Juruterbang Wanita Akan Mula Berkhidmat Dengan Malaysia Airlines

Malaysia Airlines memperkenalkan 3 orang juruterbang wanita pertama syarikat berkenaan setelah bertahun-tahun jawatan berkenaan didominasi oleh golongan lelaki. Menerusi Majlis Graduasi Anak Kapal dan Juruterbang semalam, Malaysia Airlines memperkenalkan kumpulan juruterbang wanita pertama ini

3 orang juruterbang wanita tersebut ialah Pearl Wendy Mak, Wang Wen Chien dan Nur Waie Hidayah Mohamad Rasidin. Menurut Pearl Wendy yang sudah berpengalaman sebagai juruterbang semenjak 25 tahun yang lalu, menceburi pekerjaan yang didominasikan oleh golongan lelaki ini sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi pada era ini, tiada yang mustahil bagi kaum wanita.

Bagi juruterbang Wang Wen Chien yang sudah menanam minat dalam bidang ini semenjak berusia 15 tahun lagi telah berusaha keras sehingga akhirnya mendapat pentauliahan di Sydney, Australia pada tahun 2016 dan seterusnya menyertai Malaysia Airlines pada tahun 2017. Beliau sempat memberi kata-kata semangat buat wanita yang ingin menceburi bidang ini agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut.

Berlainan pula dengan Nur Waie Hidayah yang terinspirasi daripada kerjaya ayahnya yang juga merupakan seorang juruterbang untuk sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang bertapak di Dubai. Beliau turut mengakui sokongan dari keluarga yang kuat turut membantu selain daripada usaha dan disiplin diri. Beliau mula berkhidmat dengan Malaysia Airlines sebagai kadet penerbangan pada Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail yang kagum dengan pencapaian 3 wanita hebat ini turut mengharap lebih ramai penyertaan juruterbang wanita dalam syarikat penerbangan itu pada masa akan datang. Beliau juga mengakui Malaysia kini berhadapan dengan kekurangan juruterbang lebih-lebih lagi pesawat jenis B737-800. Untuk mengatasi masalah tersebut pihak Malaysia Airlines memerlukan sekurang-kurangnya 150 orang juruterbang lagi.

Persatuan Juruterbang Wanita Antarabangsa menganggarkan bahawa pada 2017, daripada sejumlah 130,000 juruterbang di seluruh dunia, hanya 3,000 atau kira-kira 3 peratus daripada mereka adalah wanita. Tahniah dan semoga pencapaian ini akan membuka mata semua tentang jawatan juruterbang ini bukan hanya untuk golongan lelaki sahaja.

Sumber :

TheVocket