Bayi 3 bulan maut dipercayai didera oleh ibunya yang meroyan

Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan maut disyaki didera ibunya di Bandar Cheneh Baru di Kemaman, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, bayi itu, Median Sandra Mohd Saddle, dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh oleh bapanya dalam keadaan lemah.
Pihak klinik katanya telah memberi bantuan kecemasan untuk menyelamatkan bayi tersebut namun gagal dan mendapati terdapat unsur penderaan pada bayi malang itu.
“Menurut lelaki tersebut, semasa dia pulang ke rumah untuk menghantar makanan pada isterinya pada pukul 10 pagi, dia melihat isterinya berbaring di sebelah bayi berkenaan.
“Kemudian dia bertanya kepada isterinya mahu makan ke tidak tetapi isterinya mengatakan telah menghantar anaknya ke syurga. Mendengar penjelasan itu, dia serta-merta terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Cheneh,” katanya.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek mengalami kemurungan. 
Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa berkata, “Sebelum ini tiada apa yang pelik terjadi pada anak saudara (suspek) termasuk meroyan, tapi saya ada dengar dia bercakap sesuatu yang tidak masuk akal. 
“Sehingga saat ini saya tidak pasti apa yang dia (ibu mangsa) lakukan terhadap bayinya sehingga meninggal dunia. Saya tak sangka perkara itu boleh berlaku kepada mangsa.
“Selepas melahirkan bayi sulung itu, ibu mangsa pulang berpantang di rumah ibunya di Besut dan dalam tempoh dua hari berpantang, suaminya membawa pulang anaknya itu untuk dijaga di Cheneh. 
“Cuma saya pernah dengar dia ada bercakap sesuatu yang tidak masuk akal. Tetapi tidak pasti sama ada dia mengalami sebarang tekanan atau sebaliknya,” katanya. 
Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 
Sumber: Bernama, Harian Metro

Sumber : TheReporter