Tun Mahathir Melayu Bukan Hamba British!

1. Dengan rendah hati, saya ingin menempelak tuduhan demi
tuduhan Tun Mahathir yang dilemparkan ke atas bangsa Melayu. Tun Mahathir
bermain dengan falasi sejarah yang asyik diulang berulang kali. Melayu pemalas,
Melayu pemalas dan Melayu pemalas. Lebih menyedihkan, Tun Mahathir yang konon
didabik sebagai “ultra-Melayu” mengulangi penipuan British dan Penjajah mengatakan
Melayu pemalas. Bahkan, dengan tidak tahu malu, Tun M sendiri mengulangi hujah
mereka.

2.  Apa kata Tun M?
Tun dipetik mengulangi contoh bahawa Melayu pemalas kerana tidak mahu bekerja
di ladang-ladang dan juga lombong bijih timah. Pertama, sebab musabab kenapa
orang Melayu tidak mahu bekerja di situ ialah kerana betapa sesungguhnya itu
semua dimiliki oleh British. Buat apa Melayu nak jadi hamba kepada British,
menjadi hamba kepada penjajah apabila keuntungan daripada ladang dan bijih
timah itu dibawa balik ke negara mereka?

3. Jadi, oleh kerana kenganan orang Melayu mahu menjadi hamba kepada British, maka British terpaksa membawa orang Cina dan India dari dua negara ini kerana keenganan orang Melayu menjilat “tuan”. Sebab itu ada dalam catatan British sendiri menceritakan sikap orang Melayu seperti di bawah oleh pegawai tentera laut British, Kapten Sherard Osborn yang menyatakan:

‘Seperti
anjing, orang-orang tempatan di pesisir Semenanjung India menjilat tangan yang
mendera mereka; tetapi tidak untuk orang Melayu; dan kita orang-orang Inggeris
harus menjadi bangsa yang pertama memberi penghormatan kepada sebuah bangsa
yang tidak sewenang-wenangnya tunduk kepada penjajahan dan penindasan’.

Ini sudah cukup untuk mengambarkan betapa orang Melayu melawan penjajah
bukan sahaja dengan mengangkat senjata, tetapi juga melawan penjajah dengan
enggan menjadi kuli dan hamba kepada setiap kerja mereka.

4. Lagipun kualiti hidup sebagai buruh sangat mendukacitakan. Buruh dan
pekerja ladang dikatakan hidup dalam keadaan menyedihkan. Peratusan kematian
dikalangan mereka meningkat kepada 30 peratus! Penyakit kerana kekurangan zat
seperti beri-beri menular dikalangan buruh yang datang ke Tanah Melayu. Bayaran
yang diterima, nasib sebagai buruh tidak setimpal dengan kehidupan orang Melayu
sebelum kedatangan penjajah yang lebih baik. Buat apa orang Melayu nak jatuhkan
kualiti hidup mereka yang dimiliki sebelum penjajah datang dengan sewaktu
penjaja datang?

5. Apakah orang Melayu perlu menjadi seperti buruh cina dan india yang
dahlah kuarters tempat tinggal yang disediakan penjajah daif, bayaran tak
setimpal, penyakit menular dan kadar kematian mencecah 30 peratus baru dikira
orang Melayu tidak pemalas? Inilah sama seperti Tun Mahathir menyuruh orang
Melayu menjadi rajin seperti bangsa Jepun, atau nanti dilabel sebagai pemalas.
Pemalas yang bagaimana? Apa orang Melayu perlu mati seperti mana rakyat Jepun
kerana bekerja 24 jam baru dipanggil sebagai bangsa yang rajin?

6. Satu statistik dari Januari 2010 hingga Mac 2015 mendedahkan 368 kes
bunuh diri (352 lelaki, 16 wanita) berpunca dari kes karoshi. Dalam satu
kajian, lebih suku pekerja mengakui mereka bekerja lebih masa 80 jam setiap
bulan tanpa menerima sebarang bayaran. Sementara 12% pekerja pula mengakui
mereka bekerja lebih 100 jam setiap bulan. Apakah bila orang Melayu bekerja
seperti orang Jepun seperti mana yang didedahkan di atas barulah mereka tidak
dipanggil pemalas seperti mana yang didabik oleh Tun?


7. Tahukah anda wahai PM ke-4 kesayangan kami, betapa sebenarnya
kualiti hidup buruh itu sangatlah menyedihkan sehinggakan buruh-buruh India
yang bekerja di India di bawah British akhirnya melakukan pemberontakan dalam
pemberontakan Pemberontakan Sepoi sehinggakan mengakibatkan kehilangan 800 ribu
orang nyawa?

8. Bayangkan kedatangan British telah membuatkan kehidupan orang Melayu
sebagai pedagang dan peniaga terganggu sehingga akhirnya pada hujung abad
penjajah British, kelas Melayu pedagang telah hampir tidak wujud di Tanah
Melayu? Tahukah anda pada penghujung penjajahan British juga, dek kerana
terhapusnya kelas pedagang dan peniaga di kalangan orang Melayu, membuatkan
ilmu pembuatan kapal-kapal Melayu pun hampir hilang ditelan dek zaman?

9. Cuba Tun M pergi ke negeri-negeri Melayu yang jauh sikit dari
capaian British, dan lebih banyak dibawah naungan Siam seperti Kelantan dan
Terengganu. Apakah Tun M dapat melihat kebudayaan meniaga dan berdagang orang
Melayu masih kukuh lagi di sana berbanding dengan negeri-negeri lain yang
dicengkam oleh British dengan cukup kukuh? Apakah Tun M merasakan British akan
membenarkan orang Melayu menjadi peniaga dan pedagang kerana ini akan menaikkan
kualiti hidup dan taraf pendidikan akan meningkat, sekaligus memberi kesedaran
untuk mereka melawan penjajah?

10. Cuba Tun M perhatikan kenapa catatan-catatan awal Eropah mengenai
orang Melayu sebelum British mencengkam penjajahannya ke atas kita adalah
mengenai kehebatan orang Melayu membangunkan tamadun, kehebatan orang Melayu
berlayar dan berdagang, mengenai pelabuhannya terkaya dunia, atau mengenai
bahasanya menjadi Lingua Franca. Kenapa hanya pada penghujung penjajahan
British ke atas Tanah Melayu barulah keluar laungan Melayu Pemalas dari
British?

11. Analoginya mudah. Apakah hari ini anak Tun M yang jadi bilionair
kaya raya, cucu Tun M yang hidup di atas dulang emas seperti mana yang
dipaparkan di IG dan Twitter mereka, sanggup melakukan kerja buruh membina
bangunan dan juga kerja setaraf yang lain? Saya berani kerat jari saya kalau
mereka memilih kerja itu. Yalah, dah lahir kaya raya dengan kualiti hidup yang
hebat, kenapa mereka harus jatuhkan kualiti hidup itu? Lagi-lagi untuk orang Melayu
yang tidak nampak significant bekerja untuk penjajah!

12. Wahai Tun Mahathir, berhentilah daripada mendendangkan retorik
penjajah dalam menjatuhkan jati diri bangsa ini. Orang Melayu telah terbukti
sebagai bangsa bukan pemalas melalui ketamadunan yang didirikan oleh mereka
sepanjang zaman. Dan orang Melayu hari ini masih lagi mencipta keagungan di
tanah air ini. Saya tiba-tiba pelik, entah kenapa orang tua disekeliling saya
memanggil Tun dengan panggilan seorang pejuang Melayu, tetapi dari kaca mata
anak muda berusia 26 tahun yang tidak sempat hidup lama di bawah pemerintahan
Tun dulu, melihat Tun hanyalah kelahiran semula penjajah British yang
mengulangi retorik mereka? Di mana Melayu-nya seorang pemimpin yang mengulangi
fitnah orientalis ini?

Tepuk dada tanya selera.

The post Tun Mahathir Melayu Bukan Hamba British! appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots