Pasu Antik Beli 1 Paun, Harga Sebenar 80, 000 Paun

Sudah
menjadi kebiasaan bagi sesetengah daripada kita membeli barang perhiasan untuk kediaman.
Pilihlah apa bentuk perhiasan daripada lampu berhias yang indah hinggalah
pasu-pasu yang cantik diletakkan dalam rumah. Tetapi bayangkan perasaan anda
bila mengetahui pasu yang dianggap tidak seberapa itu sebenarnya merupakan pasu
antik yang berharga bukan saja dari segi nilai kewangan tetapi juga dari segi
sejarah? Perkara ini berlaku kepada seorang pemilik pasu di England.

Pasu kecil berbentuk buah pear dan berwarna dafodil ini ditemui di sebuah kedai terpakai di Hertfordshire, England pada harga satu paun. Ya, para pembaca sekalian. Satu paun sterling. Bagi pemilik pasu ini, ini nampak seperti satu tawaran hebat kerana jika ia dijual, dia boleh mendapat keuntungan segera dalam bentuk puluhan paun sterling.

Tetapi siapa sangka selepas meletakkan pasu tersebut di laman sesawang lelongan eBay, minat para pembida terhadap pasu tersebut terus melambung bak roket. Melihat tawaran melimpah ruah sebegini rupa, si pemilik bercadang membawa pasu itu ke Sworders Fine Art Auctioneers’ di Stansted Mountfitchet, Essex untuk mengetahui nilai sebenar pasu itu.

Selepas dinilai oleh penilai rumah lelong, penilai mendedahkan pasu itu sebenarnya bernilai 80,000 paun sterling dan ia sebenarnya berasal dari era Maharaja Qianlong dari Dinasti Manchu yang memerintah dari 1735 hingga 1796.

Pasu ini dianggap istimewa menurut pakar rumah lelong Sworders, Li Yexue kerana mengandungi dua cop maharaja itu yang berwarna merah. Menurut beliau, tanda pada pasu itu menandakan ia bukan untuk dieksport tetapi untuk dijadikan sebagai kegunaan di istana baginda. Pasu itu turut dihiasi dengan inskripsi sajak diraja dan cop ‘Qianlong chen han’ atau cop peribadi Maharaja Qianlong. Cop itu turut dibaca sebagai Weijing weiyi yang bermaksud biar tepat, jangan berpecah.

Rajah 2: Pasu direka untuk digantung pada dinding. Sumber: https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/chinese-vase-0012515

Bahagian belakangnya yang rata dan hiasan flora berwarna-warni pada bahagian hadapan pasu menunjukkan ia digantung pada dinding. Warna kuning dafodil ini dianggap istimewa kerana ia merupakan warna khas untuk baginda. Yexue menceritakan pemilik pasu itu langsung tidak tahu-menahu nilai sebenar pasu.

Ini yang mendorongnya meletakkan harga yang rendah di eBay sekaligus mewujudkan minat yang tinggi dari kalangan para pembida. Dan minat sebegini ada kaitan dengan kisah sama membabitkan sebuah lagi tembikar Cina yang dianggap jarang dan unik. Walaupun ia ketika ini diletakkan pada harga 80,000 paun, ia boleh mencecah nilai lebih tinggi di pasaran jika didapati ia sebenarnya mahakarya yang bermutu tinggi.

Pada Julai tahun lepas, sebuah pasu antik Cina ditemui di sebuah peran di Perancis. Apabila ia dijual di rumah lelong Sotheby, ia akhirnya dijual pada harga 16 juta euro. Ya, 16 juta euro. Ia amat mengejutkan semua terutama pihak rumah lelong kerana mereka hanya meletakkan anggaran antara 500,000 hingga 700,000 euro sebelum sesi lelong bermula.


Pasu ini akhirnya dibeli oleh seorang pembeli rahsia dari Asia di mana nama dan kerakyatannya masih dirahsiakan. Tidak mustahil jika pasu kecil ini dilelong, pastinya para pembida terutama pembeli rahsia itu akan bersaing sengit dan harga yang ditetapkan pada 80,000 paun itu boleh saja mencecah 1.6 juta paun! Secara teorinya nampak tak masuk akal tetapi dalam dunia lelong, apa saja boleh berlaku.

Rajah 3: Pasu unik Cina bernilai 16 juta euro. Sumber: https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/chinese-vase-0012515

SUMBER

1.
Cowie, Ashley. (2019). Man Buys Vase for £1, Finds Out it is £80,000 Treasure
Belonging to Chinese Emperor. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/chinese-vase-0012515

2.
Ibbetson, Ross. (2019). Chinese vase sold for just £1 in a charity shop is
revealed to be a rare £80,000 treasure that was made for 18th century Emperor
Qianlong. Daily Mail. https://www.dailymail.co.uk/news/article-7413773/Chinese-vase-sold-just-1-charity-shop-revealed-rare-80-000-Emperors-treasure.html

The post Pasu Antik Beli 1 Paun, Harga Sebenar 80, 000 Paun appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots