Pemberontakan Tani Yang Terkenal Di Terengganu

Ini adalah kisah penentangan rakyat di Hulu Terengganu yang tercetus akibat pertembungan antara nilai-nilai baru yang dibawa masuk oleh penjajah British dengan adat serta nilai-nilai tempatan yang telah sebati dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Kebangkitan ini adalah kemuncak kepada rasa ketidakpuasan hati rakyat Terengganu terhadap tindakan yang dilakukan oleh penjajah British dan perlaksanaan undang-undang baru terhadap rakyat. Penentangan ini dianggap antara kebangkitan yang diingati dalam sejarah Terengganu kerana ia telah dipimpin oleh ramai tokoh agama ketika itu, dan

Kebangkitan 1928 ini telah diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong, iaitu seorang ahli agama yang begitu dihormati dan disegani di Terengganu pada waktu itu. Artikel ini akan membawa kita kembali ke lebih 90 tahun yang lalu, dan mengenang semula perjuangan anak Terengganu dalam mempertahankan negeri mereka.

Pentadbiran Terengganu Sebelum Kedatangan
British

Sebelum berlakunya campur tangan pihak British terhadap kerajaan dan pentabiran Terengganu, kuasa tertinggi bagi negeri adalah Sultan, yang dibantu oleh Jemaah Menteri, para pembesar negeri serta Majlis Mesyuarat Negeri.

Ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, baginda telah dibantu oleh pembesar negeri. Ahli dalam Majlis Mesyuarat Negeri adalah tidak tetap, dan uniknya, persidangan lazimnya berlangsung pada waktu malam dan mesyuarat negeri ini akan dipengerusikan sendiri oleh Sultan. Secara keseluruhannya, pentadbiran negeri ini adalah berasaskan kepada ajaran agama Islam.

Corak pentadbiran negeri Terengganu pada
waktu itu adalah mementingkan kepentingan rakyat negeri. Kerajaan Terengganu
tidak mengambil hasil atau mengenakan cukai ke atas tanah negeri yang diduduki
atau diambil terus oleh rakyat Terengganu. Malah, kerajaan negeri juga tidak
mengenakan cukai terhadap hasil tanaman atau tanah hutan, dan cukai hanya akan
dikenakan apabila hasil tanaman tersebut dieksport. Para pembeli dan pemilik
tanah baru akan memiliki surat hakmilik yang telah mendapat perkenan Sultan dan
surat ini hanya sah apabila cap rasmi Sultan telah diturun di atasnya.

Kebanyakan penduduk Terengganu pada zaman itu bekerja sebagai petani dan mengusahakan pelbagai tanaman. Antaranya ialah tanaman padi sawah, tenggala dan huma. Namun, hasil tani padi ini kebiasaannya hanya mencukupi bagi menampung keperluan bagi keluarga petani sahaja dan kekurangan berasa dalam negeri ditangani dengan import beras dari Kelantan dan Siam.

Bagi urusan perniagaan, istimewanya Terengganu kerana selain daripada menggunakan duit Negeri-Negeri Selat, negeri Terengganu juga menggunakan matawang sendiri yang dinamakan pitis. Pitis Terengganu ini diperbuat daripada campuran plumbum dan timah yang dipajakkan kepada masyarakat Cina tempatan.

Campur Tangan British di Terengganu

Meskipun British telah mencuba sedaya upaya untuk memperluaskan pengaruhnya terhadap Terengganu, namun Terengganu dengan tegas telah menolak semua perjanjian yang ditandatangi antara British dengan Siam yang mengakui bahawa negeri Terengganu berada di bawah naungan Siam.

Malah, Sultan Zainal Abidin III juga telah menolak usul Frank Swettenham yang datang ke Terengganu bagi mendapatkan pengesahan bagi Perjanjian 1902. Ini menunjukkan bahawa Sultan Zainal Abidin III sedar bahawa negeri baginda ini adalah bebas dan tidak berada di bawah naungan kerajaan Siam.


Pada sekitar Julai 1909, rombongan yang
terdiri daripada W.L. Conlay (Penasihat British yang dilantik untuk berada di
Terengganu), J.S. Mason (Penasihat British Kelantan) dan Phya Rajvinichai
(wakil Siam untuk berunding dengan Terengganu) tiba di Terengganu bagi
menghadap Sultan Zainal Abidin III. Tujuan rombongan ini adalah untuk
menyerahkan surat yang menyatakan bahawa Kerajaan Siam telah menyerahkan
kedaulatan Terengganu kepada pihak British.

Sultan Zainal Abidin III telah naik murka dengan kandungan surat berkenaan dan menolak sebarang kehadiran wakil British ke Terengganu. Baginda menyatakan bahawa, meskipun Terengganu ada menghantar bunga emas kepada Siam, namun tidak ada seorang pun Residen Siam di Terengganu.

Dan dengan itu jugalah, tiada sebarang alasan untuk baginda menerima kedatangan wakil British untuk menjadi Penasihat di Terengganu. Rombongan W.L. Conlay ini telah gagal untuk mendapatkan persetujuan dan pengiktirafan daripada Sultan Zainal Abidin III mengenai penyerahan kedaulatan Terengganu.

Selepas peristiwa ini, terdapat beberapa lagi siri perbincangan antara Sultan Zainal Abidin III dan W.L. Conlay berkaitan dengan perjanjian baharu dan syarat-syarat yang dikenakan ke atas British bagi Terengganu menerima kehadiran pegawai British dan kuasa yang akan mereka miliki.

Terengganu akhirnya telah menandatangani perjanjian dengan pihak British pada April 1910, dan Terengganu menerima kehadiran Ejen British. Tugas Ejen British ini adalah seperti konsul, namun beliau tidak boleh melibatkan diri dalam hal pentadbiran negeri.

Pada tahun 1911, bagi menunjukkan kedaulatan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III telah mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang menyatakan bahawa kuasa tertinggi dalam negeri adalah Sultan.

Walaupun telah berjaya menempatkan Ejen
British di Terengganu, namun pihak British masih tidak berpuas hati kerana
mereka tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran negeri. British telah menubuhkan
sebuah suruhanjaya untuk menyiasat perjalanan pentadbiran beberapa buah pejabat
di Terengganu. Tujuannya adalah untuk mencari kelemahan yang ada dalam
Terengganu dan menjadi senjata untuk mereka berkuasa dalam pentadbiran negeri.

Dalam satu insiden yang melibatkan kes rogol
di Terengganu, sebuah suruhanjaya penyiasat telah ditubuhkan bagi menyiasat
Pentadbiran Daerah Kemaman, Pentadbiran Penjara dan Kematian Orang-Orang Salah
Dalam Penjara serta Tindakan Polis dan Mahkamah Terengganu terhadap kes
tersebut. Suruhanjaya ini telah mendapat kebenaran Sultan Zainal Abidin III
untuk menjalankan siasatan.

Beberapa siri siasatan telah dijalankan di
pejabat-pejabat pentadbiran yang berkaitan dengan kes berkenaan. Dalam laporan
Suruhanjaya ini, mereka membuat beberapa kesimpulan penting. Antaranya ialah
pentadbiran dalam negeri Terengganu yang tidak cekap dan bidang tugas Ejen
British yang tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran negeri. Malah, Suruhanjaya
ini juga mengakui bahawa setiap nasihat yang diberikan oleh kerajaan British
melalui pegawaunya harus diikuti oleh kerajaan negeri Terengganu.

Pada November 1918, Sultan Zainal Abidin III
telah mangkat dan baginda telah digantikan oleh Tengku Muhammad dengan gelaran
Sultan Muhammad. Akhirnya pada Mei 1919, di bawah pemerintahan Sultan Muhammad
ini, Terengganu telah menandatangani perjanjian dengan pihak British dan
menerima kehadiran Penasihat British. Pihak kerajaan British berjaya campur
tangan dalam urusan pentadbiran negeri Terengganu dan Sultan terpaksa meminta
nasihat daripada Penasihat British dalam semua perkara, kecuali yang berkaitan
dengan adat Melayu dan agama Islam.

Dengan adanya campur tangan daripada pihak British dalam pentadbiran negeri ini, segala urusan pentadbiran negeri akan dikemukakan oleh Penasihat British dan Pesuruhjaya Tanah dan akan diajukan kepada Setiausaha Kerajaan untuk tindakan.

Cadangan ini seterusnya akan dikemukakan oleh Setiausaha Kerajaan kepada Menteri Besar. Pihak British juga telah memperkenalkan banyak peraturan baru dalam pentadbiran negeri, yang akhirnya memulakan bibit-bibit penentangan daripada rakyat, terutamanya daripada penduduk Hulu Terengganu.


Kronologi Penentangan Rakyat

Terdapat tiga fasa peraturan baru yang telah diperkenalkan oleh British, iaitu Peraturan Baru pada sekitar tahun 1919 hingga 1922, Peraturan Baru pada tahun 1923 hingga 1925 dan Peraturan Baru pada tahun 1926 hingga 1928.

Dalam Peraturan Baru yang diperkenalkan antara tahun 1919 hingga 1922, British telah memperkenalkan peraturan melarang penduduk Terengganu membuka tanah, menebas hutan dan mengambil kayu hutan tanpa surat kebenaran. Surat kebenaran ini boleh didapati secara percuma daripada pejabat kerajaan.

Namun, ia sebenarnya menyusahkan dan menyukarkan penduduk kampung, terutamanya yang tinggal di kawasan terpencil. Malah, peraturan ini juga adalah bercanggah dengan peraturan Terengganu sebelumnya yang tidak menghalang penduduk untuk membuka tanah dan mengambil hasilnya.

Pada tahun 1921, pindaan terhadap peraturan
hasil tanah telah dilaksanakan. Peraturan ini yang dinamakan Peraturan Baru
Bagi Mengambil Hasil Tanah telah menyebabkan penduduk Telemong, Hulu Terengganu
tidak berpuas hati. Tengku Seri Utama Raja, iaitu saudara ipar kepada Sultan
Badrul Alam Shah telah terlibat dalam menggalakkan rakyat untuk bangkit
menentang peraturan baru ini. 

Pada sekitar Jun 1924, Pesuruhjaya Tanah
telah membuat cadangan kepada Setiausaha Kerajaan untuk menarik balik Cop Kuasa
yang membenarkan seseorang untuk berkuasa ke atas sesuatu kawasan tanah yang
tertentu. Orang yang memiliki Cop Kuasa ini mempunyai kuasa untuk mengarahkan
sesiapa sahaja dari kalangan rakyat Terengganu untuk mengerjakan tanah itu.
Oleh itu, tindakan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam
kalangan mereka yang telah lama memegang Cop Kuasa tersebut dan mengurangkan
kuasa mereka.

Selain itu, Undang-Undang Penempatan turut
diperkenalkan. Undang-undang baru ini mewajibkan rakyat untuk membayar hasil
tanah, mengambil pas untuk menjalankan kerja membuka tanah baru, mengambil kayu
atau hasil hutan. Dalam hal ini, penduduk Telemong telah berdegil dan tidak
mematuhi peraturan baru yang telah ditetapkan. Kerajaan British kemudiannya
melantik seorang Penghulu di Sungai Telemong bagi menjaga keamanan dan
menangkap mereka yang melanggar undang-undang.

Penentangan 1922

Kerajaan British telah mengambil tindakan
terhadap sekumpulan penduduk Telemong yang telah menebang dan membersihkan
hutan tanpa surat kebenaran. Mereka telah dihadapkan ke Mahkamah dan
dibicarakan. Dalam insiden ini, Haji Abdul Rahman Limbong telah memohon
kebenaran daripada kerajaan untuk menjadi wakil bagi petani yang dituduh di
dalam perbicaraan tersebut.

Hakim yang membicarakan kes ini merupakan anak murid kepada Haji Abdul Rahman Limbong. Dalam perbicaraan ini, Haji Abdul Rahman Limbong telah berhujah dan menyatakan bahawa tanah itu adalah milik Allah dan pihak negeri tidak mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atasnya.

Hakim meminta pihak Renjer/Pengawal Hutan untuk membuktikan bahawa tanah itu adalah milik negeri, namun ia tidak dapat membuktikannya. Akhirnya, perbicaraan ini telah memberi kemenangan buat Haji Abdul Rahman Limbong. British membuat permohonan untuk rayuan terhadap kes ini.


Penglibatan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai
wakil petani dalam perbicaraan ini telah membimbangkan pihak British, kerana
sokongan kuat yang diberikan oleh para 
penduduk. Pihak British mahu Haji Abdul Rahman Limbong untuk disiasat
sebelum perbicaraan berlangsung. Pada November 1922, seorang mata-mata telah
dihantar untuk menjemput beliau datang ke pejabat bagi menyiasat mereka yang
terlibat dalam perbicaraan. Namun, Haji Abdul Rahman Limbong menolak jemputan
ini.

Pegawai British yang datang ke rumahnya, A.
Cheers menyatakan bahawa jika beliau enggan, maka dia akan menangkap beliau.
Haji Abdul Rahman Limbong bangun bersilat dan menyebabkan A. Cheers semakin
marah dan cuba menangkapnya. Namun, tindakannya dihalang oleh Sub Inspektor
Sayyid Harun yang tidak ingin sebarang pertumpahan darah berlaku jika dia cuba
menangkapnya.

Setelah pelbagai cara gagal dilakukan bagi
mendakwa Haji Abdul Rahman Limbong, akhirnya British cuba untuk menyaman beliau
melalui Sheikhul Islam (Ketua Jabatan Agama). Haji Abdul Rahman Limbong hadir
dalam pertemuan tersebut, dan beliau menafikan tuduhan yang menyatakan bahawa
beliau mengarahkan penduduk untuk datang beramai-ramai bagi menghadiri
perbicaraan. Siasatan demi siasatan dilakukan, hinggalah ia ditangguhkan dan
Haji Abdul Rahman Limbong diberi amaran supaya menggunakan pengaruhnya untuk
menyekat orang ramai daripada hadir ke mahkamah untuk kes rayuan tersebut.

Bagi memenangi kes ini, British melakukan pelbagai cara. Antaranya ialah dengan menghalang Haji Abdul Rahman Limbong daripada menjadi wakil petani dalam perbicaraan itu. Syor untuk menarik balik Lesen Wakil yang diberi kepada beliau telah dibuat.

Pada November 1922, Lesen Wakilnya telah dibatalkan dengan alasan tugas kerajaan adalah untuk mengelakkan kekacauan dalam kalangan penduduk, dan Haji Abdul Rahman Limbong tidak dibenarkan lagi menghadiri perbicaraan di mahkamah. Haji Abdul Rahman Limbong tidak membantah keputusan tersebut, dan menjelaskan bahawa penglibatannya adalah bagi membantu penduduk yang tertindas.  

Penentangan 1925

Pada Mei 1925, berlaku suatu peristiwa di Telemong yang membabitkan penduduk kampung yang mana sekitar 300 hingga 500 orang penduduk keluar untuk membersihkan tanah Tengku Nik Maimunah. Beliau merupakan saudara kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Surat kerahan untuk sama-sama turun ini dinyatakan telah ditulis oleh Tengku Nik dan Haji Abdul Rahman Limbong.

Namun sebenarnya surat ini telah ditulis dan diedarkan oleh Wok bin Mamat. Nama Haji Abdul Rahman Limbong telah digunakan bagi penduduk mematuhi arahan tersebut. Malah, ada seorang wakil daripada Haji Abdul Rahman Limbong yang turut serta dalam pembersihan ini untuk mengawal penduduk kampung.

Apa yang terjadi di Telemong ini sebenarnya bukanlah suatu pemberontakan, dan penduduk kampung yang keluar ketika itu hanyalah untuk membersihkan tanah tersebut yang akan digunakan untuk bercucuk tanam.

Namun, ia dilihat seperti melawan pihak kerajaan kerana mereka membersihkan tanah tersebut tanpa kebenaran daripada pihak kerajaan.  Khabar angin mula tersebar yang menyatakan bahawa perhimpunan ini adalah permulaan kepada penentangan terhadap peraturan yang dikenakan oleh British.

Khabar angin akhirnya didengari oleh pihak British , dan Haji Abdul Rahman Limbong disyaki bertanggungjawab mengumpulkan penduduk tersebut. Setelah beberapa lama, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mengeluarkan perintah agar penduduk yang berkumpul untuk bersurai. Arahan ini telah dipatuhi oleh mereka.

Pihak British menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan adalah salah dan Haji Abdul Rahman Limbong telah dilarang memanggil atau memerintahkan rakyat untuk melakukan sebarang kerja bagi Tengku Nik Maimunah kerana ia belum diputuskan menjadi hakmiliknya.


Penentangan Tani 1928

British terus menerus mencari jalan untuk menghalang sokongan penduduk kampung terhadap Haji Abdul Rahman. Dalalm satu perbicaraan pada sekitar Mac 1928, Haji Abdul Rahman Limbong didapati bersalah dalam memberi arahan kepada penduduk kampung untuk membersihkan tanah dan bercucuk tanam.

Haji Abdul Rahman Limbong telah membayar kesemua denda yang dikenakan pada April 1928, dan 30 orang penduduk telah dilepaskan tanpa sebarang tindakan. Tindakannya ini telah menyelamatkan orang-orang kampung daripada dipenjarakan di Kuala Terengganu.

Satu kebangkitan besar akibat rasa
ketidakpuasan hati penduduk telah berlaku pada Mei 1928. Pada sekitar 20 April
1928, Pengawal Hutan yang ditemani Penolong Penghulu telah datang ke Kampung
Pasir Nyior untuk menyiasat penduduk kampung yang menebang hutan tanpa
kebenaran. Setibanya di rumah Penghulu Pasir Nyior, mereka mendapati bahawa
terdapat lebih 500 orang penduduk telah berkumpul yang lengkap bersenjata golok
panjang, keris dan lembing sambil menyebut perkataan sabil.

Hal ini telah disampaikan kepada Penasihat
British, dan pegawai Melayu telah diarahkan untuk menyelesaikannya. Penasihat British
menuduh dan mengesyaki bahawa tindakan ini diarahkan oleh Haji Abdul Rahman
Limbong dan Persatuan Sulit dalam masyarakat kampung. Namun, sebenarnya apa
yang berlaku, sokongan yang diberikan oleh penduduk kampung terhadap seruan
Haji Abdul Rahman Limbong adalah akibat rasa sakit hati dan marah mereka
terhadap apa yang dilakukan oleh pihak British.

Pada  21 April 1928, seorang mata-mata telah diperintahkan oleh seorang Sarjan untuk menghantar waran ke Kampung Kuala Menjing dan Penih. Mereka akhirnya bertemu dengan dua orang penduduk, iaitu Abdullah Jurukaka dan Lebai Hassan bin Mahmud di sebuah kawasan bangsal.

Kedua-dua mereka terus bangkit, naik marah apabila melihat kedatangan mata-mata tersebut, sambil mencabut pisau dan keris dan menerkam ke arahnya. Tidak lama kemudian, datang pula hampir 200 orang kampung berteriak dan melaung agar dibunuh semua orang yang menyebelahi pihak kafir, iaitu pihak British. Kedatangan mereka menyebabkan mata-mata tersebut bersama dua lagi orang bersamanya berundur dan meninggalkan tempat itu.

Siasatan demi siasatan dijalankan, dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah memerintahkan Dato’ Lela dan Tengku Nara Wangsa ke Kuala Berang untuk menyiasat kumpulan gerakan di Kuala Berang ini. Apa yang menarik mengenai gerakan di Kuala Berang ini adalah dalam setiap kampung, terdapat ketua kumpulan mereka yang tersendiri.

Antaranya ketua kumpulan tersebut ialah Penghulu Salleh bagi Kampung Pasir Nyior, Abdullah Jurukaka dan Lebai Hassan bin Mahmud bagi Kampung Kuala Menjing, Bilal Sulaiman bin Deraman bagi Kampung Hulu Penih, Mat Tuk Pitas bagi Kampung Chinting, Encik Deraman bin Haji Dayd bagi Kampung Dalam Sungai Berang, Penghulu Ali Bakar bagi Kampung Kuala Mia dan Haji Tahir Mat Din bagi Kampung Menerong hingga ke hulu.

Pada 4 Mei 1928, para ketua kumpulan ini, antaranya Penghulu Salleh, Mat Tuk Pitas, Abdullah Jurukaka dan Encik Deraman bin Haji Daud telah datang menemui Haji Abdul Rahman Limbong dan Sayyid Sagof bagi mendapatkan nasihat daripada mereka.

Dalam pertemuan ini, kedua-dua mereka telah memberi jaminan kepada para ketua kumpulan gerakan untuk melindungi dan membantu penduduk kampung di Hulu Terengganu atas nama saudara sesama Islam. Namun, para penduduk kampung serta ketua tersebut diingatkan untuk tidak menggunakan nama Haji Abdul Rahman Limbong dengan sewenangnya dalam apa yang mereka jalankan.


Pada 6 Mei 1928, Sultan Sulaiman Badrul Alam
Shah telah berangkat hadir ke Kuala Berang bagi bertemu sendiri dengan para
penduduk di situ. Dianggarkan antara 2500 hingga 3000 orang penduduk telah
hadir dan membuat aduan mengenai masalah masing-masing. Ketua dalam setiap
kampung juga telah menceritakan kesukaran yang mereka hadapi dan mengakui
bahawa mereka sesekali tidak akan menderhaka terhadap Sultan dan kerajaan
negeri.

Kehadiran Sultan ini telah berjaya
menenangkan perasaan marah penduduk kampung buat sementara waktu terhadap
perlaksanaan peraturan baru oleh British. Namun, pihak pemungut hasil cukai terus
menjalankan tugas mereka dan mengeluarkan surat kebenaran kepada mana-mana
penduduk yang memohon untuk menebang hutan. Sekiranya ada yang tidak mematuhi,
maka mereka akan ditangkap oleh mata-mata di Kuala Berang dan dihukum.

Kemuncak kepada segala rasa marah dan tidak
puas hati ini berlaku pada 22 Mei 1928, yang diketuai oleh Haji Abdul Rahman
Limbong, dengan dibantu oleh ketua kumpulan bagi setiap kampung seperti
Abdullah Jurukaka, Penghulu Salleh Pasir Nyior, Lebai Hassan dan Lebai Deraman.
Mereka telah disokong oleh hampir 500 orang penduduk Kuala Berang. Kumpulan ini
telah bergerak ke Kuala Telemong untuk bergabung dengan kumpulan Haji Mat Zin
di Kampung Pelam. Seramai 25 orang pegawai polis telah diarahkan untuk bergerak
ke Kuala Telemong.

Berdasarkan maklumat rahsia yang diperoleh,
kumpulan perhimpunan ini akan disertai oleh penduduk hulu Kuala Berang, Dungun
dan Marang. Sebahagian mereka akan ke Kuala Berang, manakala sebahagian lagi
akan terus bergerak ke Kuala Terengganu. Dan mereka yang berada di Kuala Berang
dijangka berkumpul sehingga 2 Jun 1928 bagi menanti kedatangan Sayyid Sagof.
Malah, Penghulu Salleh juga telah menghantar surat kepada penduduk Dungun untuk
menanti arahan seterusnya sebelum berkumpul di Kuala Berang.

Rancangan ini telah bermula pada 21 Mei 1928, di mana penduduk hulu yang berkumpul telah bercadang untuk menyerang pejabat Kuala Berang. Berita ini telah diketahui oleh Sarjan dan beberapa pegawai lain di pejabat Kuala Berang.

Pada malam itu, penduduk hulu yang berkumpul telah menyeberangi sungai untuk ke Kuala Berang dan keadaan mula menjadi kelam kabut bagi pegawai di situ. Kakitangan kerajaan yang bimbang telah menaiki motorbot dan berhanyut ke Kuala Terengganu. Ketika berhanyut inilah, penduduk kampung yang berkumpul telah melepaskan dua das tembakan.

Sementara itu, penduduk hulu yang berada berhampiran pejabat Kuala Berang mula melaungkan kalimah Lailahaillah dan mara mengepung pejabat berkenaan. Mereka telah menyerang kediaman Wan Mahmud (pegawai daerah) dan balai polis.

Seorang ketua kumpulan, iaitu Penghulu Omar ingin membakar pejabat kerajaan, namun telah dihalang oleh seorang lagi ketua kumpulan yang lain. Bangunan kerajaan dan kediaman Wan Mahmud langsung tidak dirosakkan oleh penduduk kampung. Mereka turut mengambil senapang yang berada dalam balai polis dan sekotak peluru bagi melindungi diri mereka.

Pada 23 Mei, pihak polis telah mendirikan sebuah kem di Padang Kachong. Mereka menanti kehadiran kumpulan tersebut yang dijangka datang dari Kuala Berang. Kumpulan Telemong yang hanya membawa parang, pedang, keris dan badik terus merentasi dusun dan memasuki Padang Kachong. Mereka akhirnya diterjah oleh kumpulan kerajaan dan diberi amaran untuk berundur.

Namun, kumpulan itu masih mara ke hadapan. Kemaraan penduduk ini adalah akibat tindakan kasar yang dilakukan oleh Sarjan Hassan ke atas mereka. Tembakan dilepaskan dan akhirnya Tok Janggut yang merupakan ketua salah satu kumpulan telah gugur ke bumi. Para penduduk yang lain, ada yang terus melarikan diri, manakala ada yang terus ditembak.

Dalam pertempuran berdarah ini, seramai 12
orang penduduk telah kehilangan nyawa mereka. Pasukan kerajaan telah pulang ke
Kuala Terengganu tanpa menghiraukan mayat yang berada di Padang Kachong.
Akhirnya, Dato’ Seri Amar Diraja telah memberi arahan untuk menguruskan
mayat-mayat tersebut. Para penduduk, yang turut dibantu oleh seorang Cina yang
dipanggil Baba oleh penduduk kampung telah sama-sama menguruskan dan
mengebumikan jenazah tersebut dalam satu lubang kubur.


Para ketua kumpulan telah ditangkap dan dibicarakan
pada 11 Jun 1928 di Istana Maziah. Antara yang dihukum ialah Muhammad Zain (15
tahun penjara), Ismail bin Saleh (10 tahun penjara), Abdullah Jurukaka (10
tahun penjara), Abu Bakar bin Abdul Rahman (10 tahun penjara), Haji Zakaria bin
Mat Hassan (7 tahun penjara) dan Penghulu Omar (6 tahun penjara). Haji Abdul
Rahman Limbong telah ditangkap di rumahnya di Kampung Beladau atas tuduhan
terlibat dengan pemberontakan ini. Beliau telah dibawa ke Istana Maziah dan
disoal siasat pada 28 Mei 1928. Haji Abdul Rahman Limbong akhirnya telah
dibuang negeri ke Mekah dengan elaun hidup sebanyak $30 setiap bulan.

Kesimpulan

Pemberontakan dan perjuangan para penduduk kampung ini adalah akibat rasa marah yang sudah cukup lama dipendam oleh mereka. Penindasan yang dilakukan melalui pungutan cukai dan banyak lagi peraturan lain telah menimbulkan bibit-bibit penentangan terhadap British. Berdasarkan rasa yakin mereka terhadap ketua dan agama Islam, perjuangan ini didasari atas niat untuk melindungi kepentingan rakyat dan adat istiadat Melayu.

Meskipun pemberontakan ini hanya bermula dengan protes masyarakat kampung, namun dengan kepercayaan, disiplin dan semangat persaudaraan sesama Islam telah menjadikan mereka sebuah pergerakan yang kuat dan fokus kepada tujuan mereka.

Perjuangan para ahli agama dan rakyat dalam
memerdekakan negeri serta negara ini haruslah terus dikenang dan diambil
iktibar oleh seluruh anak bangsa. Semoga perjuangan mereka terus membangkitkan
semangat untuk kita melindungi negara, bangsa dan agama kita. 

RUJUKAN:

Abdul Qayyum, M. S.,
& Mohd Roslan, M. (2011). Haji Abdul Rahman Limbong dan Kebangkitan Rakyat
di Terengganu 1928. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu
Transformasi Negara
, (November), 25–26.

Abdullah Zakaria Ghazali.
(2000). Kebangkitan Terengganu: Gerakan Menentang British 1922- 1928.
Kuala Terengganu: Jawatankuasa Koleksi Terengganu, Perbadanan Perpustakaan Awam
Terengganu.

Berhanundin, A.,
Kamaruzzaman, Y., Mansoureh, E., & Ruzaini, S. (2015). Haji Abdul Rahman
Limbong (1868-1928) Fighter Against The Colonialist. Mediterranean Journal
of Social Sciences
, 6(6), 281–289.


Mohd Roslan, M. N.,
Mohamad Fauzi, Z., & Noorzahidah, M. Z. (2011). Keterlibatan Ulama ’ dalam
Perjuangan Kemerdekaan di Terengganu. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN)
IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara
, (November), 25–26.

The post Pemberontakan Tani Yang Terkenal Di Terengganu appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots