Pembunuh Bersiri Jerman Mengaku Bunuh 99 Orang

Seorang jururawat Jerman mengaku di mahkamah pada hari Selasa menjadi pembunuh bersiri selepas perang, yang membunuh 99 pesakit dengan memberi suntikan maut supaya dia boleh menjadi hero dengan cuba memulihkan mereka.

Apabila hakim Sebastian Buehrmann bertanya Niels Hoegel yang berusia 41 tahun, sama ada tuduhan terhadapnya sah, dia menjawab: “semua pengakuan saya adalah benar.”

Hoegel menutup wajahnya dengan folder plastik biru ketika dia dibawa ke bilik mahkamah di utara bandar Oldenburg oleh anggota polis dan peguamnya.

Dia telah dijatuhi hukuman 15 tahun penjara pada tahun 2015 selepas didapati bersalah membunuh dua pesakit dengan suntikan maut. Pada bulan Januari, pendakwa mengemukakan tuduhan baru terhadapnya kerana membunuh 97 orang lagi. Pengakuannya tidak akan mengakhiri perbicaraan itu, di mana keluarga mangsa berharap untuk mengetaahui lebih banyak maklumat mengenai jenayah itu.

“Kami mahu dia mendapatkan hukuman sepatutnya,” kata Frank Brinkers, yang ayahnya menjadi mangsa suntikan Hoegel. “Apabila perbicaraan ini selesai, kami ingin melupakan perkara ini.”

Pendakwa berkata laporan siasatan dan toksikologi menunjukkan bahawa dia menyuntik 35 orang di sebuah klinik, di Oldenburg, dan 62 lagi di Delmenhorst berhampiran, dengan ubat yang boleh membunuh mereka. Sepuluh tahun yang lalu, seorang jururawat Jerman telah disabitkan dengan membunuh 28 pesakit tua. Dia berkata dia memberi mereka suntikan maut kerana dia kesian melihat keadaan mereka. Dia dihukum penjara seumur hidup.

Di Britain, Dr Harold Shipman dipercayai telah membunuh 250, sebahagian besarnya tua dan pertengahan usia yang menjadi pesakitnya. Dikenali sebagai Dr Death, Shipman dihukum penjara seumur hidup pada tahun 2000; dia mati di penjara pada tahun 2004, dipercayai membunuh diri.

Sumber :

MalaysiaKini