Rangka Remaja Perempuan Berusia 6000 Tahun Ditemui Di Malaysia!

Dalam kesempatan sebelum ini, perkongsian-perkongsian tentang penemuan arkeologi sering dilakukan bagi perkembangan dari luar negara – penemuan istana tamadun yang hilang, masjid tertua di Eropah, kota bawah tanah dan lain-lain. Justeru pada artikel kali ini, kami cuba pula untuk mula bawakan berita-berita arkeologi tempatan.

Semoga perkongsian-perkongsian sebegini dapat menghadirkan rasa penghargaan dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia terhadap warisan sejarah yang cukup berharga di bumi ini. Sejarah yang berupaya untuk menyatupadukan kita semua walaupun untuk sejenak – bersama-sama bergembira dan berbangga apabila di tanah tumpah darah ini, ditemukan artifak, relik atau monumen yang berupaya melonjakkan nama negara di persada antarabangsa.

Berbalik kepada
perkongsian, apabila berbicara tentang arkeologi tempatan, antara yang sering
terlintas dalam fikiran kita sudah tentu penemuan rangka manusia prasejarah di
Perak yang terkandung di dalam buku teks sekolah. Perak Man yang ditemukan pada
tahun 1991 itu diiktiraf sebagai satu-satunya kerangka purba paling lengkap
pernah ditemui di Asia Tenggara. Hal ini sekaligus mengubah imej Lembah
Lenggong sebagai tapak kebudayaan arkeologi yang penting.

Penyelidik melakukan kerja ekskavasi arkeologi di Gua Chawan. Utusan.

Pada 27 tujuh tahun kemudian, atau tepatnya 2 November 2018, para penyelidik kita sekali lagi menggemparkan negara dengan penemuan rangka manusia prasejarah yang dianggarkan berusia antara 6000 – 8000 tahun di Gua Chawan, Lembah Nenggiri, Kelantan.

Rangka yang dipercayai milik seorang remaja perempuan ini dijumpai semasa kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi secara sistematik yang dijalankan sejak April 2017 oleh pasukan penyelidik dengan diketuai oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli. Usaha ini turut meraih kerjasama daripada beberapa pihak seperti:

  1. Kakitangan Bahagian
    Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN)
  2. dan penyelidik Jabatan
    Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pengumuman tentang
penemuan ini dibuat di Bangunan Sultan Abdul Samad dengan turut dihadiri oleh
beberapa individu penting seperti:

  1. Datuk Mohamaddin Ketapi,
    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
  2. Datuk Zainah Ibrahim,
    Ketua Pengarah/Pesuruhjaya Warisan ke Jabatan Warisan Negara.
  3. Datuk Md Anizam Ab
    Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan
    Pelancongan Kelantan.

Rangka dari zaman Mesolitik itu ditemui dalam kedalaman 1.5 meter dengan keadaan sempurna, lengkap dengan tengkorak, tulang pelvis, tulang belakang, tulang paha dan tulang rusuk. Sedikit berbeza dengan keadaan rangka Perak Man yang dijumpai dalam keadaan melipat daripada lutut sampai pada dagu seolah-olah bayi dalam kandungan, rangka remaja perempuan di Gua Chawan ini tidaklah berada dalam keadaan lipatan yang ketara.

Ujar Dr. Zuliskandar Ramli, rangka ini ditemukan dalam keadaan bahagian muka menghala ke arah utara manakala bahagian lutut pula menghala ke bahagian selatan di mana kedua-duanya dilapik dengan batu kapur. Keadaan sebegini mengisyaratkan berlakunya pembaharuan atau evolusi dalam kaedah pengebumian mayat pada waktu itu.

Merincikan
penemuan tersebut dengan lebih lanjut, Datuk Mohamaddin Ketapi dalam sidang
media mengatakan bahawa tangan kanan rangka itu memegang makanan berupa siput
dan alat memotong rumput. Turut terdapat di tapak sekitar rangka berkenaan batu
pengisar-penumbuk yang diletakkan di bahagian kaki, dipercayai sebagai alat
iringan atau ritual sesuai tradisi yang diamalkan oleh masyarakat pada waktu
itu.

Tambah Dr.
Zuliskandar Ramli lagi, mereka turut menemui rangka yang dipercayai tulang
burung dalam mulut rangka manusia tersebut, juga diyakini sebagai tradisi pada
masa itu. Perincian sebegini memberikan gambaran yang lebih jelas berbanding
sumber-sumber yang hanya menyenaraikan penemuan artifak lain secara umum
seperti alat litik, sisa makanan berupa tulang binatang, cengkerang siput (brutia
costula
) serta serpihan tembikar.


Antara alat yang ditemui bersama rangka manusia di Gua Chawan. Utusan

Sebelum berlakunya
penemuan ini, Gua Chawan sememangnya dikenali sebagai tempat penghasilan alat
batu zaman Hoabinhian hasil penyelidikan oleh B.A.V. Peacock pada tahun 1963
atau 1964 dan kajian lanjut oleh Adi Taha pada tahun 1993. Peacock berpendapat
bahawa Gua Chawan ini telah digunakan oleh masyarakat pemburu dan pengumpul
makanan nomadik di zaman Hoabinhian sebagai bengkel bagi membuat dan membentuk
alat-alat batu pebel.

Namun dengan
penemuan terkini, Dr. Zuliskandar malah menambah bahawa terdapat kemungkinan
peranan Gua Chawan jauh lebih signifikan berbanding itu di mana beliau
mendakwanya sebagai kawasan petempatan manusia pada zaman tersebut. Antara
faktor yang dikemukakan adalah lokasi gua itu sendiri yang selain berupaya
memberikan perlindungan, ia juga terletak berhampiran dengan sungai (1.5 km
dari Sungai Jenera).

Kiri: Kedudukan gua batu kapur di Hulu Kelantan. Kanan: Gua Chawan.

Sejak dijumpai
pada 2 November yang lalu, rangka manusia tersebut dibawa keluar dari Gua
Chawan pada 10 November sebelum menjalani kerja-kerja perekodan, pengambilan
sampel, pembersihan, pentarikhan, pencatuman, pengawalan kelembapan dan suhu
serta repositori. Memetik kata-kata Pembantu Muzium Kanan Bahagian Arkeologi
JWN, Khairil Amri Abdul Ghani, “Kerja-kerja terbabit dijangka akan mengambil
masa selama 60 hari untuk selesai.”

Sementara rangka
tersebut dibawa ke ibu negara untuk menjalani proses konservasi, sampel gigi
dan cengkerang siput yang turut ditemukan bersamanya pula dihantar ke Makmal
Beta di Amerika Syarikat untuk proses pentarikhan kronometrik.

Pembersihan dibuat ke atas rangka manusia yang ditemui di Gua Chawan. Bernama.

Untuk memberikan
penjelasan yang lebih terperinci berkenaan proses yang perlu dijalani oleh
rangka berkenaan, sesuai kiranya penulis mengambil petikan penerangan Khairil
Amri daripada Utusan secara kronologi:

  1. Perkara pertama yang
    dilakukan setelah pihak mereka menerima rangka tersebut adalah memisahkan
    tulang-tulang itu daripada tanah.
  2. Kemudian, proses cucian
    kering dengan menggunakan lidi dan berus dilakukan tanpa melibatkan sebarang
    bahan kimia bagi menentukan bahagian mana yang keras atau rapuh.
  3. Proses pengeringan
    menggunakan tisu.
  4. Mencantumkan segala
    bahagian tertentu dengan menggunakan gam khas.
  5. Proses identifikasi
    dilakukan, seperti mengenal pasti tulang pelvis dan tulang-tulang lain.
  6. Kemudian, rangka tersebut
    disusun secara menegak bagi memudahkan proses mengenal pasti tulang pada
    bahagian kiri atau kanan tubuh.
Pembantu Muzium Kanan Bahagian Arkeologi JWN, Khairil Amri Abdul Ghani membersihkan rangka manusia dengan menggunakan berus. Utusan.

Menjelaskan
signifikasi yang terkandung dalam penemuan ini, Datuk Mohamaddin Ketapi
berkata, “Penemuan rangka manusia prasejarah Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini
adalah penting bagi arkeologi negara kerana (ia) dapat memberi fakta baru
(tentang) amalan pengkebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di
Malaysia. Segala jumpaan di tapak ini cukup bermakna bagi merungkai budaya
masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sepanjang gugusan gua
kompleks batu kapur Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan.”

Sehubungan dengan
itu, Datuk Zainah Ismail mengumumkan bahawa Jabatan Warisan Negara dengan
kerjasama kerajaan negeri Kelantan akan memastikan penemuan tersebut dijadikan
bahan rujukan penting warisan negara serta dapat dipamerkan untuk tontonan
masyarakat. Untuk tujuan tersebut, beliau memaklumkan bahawa sebuah bangunan
warisan yang mempamerkan artifak-artifak itu akan dibangunkan di Gua Musang
pada tahun 2020 dan dijangka mengambil masa selama dua hingga empat tahun
sebelum dibuka kepada umum.

Hal ini merupakan
satu berita penting yang perlu diingati oleh kita semua dan rakyat Kelantan
secara khusus, kerana selain mengembangkan lagi pengetahuan tentang sejarah dan
budaya prasejarah setempat, ianya memiliki signifikasi-signifikasi lain
meliputi aspek perlancongan dan status Malaysia sebagai negara yang kaya dengan
sejarah.


Jika dilihat dari
sudut yang lebih luas, penemuan rangka remaja perempuan berusia 6000-8000 tahun
ini pada hakikatnya merupakan satu dari sekalian merit yang diraih oleh pasukan
penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam ekspedisi arkeologi di Gua
Chawan. Inshaallah jika berkesempatan, di masa akan datang penulis akan
berkongsikan penemuan-penemuan di Gua Chawan dengan lebih menyeluruh.

RUJUKAN

Bernama. (17
Disember 2018). Rangka manusia Mesolitik berusia 6000 tahun ditemui di Gua
Chawan, Kelantan.
http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1676250

Nailah Huda. (17
Disember 2018). Rangka remaja perempuan prasejarah dijumpai di Gua Chawan,
Kelantan. Astro Awani.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/rangka-remaja-perempuan-prasejarah-dijumpai-di-gua-chawan-kelantan-193756

PENEMUAN ARTIFAK DI TAPAK GUA CHAWAN, HULU KELANTAN (GALI
CARI FASA 1). (2019). Asian Journal of Environment, History and
Heritage
, 2(1), pp.171-178.
http://spaj.ukm.my/ajehh/index.php/ajehh/article/view/61

Sharaimei Shaik
Ahmedullah. (23 Disember 2018). Bongkar Penemuan Zaman Prasejarah Di Gua
Chawan. Utusan Online.
https://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/bongkar-penemuan-zaman-prasejarah-di-gua-chawan-1.809467

Syalikha Sazili.
(18 Disember 2018). Rangka remaja 8000 tahun. Harian Metro.
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/12/404249/rangka-remaja-8000-tahun-metrotv

The post Rangka Remaja Perempuan Berusia 6000 Tahun Ditemui Di Malaysia! appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots