Kino no Tabi (2017): Anime Yang Membahaskan Mengenai Demokrasi

Pada asalnya saya terlihat iklan siri animasi Kino no Tabi (2017) di
televisyen dan nampak macam ‘best’ la anime ni. Kemudian saya mencarilah siri
ini di internet dan akhirnya berjumpa dengan Kino no Tabi (2003), iaitu sebuah
anime asal Kino no Tabi yang disiarkan oleh WOWOW pada tahun 2003. Maka saya
mulakan menonton versi 2003 terlebih dahulu daripada versi 2017 walaupun
animasi 2017 lebih cantik berbanding versi 2003.

Secara ringkasnya, siri Kino 2003 dan 2017 tidak banyak beza. Ada beberapa
episod atau negara dalam Kino 2017 yang dilawati merupakan negara dan babak
yang sama dengan Kino 2003. Kino no Tabi mengisahkan tentang seorang remaja
perempuan (bukan lelaki ye) yang mengembara bersama motorradnya yang bernama
Hermes.

Ketika masih kecil, Kino merupakan anak kepada pasangan yang berniaga rumah
tumpangan (hotel/homestay) di sebuah negara yang mengagungkan ‘golongan dewasa’.
Dijadikan cerita, pada asalnya Kino bernama Sakura, tetapi mengambil nama Kino
sempena nama pengembara yang dia jumpa. Pengembara tersebut, bernama Kino
seorang lelaki yang kerjanya ialah mengembara. Ketika Kino menginap di rumah
tumpangan ibubapa Sakura, dia telah membuka mata dan minda Sakura bahawa dunia
ini luas dan terdapat pelbagai perkara yang menarik di luar sana.

Negara yang didiami oleh Sakura merupakan negara yang mengagungkan golongan
dewasa. Bagaimana? Mereka melihat golongan kanak-kanak sebagai manusia yang
tidak cekap untuk membuat kerja-kerja seharian. Oleh itu, pemimpin negara
mewujudkan satu dasar iaitu mereka mewajibkan golongan kanak-kanak yang telah
mencapai usia 12 tahun untuk menjalani pembedahan otak untuk memasukkan set
berfikir orang dewasa. Pembedahan otak yang kanak-kanak negara itu akan lalui
merupakan satu-satunya cara mereka untuk menjadi dewasa.

Satu hari sebelum pembedahan, Sakura meminta ibubapanya untuk tidak menjalani pembedahan ‘pendewasaan’ ini dan membuatkan ibubapanya terasa terhina dengan permintaan itu. Jiran-jiran mereka juga terkejut dengan permintaan ini seolah-olah ia suatu perkara yang tidak masuk akal. Kemudian mereka menuduh bahawa Kino-lah yang menghasut Sakura untuk tidak menjalani pembedahan ini. Tanpa membuang masa, ibubapa Sakura terus membunuh Kino di hadapan mata Sakura dan mereka juga mahu membunuh Sakura kerana Sakura dianggap sebagai ‘faulty product’ oleh ibu-bapanya dan masyarakat.

Maka Sakura terpaksa melarikan diri menggunakan motorrad Kino dari
negaranya. Untuk melupakan tragedi yang berlaku, Sakura mengubah namanya kepada
Kino, iaitu sebagai satu simbolik pengembaraan dan pembebasan diri. Maka
mengembaralah Kino dengan motorradnya yang bernama Hermes keseluruh dunia.

A Land of Decision by Majority (Ep.5)

Sebenarnya apa yang saya mahu tulis dan kongsi ialah kisah pengembaraan
Kino di sebuah negara yang rakyatnya mahu menjatuhkan pemerintahan beraja
(monarki) kerana kezaliman raja dan digantikan dengan kuasa rakyat.


Dikisahkan Kino tiba di satu negara yang sunyi sepi, kelihatan tiada orang di dalam negara itu. Sebelum tiba di kawasan bandar, Kino dan Hermes melalui satu kawasan perkuburan yang penuh dengan batu nisan. Babak ini menunjukkan bahawa ramai orang telah disemadikan di tanah perkuburan itu.

Masuk sahaja ke dalam kawasan bandar, mereka dapati bahawa bandar itu kosong tidak berpenghuni. Kino dan Hermes sudah pun menghabiskan masa selama tiga hari berjalan di dalam negara itu dan akhirnya bertemu seorang lelaki.

Lelaki tersebut amat gembira dengan kehadiran Kino dan Hermes kerana dia
tidak menyangka bahawa akan muncul manusia di bandar dan daerah yang sunyi dan
tidak berpenghuni itu. Lelaki itu dengan teruja mengungkapkan “Kami telah
melakukan perkara yang betul” dan kemudian Kino terus bertanyakan soalan kepada
lelaki tersebut tentang keadaan negara ini.

Lelaki tersebut menceritakan sejarah daerah bandar yang sunyi itu, kenapa
dan mengapa ia tidak berpenghuni langsung selain dia. Ia bermula dengan pemerintahan
beraja yang telah lama menjadi tonggak negara tersebut. Namun pada musim
kemarau yang menyebabkan tanaman tidak dapat tumbuh subur, rakyat menjadi
semakin bengang dengan raja yang hanya berseronok tanpa memikirkan hal ehwal
rakyat. Sesiapa sahaja yang cuba menentang raja akan dihukum mati dengan cara
mengikat kaki mereka dengan tali, digantung di puncak kayu dan kemudian di
putuskan tali tersebut yang menyebabkan kematian kerana badan menghempas tanah.

Tidak tahan dengan kekejaman raja, rakyat berpakat untuk melakukan revolusi
dan menjatuhkan pemerintahan monarki. Mereka berjaya menggulingkan raja dan
menangkap semua kerabat diraja. Dengan bangga mereka berjaya melakukan revolusi
tanpa pertumpahan darah. Rakyat terus menubuhkan kerajaan baharu. Rakyat sudah
bosan dengan kuasa autoriti yang memutuskan segala perkara dan mahu mendapatkan
idea-idea daripada suara rakyat dengan melaksanakan idea yang mendapat undian
yang terbanyak. Rakyat menganggap kaedah itulah yang terbaik untuk negara.

Buah fikiran rakyat yang pertama adalah bagaimana hendak diputuskan hukuman
ke atas raja. Maka, lahirlah undian yang pertama yang bertujuan untuk
menjatuhkan hukuman mati ke atas raja. Undian mendapat 98% untuk hukuman mati
dijalankan dan raja dihukum sama seperti beliau menghukum rakyat yang menentang
beliau. Kehidupan berlangsung seperti biasa dan setiap keputusan negara mesti
diundi terlebih dahulu. Segalanya ditentukan oleh undian majoriti.

Kemudian mereka menghadapi masalah lain pula. Memandangkan setiap keputusan
negara mesti dilaksanakan undian terlebih dahulu, prosesnya pasti memakan masa
yang lama. Maka ada yang mencadangkan supaya dilantik seorang ketua dan
diberikan sedikit kuasa. Malangnya majoriti mengundi untuk tidak bersetuju
dengan idea tersebut. Rakyat yang mengemukakan idea tersebut, kemudiannya
diundi majoriti sebagai bersalah dan dikenakan hukuman mati seperti di atas.

Semakin lama semakin banyak masalah yang timbul dalam kalangan rakyat,
sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan undian dan pandangan majoriti,
kesemuanya dihukum mati. Keadaan ini berterusan sehinggalah ada rakyat yang
memberikan idea untuk menghapuskan sistem hukuman bunuh tersebut. Jumlah rakyat
yang dihukum mati ialah 13, 064 orang kesemuanya.


Pada akhirnya, negara tersebut hanya dihuni oleh tiga orang sahaja. Lelaki
yang menceritakan sejarah ini bersama isterinya dan seorang lelaki yang ingin
keluar daripada negara tersebut yang juga merupakan salah seorang revolusionis.
Maka undian terakhir dijalankan dengan keputusan dua satu, lelaki revolusionis tersebut
dihukum mati. Tidak lama selepas itu, si isteri tersebut sakit dan mati akibat
tiada doktor yang boleh merawatnya. Tamat sejarah.

Setelah Kino mendengar cerita lelaki itu, dia ingin beredar untuk
meneruskan perjalanannya ke destinasi lain. Tetapi lelaki tersebut mengugut
Kino dengan diacukan pistol ke arahnya sambil mengajak Kino untuk tinggal dan
bangunkan negara itu. Ironinya, Kino mencadangkan undian diadakan dengan undian
minoriti akan dihukum mati juga. Lelaki itu tersentak kerana dia akan kalah
dalam undian tersebut kerana Kino dan Hermes mewakili dua undi manakala dia
hanya mewakili satu undi sahaja.

Demokrasi Langsung

Apa yang ditayangkan oleh Kino no Tabi dalam episod ini adalah demokrasi langsung (direct democracy/pure democracy). Demokrasi langsung merupakan satu bentuk demokrasi yang melibatkan penyertaan rakyat dalam (hampir) semua keputusan negara seperti cukai dan polisi negara yang lain.

Bermakna rakyat akan turun padang setiap kali ada isu atau perubahan yang hendak dilakukan oleh rakyat atau negara. Demokrasi bentuk kedua adalah demokrasi perwakilan (representative democracy). Demokrasi perwakilan pula seperti mana negara kita hari ini. Kita memilih pemimpin dan wakil-wakil rakyat, dan merekalah yang akan menguruskan dan menetapkan hal ehwal negara.

Sejarah

Athens Purba merupakan contoh terbaik apabila hendak dikaitkan dengan demokrasi langsung pada masa lalu. Rakyat akan berkumpul di suatu tempat yang boleh diistilahkan sebagai ‘Assembly’ iaitu perhimpunan rakyat yang khusus untuk mengundi. Ia juga dikenali sebagai ‘Ecclesia’. Kebiasaannya Ecclesia di ‘pnyx’ iaitu auditorium terbuka di belah barat Acropolis. Adapun Ecclesia (tempat undi) boleh berubah mengikut keperluan oleh ketua Assembly. Assembly ini akan berkumpul dan mengundi sebanyak 40 kali setahun. Lebih khusus, setahun ada 10 kali prytany. Setiap prytany ada 4 kali pertemuan. Jadi jumlahnya 40 kali.

Dianggarkan ketika pertengahan kurun ke-4, Athen memiliki 100, 000
warganegara, 10, 000 warga asing dan 150, 000 hamba sahaya. Dalam kalangan
warganegara, hanya 30, 000 sahaja berumur 18 tahun dan ke atas. Sekiranya
anggaran ini betul, maka jumlah ini hanyalah 10 ke 15 peratus daripada jumlah
populasi. Sesiapa sahaja yang dilahirkan di Athen layak untuk mengundi. Adapun
begitu, had umur yang ditetapkan pada pengundi adalah 18 tahun dan ke atas.
Kemudian selepas 403 Masihi, had umur dinaikkan kepada 20 tahun dan ke atas.


Siapa yang boleh dan layak mengundi di Athen?

  • Berumur
    18 atau 20 tahun ke atas dan telah berkhidmat dengan tentera selama 2 tahun.
  • Warganegara.
  • Lelaki
    sahaja. Wanita tidak dibenarkan mengundi.
  • Hamba
    sahaya tidak layak mengundi.

Keputusan diadakan dengan cara undian (vote). Dan undian pula dilakukan
dengan mengangkat tangan. Undian dikira selesai atau tamat dengan berakhirnya
angkatan tangan oleh penduduk yang hadir.

Tidak dapat dianggarkan jumlah kehadiran yang tepat untuk satu sesi undian.
Ia menunjukkan bahawa agak sukar untuk kesemua warga Athen yang layak mengundi
untuk datang mengundi. Pada 411 Masihi, pihak atasan Assembly telah
memberikan upah ataupun bayaran kepada rakyat yang hadir mengundi. Langkah ini
bertujuan untuk meningkatkan lagi peratusan turun mengundi terutama sekali
daripada golongan miskin. Upah yang tinggi menaikkan lagi kehadiran untuk
mengundi.

Switzerland

Banyak sahaja negara dan daerah yang mengamalkan demokrasi langsung. Tetapi
Switzerland yang dikatakan menepati atau hampir kepada ciri-ciri demokrasi
langsung berbanding pengamalan oleh negara-negara lain yang hanya sekadar pada
tahap negeri atau daerah sahaja. Demokrasi langsung yang diamalkan di
Switzerland merangkumi semua tahap. Iaitu kebangsaan (national), negeri
(canton) dan daerah (municipal).

Switzerland memiliki 8.2 juta penduduk (2017) yang boleh dibahagikan kepada
26 negeri (canton). Setiap tahun rakyat Switzerland akan mengundi sebanyak 4
kali.

Sebagai contoh, mereka boleh mengundi untuk membangunkan sekolah baharu di
kawasan mereka, atau cadangan untuk sebuah negeri menghasilkan tenaga elektrik
mereka sendiri atau pelan persaraan. Adapun begitu, peraturan yang telah
digazetkan tidak boleh dibuat undian semula. Isu-isu baharu sahaja yang dibolehkan
untuk diadakan undian.

Setiap 4 tahun akan diadakan pemilihan anggota parlimen iaitu seramai 246
orang ahli parlimen. Parlimen terbahagi kepada dua iaitu House of
Representatives
yang mewakili suara rakyat dan Senate yang mewakili
kerajaan negeri (canton). Ini memberikan kuasa politik kepada canton
yang tidak memiliki populasi yang ramai.


Diambil daripada swissemb.org

Instrumen

Ada tiga instrumen demokrasi langsung yang digunakan oleh Switzerland,
merangkumi tiga jenis referendum: mandatori, inisiatif popular (popular
initiative) dan pilihan (optional). Undian mesti diadakan pada sebarang pindaan
kepada perlembagaan yang menghasilkan referendum mandatori. Majoriti berganda
(double majority), yang bermaksud persetujuan majoriti rakyat dan canton
diperlukan untuk meminda perlembagaan negara.

Rakyat boleh melancarkan inisiatif yang popular untuk menuntut perubahan
kepada perlembagaan. Mana-mana warga Switzerland yang layak untuk mengundi
boleh menandatangani inisiatif popular dan sekurang-kurangnya tujuh orang (sebagai
jawatankuasa inisiatif popular) boleh melancarkan inisiatif mereka sendiri.
Sebelum undian diadakan atas inisiatif popular tersebut, jawatankuasa inisiatif
perlu mengumpul 100,000 tandatangan yang sah memihak kepada cadangan itu dalam
tempoh 18 bulan.

Inisiatif popular diperkenalkan di peringkat persekutuan pada tahun 1891. 200
inisiatif popular telah dipilih sejak itu, tetapi hanya 22 yang diterima. Pada
tahun 2016, satu inisiatif yang popular untuk memberi semua orang di negara ini
pendapatan asas yang dilancarkan ke peringkat referendum, tetapi ditolak oleh
76.9% pengundi. Inisiatif popular yang mencadangkan enam minggu cuti setahun
untuk pekerja juga ditolak semasa undian.

Contoh lain, rakyat Switzerland menolak pembinaan menara azan dan disokong
sebanyak 58% undian walaupun kerajaan telah pun melarangnya. Ini menunjukkan
bahawa demokrasi tetap dijalankan walaupun sudah terang akan suatu
undang-undang tersebut. Inisiatif popular untuk menghantar pulang penjenayah
warganegara asing telah mendapat 53% undian. Kedua-dua contoh ini iaitu menara
azan dan penghantaran pulang penjenayah warganegara asing dimasukkan ke dalam
perlembagaan.

Diambil daripada https://www.eda.admin.ch/aboutswitzerland/en/home/politik/uebersicht/direkte-demokratie.html

Kesimpulan

Secara keseluruhan, demokrasi merupakan sistem yang baik untuk meraikan
kuasa yang ada pada rakyat. Adapun begitu, kelemahan sistem ini seringkali
dimanipulasikan oleh barisan pelakon (baca: ahli politik) yang mampu memperdayakan
rakyat sehingga melakukan undian atas dasar pengaruh propaganda, bukan atas
kemampuan berfikir dan menilai sendiri. Suka atau tidak, pengundi perlu
memiliki kemahiran dan kematangan dalam penilaian sebelum mengundi. 

RUJUKAN:


Micol Lucchi.
(2017). This is how Switzerland’s direct democracy works. World Economic Forum.
Diambil di https://www.weforum.org/agenda/2017/07/switzerland-direct-democracy-explained/

N.A. (N.D.).
Kino no Tabi: The Beautiful World. My Anime List. Diambil di  https://myanimelist.net/anime/486/Kino_no_Tabi__The_Beautiful_World

N.A. (N.D.).
Kino no Tabi: The Beautiful World. My Anime List. Diambil di  https://myanimelist.net/anime/35079/Kino_no_Tabi__The_Beautiful_World_-_The_Animated_Series

N.A. (2011).
Switzerland’s Direct Democracy. Youtube – SWI swissinfo.ch.

N.S. Gill.
(2018). Ecclesia the Greek Assembly. Diambil di https://www.thoughtco.com/ecclesia-assembly-of-athens-118833

Robert A. Dahl.
(2019). Democracy. Encyclopaedia Britannica. Diambil di https://www.britannica.com/topic/democracy

Robert Longley.
(2019). Direct Democracy Pros and Cons. Diambil di https://www.thoughtco.com/what-is-direct-democracy-3322038

Scott Michael
Rank. (2019). Direct Democracy Definition. History on the Net. Diambil di  https://www.historyonthenet.com/direct-democracy-definition


Theo Schiller.
(2019). Direct Democracy. Encyclopaedia Britannica. Diambil di https://www.britannica.com/topic/direct-democracy

The post Kino no Tabi (2017): Anime Yang Membahaskan Mengenai Demokrasi appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots