Mengapa Air Kosong Bahaya Buat Bayi Baru Lahir

Bayi adalah sangat sensitif, terutamanya yang berusia di bawah 6 bulan. Sekiranya anda baru sahaja menerima cahaya mata, atau bakal menjadi ibu bapa buat kali pertama, anda perlu membaca artikel ini. Bagi mereka yang sudah tahu bahaya air kosong buat bayi, teruskan membaca untuk mengetahui sebab-sebabnya.

Fahami Kaitan Tentang Hyponatremia dan Mabuk Air.

Seorang manusia dewasa yang sihat mempunyai kandungan air dalam badan sekitar 55 hingga 60 peratus. Bagi bayi pula, secara puratanya mempunyai kandungan air dalam badan yang agak tinggi, sekitar 75 peratus. Perbezaan inilah sebab mengapa bayi, terutamanya yang di bawah usia 6 bulan seharusnya ‘diharamkan’ daripada meminum air kosong, mahupun air masak.

Buah pinggang manusia mempunyai had yang berbeza daripada segi jumlah air yang boleh dikendalikannya. Melebihi had tersebut, air yang berlebihan akan memasuki saluran darah di mana ianya akan mencairkan garam, atau sodium di dalam darah. Apabila kandungan sodium dalam darah berada pada tahap kurang daripada 2.996 g/L (0.4 ounce/gallon), seseorang itu berisiko diserang hyponatremia.

Hyponatremia berlaku apabil sel-sel badan cuba untuk mengembalikan tahap sodium yang rendah kepada tahap normal dengan menyerap air lebihan tersebut. Sel-sel ini akhirnya mengembang seperti belon dalam masa yang sama, menyebabkan komplikasi seperti kekeliruan, muntah-muntah dan kekejangan otot.

Hyponatremia adalah suatu kebiasaan dalam kalangan pelari marathon yang meminum air terlalu banyak dalam masa yang singkat ketika perlumbaan, tanpa pengambilan sodium bagi menyeimbangkan semula darah mereka. Sekiranya mereka terus menerus meminum air, air berlebihan tersebut akan akhirnya sampai ke sel di dalam otak.

Pada saat ini, mereka berpotensi untuk mengalami mabuk air, keadaan di mana sel otak mula membengkak, meningkatkan tekanan dalam tengkorak yang akhirnya boleh menyebabkan sawan, kerosakan otak dan paling teruk, kematian. Namun, jangan risau, kematian disebabkan mabuk air jarang berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Sekiranya golongan ini meminum sekitar 9.5 hingga 18.9 liter air dalam masa beberapa jam, mereka berkemungkinan diserang hyponatremia. Walaubagaimanapun, lain pula ceritanya buat si comel yang baru sahaja dilahirkan. Saiz buah pinggang mereka adalah separuh daripada saiz manusia dewasa, jadi mereka tidak mampu untuk menyimpan jumlah air yang tinggi dalam badan.

Sebab Utama Mengapa Air Kosong Bahaya Buat Bayi.

Hanya sedikit sahaja air kosong sudah cukup untuk menyebabkan bayi mengalami komplikasi kesihatan yang teruk. Tambahan pula, buah pinggang mereka belum membesar sepenuhnya untuk menapis air. Jadi, apapun jenis air yang memasuki badan mereka akan berakhir di dalam sistem peredaran darah.

Jika air tersebut adalah air kosong, ianya akan mencairkan darah mereka, dan meningkatkan kandungan air antara 7 hingga 8 peratus. Namun begitu, bukan air kosong sahaja yang boleh mengancam nyawa si comel. Malah, kebanyakan kes mabuk air dalam kalangan bayi baru lahir langsung tidak melibatkan minuman air kosong.

Antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa mahupun pengasuh adalah mencairkan susu bancuhan dengan air yang berlebihan, yakni tidak mengikut sukatan serbuk formula yang ditentukan, sama ada secara sengaja ataupun tidak. Sekiranya bayi anda menunjukkan tanda-tanda mabuk air, anda perlu segera bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Kemungkinan besar doktor akan memberikan cecair seperti larutan air garam bagi meningkatkan kandungan sodium dalam badan bayi kepada tahap normal.

Bayi Selepas 6 Bulan.

Apabila bayi melepasi usia 6 bulan, ibu bapa boleh mula menyuapnya dengan sedikit air tanpa perlu risau tentang mabuk air atau apa-apa isu lain. Namun, jangan terlalu banyak pada satu-satu masa. Ketika bayi berusia antara 6 hingga 12 bulan, air hanyalah sebagai latihan untuk mereka belajar menyedut, selain daripada botol susu mahupun daripada susu ibu.

Matlamatnya adalah untuk membiasakan bayi untuk mula meminum air. Bagi bayi yang sedikit dewasa, dalam linkungan umur 9 hingga 12 bulan, mereka boleh meminum air sekitar beberapa ounce sehari.

Kesimpulan.

Bagi ibu bapa buat kali pertama, atau sekiranya anda dipertanggungjawabkan untuk mengasuh bayi, jangan sesekali menyuap bayi yang masih kecil dengan air kosong kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kematiannya.

Sumber :

Iluminasi