Kakitangan Awam Johor Diingat Tak Bergiat Terang-terangan Dalam Politik

Kakitangan kerajaan negeri ini diingatkan agar tidak bergiat aktif secara terang-terangan dalam politik atau bakal berdepan dengan tindakan tegas. Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang memberi amaran sedemikian berkata larangan untuk tidak bergiat aktif secara terang-terangan itu terkandung dalam garis panduan penjawat awam.

“Maksud saya terang-terang itu ialah kalau dia hendak menyokong, boleh sokong tetapi kalau sehingga memegang jawatan dan menggunakan kedudukannya sebagai platform berkempen kerana menang jawatan, itu tidak boleh melainkan mendapat kelulusan khas daripada ketua perkhidmatan.

Sebagai kakitangan kerajaan, mereka perlu setia dengan kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat, bukan kepada individu tetapi kepada suara dan kuasa rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Perjumpaan Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Dewan Raya, Taman Bukit Indah, di sini hari ini.

Sumber :

MalaysiaKini