3 Kota Purba Setanding London, Paris Dan New York

London, Paris dan New York merupakan bandar bertaraf dunia: hub pelancongan, teknologi dna perdagangan di zaman moden. Nama dan imej ketiga-tiga buah bandar ini bergema di seantero dunia. Malah, kita turut digamit untuk mengimbau sejarahnya yang menonjol, petempatannya yang masyhur dan rupa-rupa buminya yang ikonik.

Bandar-bandar sebegini yang sudah tentunya memiliki hubungan yang lebih meluas dengan dunia luar, menjadi medan percambahan idea, kependudukan manusia dan perkembangan budaya.

Jika tirai sejarah disingkap, agar sukar untuk kita bayangkan betapa kota-kota di zaman purba turut memiliki kemegahan dan kemajuan yang setanding kota-kota kosmopolitan pada hari ini.

Untuk mendapatkan gambaran keadaan kota urban pada masa purba, lazimnya kita dibawa mengembara ke Rome, Athens dan Istanbul (dahulunya Konstantinopel dan juga Byzantium) yang sejarah bandar-bandar ini menjangkau usia 2000 tahun.

Namun, dengan adanya pembangunan-pembangunan moden dan bertambahan penduduk secara berterusan, bandar-bandar ini tidak lagi memiliki kesan tinggalan sejarah yang banyak. Bahkan, sukar untuk kita menghayati dan membawa diri ke masa lalu ketika mengunjungi bandar-bandar berkenaan, dengan wujudnya hotel-hotel yang tersergam mewah, kedai-kedai yang beroperasi rancak, serta pelancong-pelancong yang bersesakan.

Berbanding mengambil tiga buah bandar itu sebagai gambaran bagi bayangan kota metropolitan zaman purba, adalah lebih sesuai untuk melihat pada tiga buah kota lain yang lebih misteri – iaitu Nineveh, Antioch dan Lepcis Magna; tiga buah kota yang berupaya membawa kita menyelami kehidupan urban di zaman purba.

NINEVEH

Nineveh terletak di tebing Sungai Tigris di utara Iraq, tidak berapa jauh dari Mosul moden. Runtuhan yang masih tersisa pada hari ini menghadapi ancaman akibat konflik bersenjata yang dicetuskan oleh militan IS di rantau berkenaan.

Pada kurun ke-7SM, Nineveh diisytiharkan oleh Raja Sennacherib sebagai ibu kota bagi Empayar Neo-Assyria sejurus selepas kemangkatan ayahandanya, Sargon III. Hal ini menjadi titik mula bagi Nineveh sebagai pusat politik dan kebudayaan empayar berkenaan, yang mana pada masa kemuncaknya ia terbentang luas di hampir seluruh Timur Tengah.

Peta Assyria

Namun, kota sebesar ini tidak mampu bertahan lama tanpa sumber yang berterusan. Raja Sennacherib memahami situasi ini. Salah satu prasasti Sennacherib memaklumkan kepada kita bahawa beliau membawa bekalan air ke Nineveh dengan membelah gunung-ganang dan lembah lalu menghasilkan terusan. Hal ini sekaligus membawa kepada penyelesaian awal ke atas salah satu kekurangan sumber bekalan di negara kota itu.

Sebuah ibu kota diraja sudah tentu perlu memiliki keunikan dan kemegahan tersendiri. Sennacherib melaksanakan sejumlah projek besar – mengindahkan Nineveh dengan sejumlah taman dan kebun, serta menghasilkan padang rumput persis di selatan Babylon. Bahkan, sejarahwan turut menyenaraikan Nineveh sebagai salah satu kemungkinan lokasi yang menempatkan Taman Tergantung Babylon, iaitu salah sebuah dari tujuh buah keajaiban dunia purba.

Rakyat Neo-Assyria merupakan artisan yang mahir. Mereka menggunakan bakat tersebut sebagai kuasa pengaruh bagi mempamerkan kemegahan empayar mereka. Istana-istana di Nineveh dilengkapi dengan patung-patung yang disertakan dengan dekorasi gambaran kegemilangan dan pencapaian para raja yang memerintah. Sebahagian dari hasil seni paling cantik pada masa ini datang dari raja sesudah Sennacherib, iaitu Ashurbanipal (668-627SM) yang menaja penghasilan relif-relif pemburuan singa yang dapat kita lihat pada hari ini di Muzium British.

Relif Pemburuan Singa di Istana Ashurbanipal, Nineveh

Ashurbanipal juga didendangkan sebagai seorang raja yang cintakan ilmu dan memiliki sebuah perpustakaan diraja yang menyimpan lebih dari 30 000 buah tablet yang dikumpul dari seluruh empayar Neo-Assyria. Perpustakaan tersebut mengandungi teks-teks yang meliputi ramalan, epik, mitos, matematik dan bermacam bidang ilmu lain yang dimahiri oleh rakyat Neo-Assyria.

ANTIOCH-DI-ORONTES

Berpindah ke zaman yang lebih terkemudian dan lokasi yang sedikit ke barat, Antioch (Antakya moden) adalah sebuah kota yang terletak di tenggara Turki, tepatnya di Sungai Orontes. Kota ini ditubuhkan pada tahun 300SM oleh raja pertama Dinasti Seleucid, iaitu Seleucus I Nicator (312-280SM) yang merupakan bekas panglima Alexander Agung.

Raja Seleucus/Nicator

Selecus memahami kepentingan membina hubungan baik dengan kuasa-kuasa jiran di samping menarik kedatangan bakat-bakat hebat ke kota pentadbirannya. Untuk mencapai tujuan ini, beliau membawa masuk sejumlah orang Yunani ke Antioch sekaligus memperkuatkan hubungannya dengan dunia Yunani. Pengaruh Yunani terus tersebar secara meluas pada era pemerintahan Rom. Malah pada zaman ini, terdapat sejumlah hasil seni berupa mozek indah yang menjadi simbol kepada jalinan hubungan ini, di mana sering dilihat pada hasil-hasil seni ini gambaran berkaitan Yunani antaranya seperti gambaran Dewa Dionysus.

Pada era pemerintahan Rom, Antioch menjadi instrument utama dalam kebangkitan agama Kristian. Sememangnya, keadaan ini sesuai dengan statusnya sebagai kota yang terletak di antara Timur dan Barat di mana hal ini membuatkannya terkenal dengan kepelbagaian agama dan etnik dalam kalangan penduduknya – para pemuja dewa-dewa seperti Isis, Harpocrates dan Attis; pemuja kultus tempatan Syria; pemuja kultus pagan Rom dan para penganut Judaism dan Kristian – kesemuanya menetap di kota Antioch.


Gereja St Peter berhampiran Antakya, Turki diperkatakan menjadi tempat di mana Saint Peter kali pertama membacakan Gospel di Antioch-Rom

Kota ini juga menempatkan beberapa buah infrastruktur yang maju lagi mengagumkan. Sepertimana London mempunyai Penampan Sungai Thames, Antioch juga mengambil pendekatan serupa sebagai langkah pencegahan banjir.

Sebuah empangan besar yang dikenali sebagai ‘Gerbang Besi’ dibina oleh Maharaja Justinian (527-565M) untuk melindungi kota tersebut dari banjir bah yang melanda mengikut musim.Sebelum itu sekitar 69-96M pula, sebuah empangan dan terowong di bina di pelabuhan Antioch, bernama Seleucia Pieria bagi tujuan mengubah aliran air agar menjauh dari kota berkenaan.

LEPCIS MAGNA

Lepcis Magna merupakan sebuah kota empayar Rom bersaiz besar yang terletak di pesisiran utara Libya, tepatnya di mulut Wadi Lebda. Aktiviti perdagangan merupakan nadi ekonomi bagi kawasan ini. Pelabuhannya yang begitu berkualiti berjaya menggamit para pedagang dari kota-kota di Afrika Utara yang lain untuk mengunjungi Lepcis Magna, sebagaimana yang dapat kita lihat pada inskripsi di amfiteater Lepcis Magna.

Amfiteater masyhur di Lepcis Magna

Kota ini juga masyhur kerana menjadi tempat lahir bagi maharaja Septimius Severus (145-211M) – maharaja Rom pertama yang berasal dari Afrka. Seni bina di kota ini menunjukkan gabungan antara tradisi Rom dan Afrika. Septimius Severus turut memperkayakan kota halamannya itu dengan pelbagai binaan indah. Salah satu monumen paling mengagumkan pada zaman ini adalah Gerbang Melengkung Septimius Severus, yang didekorasi dengan ukiran-ukiran yang menggambarkan keluarga diraja dan perarakan.

Ketiga-tiga kota yang disebutkan di dalam artikel ini merupakan kota maju yang memiliki jumlah penduduk yang tinggi, di mana masyarakat dari seluruh dunia datang berkumpul di kota berkenaan untuk bertukar-tukar idea, menghimpunkan harta dan mencari kemasyhuran – sama seperti kita pada hari ini. Para penduduk kota-kota ini berupaya membangunkan teknologi yang cukup mengagumkan, dan mereka turut boleh bermegah dengan hasil-hasil seni yang setanding dengan koleksi kesenian di Muzium British, Louvre dan Metropolitan.

Kini, kalaupun kota-kota metropolis purba ini masih boleh diakses, ianya hanya dapat dilihat sebagai sebauh runtuhan arkeologi yang rapuh. Pun begitu, runtuhan inilah memento sejarah yang ditinggalkan kepada kita agar dapat mengimbau keadaan kota tersebut di zaman purba serta ratusan ribu malah jutaan manusia yang membantu membentuk dunia yang kita diami pada hari ini.

Lebih daripada itu, runtuhan-runtuhan ini tidak hanya memberi gambaran tentang masa lalu, tetapi juga gambaran masa hadapan – masa di mana bandar-bandar hebat kita sendiri akan runtuh menjadi serpihan debu, lalu menjadi bahan penyelidikan dan pengimaginasian generasi mendatang.

RUJUKAN:

Zena Kamash. (29 September 2015). Three ancient cities to rival London, Paris and New York. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/three-ancient-cities-rival-london-paris-and-new-york-004023

The post 3 Kota Purba Setanding London, Paris Dan New York appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots