Apabila Bangsa Minoriti Angkat Kaki Dan Keluar Negara

Himpunlah mangsa-mangsa rogol di
seantero dunia dan tengok sebelah mata pun sudah tahu pelakunya British.

Berikut
merupakan pepatah yang benar walaupun sangat kesat. Tidak melampau untuk menyimpulkan
pepatah sedemikian sebagai rumusan bagi zaman kolonialisme. Dari abad ke-16
sehingga Perang Dunia Kedua, banyak empayar telah menjalinkan konflik bagaikan
perang saraf untuk bersaing demi perdagangan. Antara empayar yang paling teruk
mengerjakan negara-negara jajahan ialah British.

Seperti
parasit yang fitrahnya rosak lagi merosakkan, tiada kebaikan yang terhasil
ketika kerja-kerja British semasa penjajahan pra-Perang Dunia Kedua. Malaysia
merupakan salah satu mangsa kezaliman imigrasi British. Bayangkanlah pengaruh
pendatang ini telah memaksa warga-warga tempatan untuk menerima kedatangan Cina
dan India. Rata-rata mereka tidak fasih pun dalam bahasa Melayu. Namun jelas
sekali, sinergi yang dimainkan tiga kaum ini walaupun terdapat cucuk cubit
antarakaum merupkan semangat kesatuan yang besar.

Tiada
negara yang bebas daripada masalah perkauman, terutamanya apabila minoriti
lantang bersuara untuk tidak bersetuju. Sungguhpun normal, masalah perkauman
jika dibiarkan akan menjadi parah. Salah satu kenyataan pedas yang kerap
dilampiaskan ialah balik negara asal.
Apabila didengari seruan tersebut, harus difahamkan bahawa semua negara sama.

Go Back Where You Came From” merupakan
penghinaan yang sering disebut di Amerika Syarikat. Sasaran utama ialah
golongan pendatang ataupun warga-warga tempatan minoriti yang dianggap
pendatang (haram). Dimulakan seawal 1798 lagi, yang mana kerajaan Amerika
Syarikat melancarkan satu demi satu undang-undang seperti Akta-Akta Pendatang
dan Hasutan yang bertujuan untuk menyusahkan kemasukan warganegara baru – pada
masa sama memudahkan pengusiran (Dwyer, 2019). Donald Trump sendiri pernah
menghina ahli-ahli Kongres seperti Ilhan Omar, Rashida Tlaib, Alexandria
Ocasio-Cortez dan Ayanna Pressley, masing-masing “women of color” supaya balik negara asal

Itulah
lumrah kemajmukan dalam kalangan masyarakat. Tetapi situasi balik negara asal sebenarnya pernah
berlaku dan sangat sesuai untuk dijadikan iktibar oleh semua. Jika kesannya
berlingkaran sekadar lafaz seperti Amerika Syarikat, masalah takkan timbul.
Namun jika dasar kerajaan memuktamadkan pengusiran minoriti, contoh paling
dekat boleh semua ambil sebagai iktibar ialah Uganda semasa dibawah seorang
diktator.

Balik Negara Asal

Idi Amin berkuasa di Uganda hanya selama lapan tahun sahaja. Namun kesannya sangat meluas sampai ekonomi republik tersebut telahpun lumpuh. Dan benih kepada pokok masalah sebenarnya disemai oleh tidak lain tidak bukan British sendiri.

Dibawah politik imperialismelah besarnya Idi Amin, jelas dan nyata menyaksikan kedatangan bangsa- bangsa Asia Tengah (India, Bangladesh, Pakistan dsb) secara besar-besaran sebagai penampan antara golongan Eropah dan Afrika.


Seramai
32,000 bangsa India sahaja dibawa masuk untuk menyiapkan Keretapi Uganda semasa
wilayah tersebut dimandatkan dasar pecah perintah. Sebahagian kecil daripada
angka besar ini bermastautin terus.

Pada awal 1970-an, bangsa India hanyalah 1% sahaja. Tetapi Idi Amin telah menggajahkan semut ini sambil menggelar mereka sebagai “dukawallas (bagaikan paria) yang hanya menjaga keluarga sendiri sambil menipu dalam perniagaan”.

Pada masa yang sama, bangsa India Uganda juga menunjukkan sifat besar kepala (superiority) dan memandang rendah terhadap kebolehupayaan warga-warga Afrika. Senang kata di Uganda, bangsa India berasa diri lebih bagus sambil memperlekehkan golongan Afrika.

Dan 4 Ogos 1972 menyaksikan perintah pengusiran 90 hari terhadap semua 80,000 bangsa India. Hujah Idi Amin cenderung ke arah konservatisme bahawa beliau hanya sedang memulangkan Uganda kembali kepada etnik asalnya. Nasib minoriti India ini seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas British yang telahpun mengakhiri penjajahan 10 tahun sebelumnya. Lima hari kemudian, Idi Amin turut menghalau etnik Bangladesh dan Pakistan juga.

Pengusiran
sedemikian takkan ada sebarang masalah yang besar jika rakyat Afrika memegang
saham terbesar dalam pasaran. Bangsa minoriti walaupun sedikit tetapi
menyumbang sebanyak 65% dalam percukaian negara menerusi perniagaan dan
pendapatan mereka. Secara keseluruhan, hampir 6,000 syarikat dan ladang
dirampas Idi Amin tanpa sebarang pampasan. Pelarian pun terpaksa keluar dalam
keadaan sehelai sepinggang, bertaburan di beberapa negara mencari perlindungan.

Sementara
itu di Uganda, keringat-keringat mereka selama ini diagihkan secara semberono.
Kereta, rumah dan barang rumah diedarkan kepada golonga berkepentingan. Dan
pihak paling untung ialah GLC Syarikat Pembangunan Uganda yang menguasai
syarikat-syarikat besar. Tetapi kemasukan identiti-identiti baharu dalam
syarikat ini tanpa pengstrukturan sempurna akhirnya membawa padah.

Ekonomi
Uganda mula merudum, oleh kerana pengurus yang diamanahkan tanggungjawab tidak
berkemahiran tinggi mahupun berpengalaman untuk melaksanakan perniagaan. Dan
pada tahun 1987, selepas Idi Amin digulingkan, ekonomi Uganda merupakan antara
yang paling teruk di seluruh Afrika.

Kuman Yang Memang Gajah

Bangsa Asia yang berada di Uganda pada hari ini hanya 15,000 orang sahaja. Tetapi merekalah berkuasa keatas bank dan hotel. Merekalah mengeluarkan sabun, basikal, barang kemas dan tisu. Merekalah yang menjual ubat, insuran dan gula.

Antara penguasa kewangan ialah Sudhir Ruparelia yang merupakan kanak-kanak ketika Idi Amin mengusir keluarganya. Tetapi Sudhir kekal di Uganda dan hari ini memiliki kelab, hotel dan bangunan, termasuk juga sekolah antarabangsa, bank dan ladang bunga. Dibawah rangkaiannya ialah bangsa tempatan dan campuran Afro-India.


Walaupun
15,000 orang, 35% daripada ekonomi Uganda dikuasai mereka. Jika dahulu semasa
membina jambatan dan landasan, bangsa India berdepan dengan taring singa –
mereka telah masuk ke dalam taring Idi Amin. Namun kekalnya mereka pada hari
ini menunjukkan sesuatu perkara yang luar biasa bagi mereka.

Apa yang
Idi Amin enggan terima ialah penguasaan India ke atas ekonomi. Apabila mereka
diusir, rak-rak di kedai terus kosong dan inflasi terus menaik. Harga pun naik
secara mengejut dengan pengganti tidak berupaya untuk mengekalkan momentum.
Sekurang-kurangnya kerajaan semasa mengamalkan dasar mesra perniagaan sambil
mencari pelaburan daripada sesiapa sahaja tanpa mengira asal usul.

Untuk
meyakinkan bangsa India Uganda, mereka memulakan dengan pemulangan harta yang
disita tanpa belas ihsan semasa dibawah Idi Amin.

RUJUKAN:

‘Go Back Where You Came From’: The Long Rhetorical Roots Of Trump’s Racist https://www.npr.org/2019/07/15/741827580/go-back-where-you-came-from-the-long-rhetorical-roots-of-trump-s-racist-tweets

Once Outcasts, Asians Again Drive Uganda’s Economy. https://www.nytimes.com/2003/08/17/world/once-outcasts-asians-again-drive-uganda-s-economy.html

SA Can Learn From Uganda’s Dire History of Expropriation Without Compensation. https://www.ibtimes.com/uganda-forty-years-after-idi-amin-expelled-asians-739228

Uganda: Forty Years After Idi Amin Expelled Asians. https://www.ibtimes.com/uganda-forty-years-after-idi-amin-expelled-asians-739228

The post Apabila Bangsa Minoriti Angkat Kaki Dan Keluar Negara appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots