAN


All That
Interesting. (1 Disember 2017). 15 Astounding Photos Taken Inside the Lost
Underground City of Derinkuyu.
https://allthatsinteresting.com/derinkuyu-underground-city

Ancient Wisdom.
http://www.ancient-wisdom.com/turkeyderinkuyu.htm

Cappadocia
Turkey.net. (n.d.). Derinkuyu underground city.
http://www.cappadociaturkey.net/derinkuyu_underground_city.htm

Eric Grundhauser.
(n.d.). Derinkuyu Underground City. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/places/derinkuyu-underground-city

Jessica Stewart.
(7 Julai 2019). Massive Ancient Underground City Once Housed 20 000 People. My
Modern Met.
https://mymodernmet.com/derinkuyu-underground-city/

Reuben Westmaas.
(9 Oktober 2018). This Ancient Underground City was Big Enough to House 20 000
People. Curiosity.
https://curiosity.com/topics/this-ancient-underground-city-was-big-enough-to-house-20000-people-curiosity/?fbclid=IwAR30w1gntac2wbQEt93lIWbJelJQuqpZo6T6u3pCxyjcBHP4kS4n2BuQmBs

The post Kota Bawah Tanah Berusia Ribuan Tahun Ditemui Di Turki appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots